Gandingan PAS dan Umno-BN potensi mewujudkan polarisasi – Wan Salman Wan Sallam

(29/10/2015)

Walaupun tidak dinyatakan secara terperinci bagaimana bentuk “kerjasama” itu, tidak pelik untuk diandaikan kerjasama ini berkemungkinan besar bersifat politik; kerjasama ketika pilihan raya khasnya.

Hakikatnya, kewujudan persaingan politik yang sihat dengan kewujudan 2 angkatan politik besar – BN dan Pakatan Rakyat dahulu – pun terancam apabila PAS dan DAP berbuat keputusan untuk tidak lagi bersama sebilik.

Sungguhpun begitu, pada awalnya kita masih lagi bersikap optimis apabila PKR mencadangkan kepada PAS, melalui Timbalan Presiden Ustaz Tuan Ibrahim Tuan, agar diadakan kerjasama pilihan raya.

Kerjasama ini wujud dalam erti kata memastikan perlawanan satu lawan satu dengan BN walaupun PAS tidak bersama Pakatan Harapan (PH). Mungkin ada yang bertanya mengapakah penting PAS sebagai sebuah parti yang bersifat Islam tidak bergabung dengan BN?

Am mengetahui walaupun terdapat lebih daripada 10 parti yang menganggotai BN, yang benar-benar berpengaruh membuat keputusan hanyalah Umno. Menyedari MCA tidak mampu berperanan besar mempengaruhi hegemoni “penyelamat Melayu” kita melihat berlakunya peralihan undi kaum Cina terutamanya, kepada Pakatan Rakyat pada 2008. Peralihan tersebut yang menjadikan polarisasi kaum mengikut pilihan politik hanya bertambah teruk pada 2013 lalu dengan lebih tergambarnya Melayu memilih BN dan Cina memilih Pakatan.

Secara prinsipnya tiada masalah pun sesiapa hendak memilih parti mana.

 

Namun senario ini dilihat tidak sihat memandangkan parti yang dipilih sebagai pemimpin dan parti yang bertindak sebagai penyemak dan pengimbang tidak mempunyai representasi kaum yang sihat.

Hasilnya, setiap kali satu dasar dicadangkan dan setiap kali ia dibangkang, seolah wujud konflik kepentingan mengikut kaum.

Bagaimana pula PAS akan memburukkan lagi keadaan ini apabila bergabung dengan Umno-BN?

Ketika PAS masih dalam Pakatan Rakyat, merekalah yang menjadi representasi sihat Bumiputera–Melayu–Islam bagi sebuah pakatan politik. Malah Pakatan sendiri secara relatifnya pada awal penubuhannya lebih sihat dari segi peranan parti dalam sebuah gabungan politik gergasi.

Mereka mempunyai majlis presiden yang mana setiap parti mempunyai suara dan jika ada yang tidak perasan, setiap suara yang mewakili parti komponen mempunyai suara yang lebih signifikan berbanding parti komponen BN selain Umno. Takdir menimpa dan polarisasi undi mengikut kaum tetap berlaku.

PAS pula akhirnya membawa diri dan tidak nampak tanda menerima cadangan PKR iaitu kerjasama pilihan raya. Selama ini, dengan adanya PAS pun sedia memperlihatkan kecenderungan kaum majoriti negara demokrasi ini terumpan dengan permainan perkauman.

Apa pula yang bakal terjadi jika parti ini bergabung pula dengan parti yang awalnya memulakan permainan perkauman demi keuntungan diri sendiri?

Kritikan terhadap idea positif ini bukanlah bertujuan untuk memastikan PAS melakukan sesuatu agar Pakatan Harapan menang dan BN kalah.

Justeru hal ini lebih besar daripada kemenangan satu parti itu. Kita ingin menyelamatkan Malaysia daripada pihak yang ingin satu kaum sahaja memerintah dan menjadikan Malaysia negara yang corak politiknya bersifat “Melayu lawan kaum lain”.

Kita ingin mengikut semangat perlembagaan yang mengiktiraf kita semua yang lahir di sini, bertungkus lumus menjadikan Malaysia sekaya dan semakmur ini sihat perwakilan politiknya.

Malah lebih teruk untuk dakwah Islam, memandangkan majoriti kaum Melayu di negara ini beragama Islam, apabila terjadi situasi “Melayu lawan kaum lain”, situasi ini akan menggambarkan seolah Muslim ini memang tamak kuasa sedangkan di Malaysia ini lebih 40 % penduduknya ialah bukan Melayu dan Muslim.

Malah 40% peratus bukan Melayu faktor yang menguatkan lagi perlunya penyertaan dan representasi sihat dalam sesebuah gabungan politik memandangkan mereka juga pemegang minoriti yang besar. Menghargai semua pihak yang menjadikan Malaysia ini merupakan satu dakwah mulia.

Maka jika PAS ingin mempertimbangkan gabungan dengan BN, fikirkan semula ke mana anda akan tuju.

Akan sampaikah anda ke tempat yang dituju atau hanya lebih jauh daripadanya?

Sejauh mana Himpunan Ummah memberikan kesan kepada PRU15 nanti?

 

Leave a Reply