Townhall PTPTN: Perlunya Win-Win Situation
Kelmarin saya telah menghadiri satu townhall konsultasi berkenaan PTPTN yang telah diadakan di UMT. Secara jujurnya saya bukanlah salah seorang peminjam PTPTN, tetapi sesi Townhall ini menarik untuk sama-sama kita nilai dan perbahaskan. Isu PTPTN ini tidak sepatutnya dipolitikkan sehingga menyebabkan kerugian kepada sesetengah pihak. Semasa program tersebut berlangsung saya juga sempat mempersoalkan beberapa perkara dan membawa cadangan daripada peminjam yang telah bekerja dan juga daripada mahasiswa berkenaan beban hutang PTPTN ini.
PERSOALAN
Ketika sesi pembentangan berlangsung saya tertanya dengan peratusan yang dipaparkan bagi golongan “Peminjam yang culas membayar”. Iaitu sebanyak 51% peminjam yang dijumlahkan sebagai ‘tidak membuat bayaran’ dan ‘culas membayar’. Golongan inilah yang menyebabkan kesusahan kepada PTPTN untuk memberi pinjaman yang baru. Persoalannya adakah pihak PTPTN mengetahui berapa peratuskah pula jumlah yang sudah bekerja dan tidak bekerja yang diletakkan dalam nilai 51% itu? Adakah pihak PTPTN mempunyai data yang lengkap bagi golongan yang kurang berkemampuan ini?
CADANGAN
Pihak PTPTN telah mengetengahkan “10 idea” bagi bayaran balik daripada peminjam. Saya kira ia adalah satu langkah baik yang boleh diperhalusi lagi. Maka beberapa cadangan saya daripada idea PTPTN untuk mengurangkan beban peminjam melalui pembayaran balik adalah:
Idea 1 PTPTN: PENANGGUHAN BAYARAN BALIK BAGI PEMINJAM BERPENDAPATAN RM2,OOO KE BAWAH
Cadangan saya: Tambah baik kepada peminjam yang bekerja di bandar, tidak perlu membuat bayaran balik pada gaji RM2300 ke bawah. Mengambil kira faktor “cost living” di bandar dengan komitmen bayaran tol dan sebagainya.
Idea 6 PTPTN: PENGUATKUASAAN YANG LEBIH TEGAS TERHADAP PEMINJAM CULAS YANG TIDAK MEMBAYAR BALIK DALAM TEMPOH YANG LAMA
Antara beberapa perkara yang ingin disekat kepada peminjam yang culas ini adalah:
- Sekatan untuk pembaharuan lesen memandu
- Sekatan untuk pembaharuan lesen perniagaan
- Sekatan untuk pembaharuan passport dan ke luar negara
Cadangan saya: Suatu perkara yang tidak relevan jika pihak PTPTN ingin memberi sekatan kepada pembaharuan lesen memandu dan juga lesen perniagaan. Pihak PTPTN perlu melihat balik perkara ini supaya tidak ada golongan yang merana di akhirnya. Kerana dengan adanya lesen memandu dan perniagaan inilah para peminjam dapat ‘survive’ untuk membuat bayaran balik.
PENAMBAHBAIKAN
Cadangan saya: Pihak PTPTN boleh perkenalkan semula sistem diskaun(intensif) kepada para peminjam supaya mereka lebih komited untuk membuat bayaran. Contoh: Bagi mahasiswa bergraduat “first class” yang membuat bayaran balik akan diberi diskaun 25% potongan. Bagi mereka yang membuat potongan separuh gaji mendapat diskaun sebanyak 15% dan bagi yang ‘istiqamah’ membuat bayaran tiap-tiap bulan pula mendapat diskaun sebanyak 10%.
Cadangan dan penambahbaikan ini telah diambil maklum oleh pihak PTPTN. Moga-moga ia dapat direalisasikan.
PENDIDIKAN PERCUMA
Salah satu cadangan daripada peserta yang pihak PTPTN boleh bawa kepada kerajaan adalah dengan memberikan sepenuhnya pendidikan percuma kepada Universiti Awam yang berjumlah 20 buah universiti. Manakala bagi Universiti Swasta diberikan pinjaman PTPTN kerana jumlah universiti swasta lebih banyak berbanding Universiti Awam.
KONKLUSI
Apa yang saya boleh katakan satu perkara yang baik apabila pihak PTPTN berusaha untuk menerima pendapat daripada pelbagai pihak kerana situasi beban hutang yang terpaksa ditanggung oleh PTPTN harini adalah sebanyak RM 40 billion. Oleh itu, mekanisme win-win situation perlu diimplimentasikan supaya peminjam juga tidak terbeban. Dengan hutang yang tinggi dan proses bayaran daripada peminjam yang lambat, maka untuk PTPTN terus “survive” pada masa akan datang terus menjadi tanda tanya.
“Hutang wajib dibayar, walau tidak dituntut”
Yang Menjalankan Amanah,
Mohammad Zulhafizuddin bin Zulkifli
Exco Penerangan dan Perhubungan Awam
Majlis Perwakilan Pelajar,
Universiti Malaysia Terengganu,
Sesi 2018/19.