Undi 18: Adakah Malaysia Sudah Bersedia?

Pada bulan Julai tahun ini Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya pembentangan penurunan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun telah diusulkan oleh Menteri Belia dan Sukan. Penurunan had umur mengundi ini tentunya akan memberi kesan terutamanya kepada negara pada masa hadapan, kerana mereka yang berusia seawal 18 tahun adalah lepasan sekolah. Perkara ini disambut baik semasa perbahasan di dalam parlimen, namun begitu beberapa aspek yang perlu dinilai oleh pihak kerajaan wajar diberikan perhatian.

Aspek yang pertama adalah pendidikan. Hanya dengan pendidikan yang dapat mematangkan golongan pengundi seawal umur 18 tahun untuk memilih kelompok yang dapat memimpin Malaysia ke arah yang lebih baik. Pendidikan yang perlu ditekankan adalah “political education” iaitu penekanan dari segi memahami perlembagaan persekutuan, kepentingan demokrasi (membuat pemilihan wakil pelajar peringkat sekolah) secara mengundi, pengaruh media massa dalam politik dan sebagainya. Namun timbul persoalan adakah pihak kerajaan telah membuat kajian yang menyeluruh tentang belia di negara kita? Kerana tentunya “waqi” belia di negara tidak sama dengan negara-negara yang telah dibandingkan. Apakah langkah-langkah yang akan dilakukan oleh pihak kementerian untuk memberi kesedaran di peringkat sekolah?

Seterusnya adalah aspek sistem pendaftaran pengundi. Pihak kerajaan juga perlu pandang ke hadapan tentang perkara ini kerana sistem pendaftaran pengundi hari ini masih lagi sama walaupun sudah lama cadangan sistem pendaftaran pengundi secara automatik disuarakan. Kita dapat lihat melalui PRU14 yang lalu, statistik yang dikeluarkan oleh SPR lebih 3 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi pada PRU14 tetapi tidak mendaftarkan diri. Hal ini perlu diberi keutamaan kerana apabila had umur mengundi diturunkan maka akan lebih ramai rakyat Malaysia yang perlu mendaftarkan diri bagi mengundi pada PRU yang akan datang.

Apa yang boleh dikatakan penurunan had umur mengundi ini perlulah seiring dengan perancangan untuk menyiapkan para pengundi yang masih muda iaitu pada peringkat umur 18 tahun untuk mematangkan diri mereka pada hari pengundian nanti. Tetapi kita juga perlu bersedia dengan “consequences” yang akan berlaku apabila penurunan had umur mengundi telah diluluskan. Kemungkinan akan berlakunya kempen-kempen parti politik di sekolah, timbulnya kelompok para pelajar yang mewakili blok-blok parti politik dan turut memberi kesan kepada sistem pembelajaran di sekolah. Jadi adakah Malaysia sudah bersedia?

 

Youths Power

 

Zulhafizuddin Zulkifli

Exco Penerangan dan Perhubungan Awam

Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2018/19

Universiti Malaysia Terengganu

Leave a Reply