Program PenjanaKerjaya 3.0

Melalui pelaksanaan inisiatif di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), PERKESO yakin dapat merealisasikan 180,000 penempatan pekerjaaan baharu serta mengekalkan 2.5 juta pekerja sehingga menjelang 31 Disember 2021 ini.

Perkara tersebut telah dinyatakan oleh Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan dilaporkan oleh media Berita Harian semalam, 7 Julai.

Untuk memastikan target ini tercapai,  PERKESO akan terus memperkasa penganjuran program pewujudan dan penawaran pekerjaan di bawah inisiatif PEMULIH yang dijadual bermula 15 Julai ini. Berikut ialah antara usaha yang dilakukan oleh PERKESO untuk mencapai misi ini. 

Program PenjanaKerjaya 3.0

Menurut Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, insentif pengambilan pekerja dilanjutkan melalui Program PenjanaKerjaya 3.0 dengan matlamat menggalakkan mewujudkan pekerjaan baharu. Melalui inisiatif yang dijalankan itu, majikan layak menerima 40 hingga 60 peratus subsidi daripada gaji diberi kepada pekerja mereka untuk tempoh enam bulan.

Kos latihan sehingga RM7,000 juga disediakan bagi pekerja digajikan, termasuk untuk lepasan sekolah, graduan serta golongan rentan, antaranya pekerja berusia, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan bekas banduan.

RM1,000 secara ‘one-off’ sebagai elaun mobiliti

Calon  yang diambil bekerja layak menerima elaun mobiliti hingga RM1,000 secara ‘one-off apabila menghadiri program latihan, termasuk kursus pensijilan profesional dipilih majikan.

PenjanaKerjaya 3.0 juga melonggarkan syarat gaji minimum di bawah Program Malaysianization daripada RM1,500 kepada RM1,200 sebulan. Hal ini adalah untuk menggalakkan majikan menggajikan lebih ramai warga tempatan.

Lihat juga: Apa itu Penjana Kerjaya 3.0 dan Cara Daftar

Pusat Satelit MYFutureJobs

Menerusi Perkhidmatan Pekerjaan Awam PERKESO, pelbagai program dan inisiatif dirangka bagi separuh kedua 2021, bertujuan menyediakan akses kepada pencari kerja di kawasan bandar dan luar bandar.

Antara program utama ialah penubuhan Pusat Satelit MYFutureJobs di universiti serta beberapa lokasi terpilih melalui kerjasama kerajaan negeri dan 54 Pejabat PERKESO di seluruh negara.

MYFutureJobs

180,449 penempatan pekerjaan telah berjaya dilaksanakan sejak 1 Januari 2021 menerusi Portal MYFutureJobs dan Program Insentif Pengambilan Pekerja. Anda boleh melayari laman web rasmi MYFutureJob di pautan ini untuk mendaftar dan mencari pekerjaan;  https://www.myfuturejobs.gov.my/ms/halaman-utama/

Lihat juga: PEMULIH: Elaun Mencari Pekerjaan RM300 Khas Untuk Pencari Kerja

Elaun mencari kerja (SIP 2) RM300 sebulan untuk pencari kerja

Ketika ini, terdapat lebih 231,000 kekosongan kerja di portal MYFutureJobs dan bagi menggalakkan bukan pencarum PERKESO mencari kerja dan menghadiri temu duga, elaun mencari kerja (SIP 2) RM300 sebulan disediakan apabila mereka menghadiri tiga temu duga kerja sebulan bagi tempoh dua bulan.

Mereka juga akan menerima insentif RM400 apabila diambil bekerja. Insentif ini dijangka memberi manfaat kepada 229,000 pencari kerja.

KerjayaGig

Insentif KerjayaGig bagi pekerjaan jangka pendek dalam sektor informal turut disediakan dengan mengambil kira peningkatan permintaan terhadap pekerja, termasuk platform gig.

Ia membolehkan individu diberhentikan kerja, diarah bercuti tanpa gaji dan golongan rentan, termasuk OKU menjana sumber pendapatan menerusi pekerjaan melalui platform gig demi kelangsungan hidup, sementara menunggu pekerjaan tetap.

RM600 selama enam bulan (minimum 10 jam seminggu)

Pakej PEMULIH juga memperluaskan insentif KerjayaGig kepada graduan menganggur dengan individu bekerja sendiri akan mendapat RM600 sebulan selama enam bulan jika bekerja minimum 10 jam seminggu, manakala majikan menyediakan peluang kerja kepada mereka pula menerima RM200 secara one off bagi setiap pekerja. Inisiatif ini dilakukan memandangkan kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia.

Program PenjanaKerjaya 3.0

Bagi sesiapa yang mencari pekerjaan, anda boleh mencari maklumat lebih lanjut berkenaan program yang ditawarkan oleh pihak PERKESO ini bagi menikmati insentif dan peluang yang disediakan. 

Sekian.

Lihat juga: Program Latihan Industri Bank Negara Malaysia 2021~ Elaun sebanyak RM1,350.00/bulan

Leave a Reply