2018 membuka jalan untukku berjuang terhadap bangsa sendiri. Tatkala Malaysia dikenali di seantero dunia sebagai negara Kleptokrasi, kaki penyamun, dan sebagainya. Maka, aku memilih untuk berjuang mengembalikan semula Malaysia di Mata dunia sebagai Harimau Asia dan memulihkan semula Malaysia yang semakin nazak dengan penyakit – penyakit kronik yang semakin membarah dari hari ke hari. Aku begitu mengagumi kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu memimpin Malaysia dahulu. Apabila pimpinan Pakatan Harapan menamakan semula Tun Mahathir sebagai Bakal PM Ke – 7, aku dengan sukarelanya mendaftar sebagai ahli parti politik yang dipimpin Tun dan membantu Parti berkempen dari kampung ke kampung. Tidak kusangka pada tanggal 9 Mei 2018, rakyat Malaysia telah menunjukkan kuasanya mengubah sebuah rejim kekuasaan yang sekian lama mendominasi negara sejak kemerdekaan kepada sebuah organisasi yang tumbuh setahun jagung dalam arena politik negara.
Aku melihat satu perubahan yang positif dari masa ke semasa sejak Pakatan mengambil alih negara dengan pembaharuan institusi pentadbiran hinggalah kepada reformasi ekonomi yang semakin perlahan dalam memulihkan semula negara. Pemulihan ini ada kalanya mendapat respons yang positif tidak kurang juga ada respons yang negatif. Malaysia hampir – hampir mati sekiranya rakyat tidak menukar rejim pemerintahan negara pada 9 Mei 2018 yang lalu. Keadaan kewangan yang tidak mengizinkan menyebabkan beberapa manifesto dan janji – janji tidak dapat dilaksanakan. Rakyat marhaen pula mula mempersoalkan di mana ketelusan dan kebenaran janji – janji manis yang pernah ditabur oleh Pakatan Harapan sewaktu menjadi pembangkang dahulu. Kemarahan rakyat ini ditambah pula apinya oleh pembangkang yang memanipulasi sesuatu isu yang dimainkan.
Namun, aku yakin dengan kerajaan sedia ada dalam memulihkan dan membina semula negara yang tercinta ini. Rakyat Malaysia seharusnya bersatu padu dalam membangunkan negara tanpa mengira bangsa, agama dan kaum masing – masing. Setiap di antara kita mempunyai hak dan tanggungjawab yang harus dipikul dan dipenuhi kerana Malaysia adalah milik bersama. Konsep Rahmatan Lil Alamin yang dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof harus dipegang erat oleh semua yang bergelar Bangsa Malaysia. Konsep yang menyanjung tinggi nilai Rahmah iaitu Kasih Sayang menunjukkan bahawa Islam adalah satu agama yang adil, aman dan sentosa. Dari segi ekonomi pula, Kerajaan Malaysia dibantu oleh Majlis Penasihat Kerajaan yang dibentuk oleh Perdana Menteri yang mana keanggotaannya terdiri dari kalangan pakar-pakar dalam bidang ekonomi dan pentadbiran. Mereka mempunyai formula penting dalam memulihkan semula negara yang mana menurut jangkaan mereka, ekonomi Malaysia dijangka pulih semula pada 3 tahun yang akan datang.
Sebagai Rakyat Malaysia, aku masih meletakkan harapan dan kepercayaan yang tinggi kepada Kerajaan Malaysia untuk membawa negara ini ke arah pemodenan dan pembangunan yang hakiki. Hasrat dan warisan yang ditinggalkan oleh pejuang – pejuang negara kekal terpulihara dan diteruskan oleh generasi akan datang. Bersama – sama kita jadikan wawasan negara sebagai sebuah negara yang berpendapatan tinggi menjadi suatu kenyataan. Banggalah menjadi rakyatnya sehingga tidak kekok dan segan untuk berkata, Saya Anak Malaysia.
Muhammad Andzarwir Zakaria
Persatuan Belia Harmoni Malaysia
(Cawangan Nilai)