Jari-jemari alumni picisan ini terasa berat untuk turut menyampuk dalam perang penulisan mahasiswa ini. Hati menjadi resah dan tangan menjadi tegap pabila budak Suhail (Penulis artikel: Hey! Rahman Kau Siapa?) mengimbau sejarah gelap buat Adam Adli yang juga menulis, tapi tiada mahasiswa di zamannya membalas. Alumni picisan ini fikir ia satu kemalangan yang besar buat mahasiswa yang bergeraknya dengan enjin dan motor.
Alumni picisan sekali lagi terasa berat ketika menamakan artikel ini ‘Dari Selatan’. Sudah setahun alumni picisan meninggalkan negeri kebanggaan Bangsa Johor itu. Dek kerana tiada siapa berselera mendengar cerita, derita gerakan mahasiswa sana, maka layaklah dipanggil ‘alumni mahasiswa picisan’. Mahasiswa-mahasiswa Selatan (UTHM, UTM, UiTM Segamat, UteM dll) pastinya ada menyinggah Nadi Siswa walau hanya dengan satu kelipan mata. Alumni picisan yakin, tidak ada yang akan terjun masuk berbalas tulisan di sini.
Terpaksalah kuda tua yang stamina kemahasiswaannya di tahap rendah ini memulakan derapan lariannya dulu di sini. Alumni picisan bekas so-called gerakan mahasiswa dari Selatan senada dengan mahasiswa Sabah yang diwakili oleh tulisan budak Mukmin (Penulis artikel: Dari Borneo Memerhati Mahasiswa Berbalas Tulisan). Nada setara betapa pentingnya berita-berita gerakan mahasiswa di Semenanjung khususnya Lembah Klang kerna di situ tumbuhnya benih gerakan mahasiswa dari tanah sejarah. Posisi universiti teman-teman juga seolah-olah mengepung pejabat Kementerian Pendidikan saban hari.
Sisi sejarah yang mungkin tepat di saat ini
Apabila timbulnya berita mengenai Mortar Movement yang menjelajah dari kampus ke kampus, ianya pasti kalau tidak banyak, sekurang-kurangnya mendapat perhatian pihak-pihak tertentu. Mortar Movement sudah menjelajah ke beberapa kampus dengan mambawa Fahmi Reza (pelukis badut Najib) sebagai story teller sejarah perjuangan gerakan mahasiswa sebelum 1975. Budak Suhail menerangkan ianya satu platform untuk berkongsi sejarah gerakan sebagai satu doktrin efektif dengan harapan akan bertemu titik kebersamaan gerakan mahasiswa seluruh negara.
Budak Rahman (penulis artikel: Romantism Ceramah Fahmi Reza dan Realiti Semasa) telah mengetengahkan kritikan mengenai penceritaan sejarah yang dibawa bersifat romanstism yang hanya membawa mahasiswa berkhayal-khayal mata stim dengan sejarah tanpa sebarang sistem dan propaganda. Alumni picisan sama sekali tidak ke ceramah itu.
Namun, alumni picisan syak yang budak Rahman berpendapat sebegitu kerana sejarah yang diceritakan mungkin lebih bersifat kronologi dari tahun ke tahun. Jika inilah sisi penceritaan yang dipilih, sejarah tadi akan hanya memberi semangat dan rasa ingin melawan seperti yang disebut budak Izzah Dejavu (Penulis artikel: Biar Mereka Beronani Sampai Mati Kalau Mereka Mahu) tentang fungsi sejarah.
Buku mengenai kronologi sejarah gerakan amat banyak. Buku mengenai sistem dan propaganda gerakan mahasiswa tidak pasti jika wujud di perpustakaan. Contoh mudah, jika kita mendengar sejarah mengenai Kesatuan Siswazah Institut Teknologi (KSITM) yang berdemonstrasi besar-besaran menuntut kerajaan mengiktiraf diploma keluaran ITM yang akhirnya dilaksanakan kerajaan. Pastinya berkobar-kobar semangat melakukan tindakan yang sama dalam menyelesaikan sesuatu isu.
Tapi, pernahkah kita memilih sisi bagaimana KSITM tahun 1970-an ketika itu menyusun semua mahasiswanya dari pelbagai bidang untuk memainkan peranan masing-masing? Bayangkan ketika itu, mahasiswa Hotel Catering menyediakan makanan, mahasiswa Mass Comm buat perang saraf media. Pelajar kejuruteraan pula buat kerja mereka sehingga pernah merampas keretapi untuk mengangkut mahasiswa ITM turun berdemonstrasi setelah jalan raya dihalang.
Mungkin bagi alumni picisan ini, sudah tiba masanya pemimpin gerakan mahasiswa menyusun masa dan aturkan pertemuan dengan otai-otai gerakan mahasiswa zaman silam. Bagi menadah telinga dan mengamati sistem dan struktur pernah mereka gunakan dalam pembentukan organisasi. Inilah sisi sejarah untuk pembentukan gerakan mahasiswa kini pada pandangan alumni picisan.
Beberapa eksperimen untuk dijadikan iktibar dalam pembentukan semangat kebersamaan
Habis cerita mengenai sisi sejarah. Beralih kepada persoalan budak Suhail dan budak Rahman mengenai pembinaan semangat kebersamaan (solidariti) gerakan mahasiswa seluruh negara. Alumni picisan tiadalah kepakaran ini. Tapi, izinkan dikongsi fakta psikologi manusia yang menggamit perhatian berkisar semangat kebersamaan. Dua pakar psikologi telah menjalankan Kajian Penjara BBC (The BBC Prison Study). Semuanya hanya olok-olok. Para pengawal diberi uniform dan kuasa. Para banduan pula diletakkan di dalam sel. Satu sel tiga banduan.
Hasil kajian membuktikan sekumpulan manusia yang berkongsi identiti yang sama akan berkongsi nilai dan matlamat yang serupa. Dari situ, respek dan sokongan sesama sendiri akan bertambah serta dapat bekerjasama sebagai satu unit efektif.
Persoalannya nanti, apakah mampu pemimpin-pemimpin gerakan mahasiswa berkongsi identiti yang sama? Mampukah pemimpin-pemimpin gerakan mahasiswa membina identiti yang sama dengan mahasiswa yang kalian anggap pasif (mungkin di mata kalian)?
Budak Suhail dan budak Rahman pun tahu. Ahli gerakan mahasiswa sebelum ini yang tidak Pro kepada kerajaan kebanyakan direkrut bawah payungan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melalui unit Jabatan Perkaderan Mahasiswa. Semua berkongsi identiti yang sama. Apabila perpecahan berlaku di dalam PAS, maka gerakan mahasiswa ini tadi juga terpecah hingga ada yang terkubur. Alumni picisan pasti, inilah punca identiti ahli gerakan mahasiswa juga berpecah.
Ketika wabak ini hinggap dari kampus ke kampus, kami dari universiti yang Menteri Mentornya DS Hishamuudin Tun Hussein mampu bertahan dan terus bertandang dalam gelanggang Pilihan Raya Kampus (PRK). Tidak mahu bagi kerja mudah kepada HEP untuk memenangkan calon pilihannya sahaja. Alumni picisan rasa, inilah bahan eksperimen yang paling hampir dengan apa yang dicari untuk membentuk semangat kebersamaan (solidariti) di saat identiti asal sudah terpecah. Ketika ini identiti baru dibina semula dengan memanfaatkan setiap kelebihan pada ahli gerakan mahasiswa yang ada. Merenung kembali zaman itu, terhasillah beberapa input ini:
1) Matlamat jelas dan realitisik dibentuk: Presiden/Ketua gerakan ketika itu menyatakan matlamat untuk menjadi role model kepada gerakan di kampus lain bahawa berpecah hanya akan merugikan peluang yang ada dalam Pilihan Raya Kampus (Pilihan Raya Kampus).
2) Nilai harapan dalam matlamat: Ahli gerakan bersatu untuk memenangkan calon supaya kebajikan mahasiswa bawah calon gerakan (Pro Mahasiswa) dapat dibawa dengan lebih baik.
3) Memanfaatkan keunikan setiap ahli/kumpulan dalam gerakan: Kumpulan mencari dana membuka kiosk printing dan perniagaan kecil-kceilan lain yang ada di dalam kampus sejak awal lagi sebelum PRK. Kumpulan media mencari page/identiti di media sosial lain untuk bekerjasama menyebarkan propaganda. Kumpulan yang ada pengalaman berpidato akan ajar calon berpidato dan sebagainya.
Naikmatilah tiga ouput yang berjaya alumni picisan proses dari eksperimen kejayaan Pro Mahasiswa UTHM merampas 14 kerusi di kala kampus lain berpecah dan ambil jalan mudah memboikot PRK. Moga ia mampu beri gambaran kepada pemimpin gerakan mahasiswa masa kini untuk terus bergerak.
6 punca sampingan yang menggagalkan gerakan mahasiswa dari buku ‘Kalau Saya Mahasiswa’
Selesai mengenai eksperimen yang boleh digunakan untuk membina semangat kebersamaan, alumni picisan tersentuh dengan perkataan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) yang dipetik budak Izzah. AUKU yang mula dilaksanakan tahun 70-an telah pun dipinda tahun 2009 di mana ada banyak perkara sudah dilonggarkan. Persoalan tetap timbul, mengapa gerakan mahasiswa masih belum mampu digerakkan dan bersatu? Saifuddin Abdullah selepas 100 hari memegang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan ada menyentuh punca-punca ini dalam bukunya ‘Kalau Saya Mahasiswa’. Ada 10 perkara dan alumni picisan ingin senaraikan 6 yang makin jelas lagi bersuluh wujud di dekad ini.
1) IPTA dan IPTS yang semakin banyak menjadikan gelaran mahasiswa tidak lagi istimewa dan menggamit perhatian masyarakat
2) Sistem CGPA setiap semester telah menjadi pelajar lebih bertungkus-lumus untuk akademik semata-mata kerana peperiksaan
3) Badan-badan masyarakat sivil yang menjadi semakin mengkhusus dan profesional hingga menenggelamkan gerakan mahasiswa
4) Ramai pemimpin parti politik terdiri dari bekas aktivis dan pendokong gerakan mahasiswa yang menyebabkan parti politik mempengaruhi gerakan mahasiswa
5) Zaman kemuncak gerakan mahasiswa dulu dasar utamanya isu kemiskinan dan sekarang isu kemiskinan agak terpencil dan tak menonjolkan ketidakpuasan besar rakyat
6) Perpecahan di kalangan mahasiswa Melayu atas dasar siapa lebih Islamik
Enam punca sampingan ini juga harapnya mampu menjelaskan lagi kepada budak Suhail kenapa sukar untuk wujud gerakan mahasiswa seperti sebelum tahun 1975. Jika dapatlah penyelesaian untuk enam punca ini, alumni picisan yakin dengan peranan gerakan mahasiswa yang mendatang.
Kayu ukur kewujudan gerakan mahasiswa
Di akhir ini, alumni picisan terpanggil menjawab persoalan budak Mukmin mengenai wujudkah lagi Gerakan Mahasiswa? Alumni picisan pun sekali lagi terfikir bagaimana untuk menentukan kewujudan gerakan itu? Sekali lagi, buku ‘Kalau Saya Mahasiswa’ tulisan Saifudin Abdullah dijadikan sandaran seperti diterangkan dalam perenggan seterusnya.
Di kampus-kampus, ada organisasi mahasiswa yang kerap membuat aktiviti yang sentiasa mengisi jadual mahasiswa walaupun tidak memberi kesan. Di menara gading juga, ada organisasi mahasiswa menjalankan aktiviti berbentuk bakti dengan penuh sistematik hingga meninggalkan kesan. Namun, ini bukanlah kayu ukur untuk menentukan kewujudan gerakan mahasiswa.
Kayu ukurnya adalah aktiviti advokasi atau bahasa marhaennya organisasi mahasiswa menjalankan proses pembuatan atau pun yang mempengaruhi pembuatan keputusan. Advokasi ini boleh wujud melalui memorandum, perundingan, melobi dan lainnya yang kadang kala melibatkan proses mempengaruhi orang ramai (seminar, demonstrasi, kenyataan akhbar dan seangkatan dengannya).
Melalui kayu ukur ini, masih wujudkah gerakan mahasiswa?