Tarikh mengundi yang diumumkan membuat ramai orang terus menerus tak berpuas hati dengan kerajaan. Perasaan tak puas hati seumpama ini telah lama mengguris hati kami yang pernah berkhidmat menggerakkan Pro-Mahasiswa di satu universiti di Selatan tanah air. Universiti yang terkenal dengan pasukan rowing serta menteri mentornya, DS Hishammuddin Tun Hussein.
Kami pernah terlibat dengan Pro-Mahasiswa dalam beberapa siri Pilihan Raya Kampus (PRK). Bukanlah sebagai calon Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang bertanding, tapi pasukan dibalik tabir yang datang tak dijemput dan pulang tak dihantar.
Setiap kali PRK hampir tiba, kami bertungkus-lumus mencari calon, bantu pendaftaran calon, mencanang kebaikan calon ke satu universiti serta benda-benda teknikal lain. Tujuannya tak lain dan tak bukan untuk calon itu menang di kerusi umum mahupun fakulti masing-masing.
Walaupun perjuangan ini tidak memiliki jam kredit, kami tetap bersusah payah. Calon-calon ini akan dibawa berentap dengan calon Aspirasi tajaan Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang sudah di seminarkan di Putrajaya.
Kami bukan hendak cakap yang PRK ini berat sebelah atau pun tak adil. Cumanya, banyak perkara yang sentiasa tak menyebelahi Pro-Mahasiswa dan calonnya. Diletaknya tarikh berkempen pendek dan begitu rapat dengan tarikh mengundi.
Sehingga pernah, hari ini pasukan kami yang tak ditaja HEP pergi gantung poster panjat tiang bagai, esok malamnya sudah perlu dicabut kerana hari mengundi sudah selesai.
Semput kami dibuatnya. Ya lah, Pro-Mahasiswa guna duit sendiri. Plastik dan tali rafia dikutip balik untuk guna pada PRK mendatang. Calon tajaan HEP tak perlu risau, biarkan sahaja bersepah dan mak cik cleaner akan mengutipnya.
Ada sekali pada PRK yang lain, tarikh mengundi dipilih pada hari cuti pertengahan semester. Pelajar mahu balik bercuti jumpa keluarga. Apa kejadahnya dipilih tarikh yang sangat cantik sebegitu? Kadang kala, tarikh mengundi diletaknya pada minggu berderet para pelajar ada ‘test’ subjek.
Semestinya pelajar akan fokus kepada ‘test’ berbanding PRK. Atau memang sengaja tidak mahu pelajar tahu kewujudan PRK? Tapi kami akur dan sentiasa ‘follow the rule’, takut-takut pendaftaran calon kami dibatalkan HEP.
Sudahlah tarikh tidak menyebelahi kami, sewaktu memilih Yang Di-Pertua (YDP) semakin nampak berat sebelahnya. Ada calon umum kami mendapat undian tertinggi yang logiknya layaklah mengetuai MPP dan jadi YDP. Tapi, apakan daya? Nombor 9 juga dipilih kerana menepati cita rasa mereka.
Berita gembiranya, YDP 9 yang kami gelarkan itu begitu kuat melawan kerajaan UMNO/BN hari ini. Alhamdulillah.
Begitulah pentingnya strategi mengkucar-kacirkan lawan hanya dengan memanipulasi tarikh mengundi dan berkempen. Waktu itu, mungkin kami yang seramai lebih 50 orang ini sahaja yang terpaksa menahan peritnya kerana pemilihan tarikh mengundi yang sangat menyakitkan ini.
Pelajar lain pastinya tidak kisah. Calon tajaan HEP tersenyum gembira kerana mungkin sudah tahu awal tarikh berkempen dan mengundi.
Hari ini, rasakanlah apa yang kami rasa dulu. Betapa sakitnya bila tahu tarikh mengundi menyusahkan diri kau di saat kau betul-betul mahu jatuhkan kerajaan.
Rasakanlah dengan penuh geram dan memberontak. Ajarlah sesuatu kepada kerajaan UMNO/BN yang telah meninggalkan terlalu banyak kenangan buruk kepada kami. Hingga pernah kami rasai di universiti tempat anak bangsa Malaysia menimba ilmu.