Cukupkah perbelanjaan kesihatan kita?

Oleh Wan Salman Wan Sallam

Perbincangan berkenaan hal ini bukanlah sesuatu yang baharu. Dalam dunia akademik, kesihatan awam, dan dalam kalangan pakar ekonomi kesihatan, hal ini sudah lama dibincangkan sehingga membawa pada beberapa percubaan reformasi sistem pembiayaan kesihatan negara.

 

Perbincangan ini menjadi lebih rancak lagi baru-baru ini apabila pada laporan Jabatan Audit Negara (https://www.theedgemarkets.com/article/audit-finds-malaysian-hospitals-understaffed-underfunded-and-overcrowded?fbclid=IwAR3yqGLO9siklg02o98xr0GGiFO_QFWH8Iwqvqglwg9_XonifeaMSr1AcHg) mendedahkan bahawa hospital-hospital milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kekurangan dana, kekurangan kakitangan, dan telah mencapai tahap kesesakan yang tinggi. Krisis kekurangan dana KKM yang dilaporkan antaranya ialah daripada 2016 hingga 2018, hanya 21 peratus sahaja peruntukan yang diluluskan daripada jumlah yang dipohon bagi tujuan menggantikan peralatan dan kelengkapan lama.

 

Laporan tersebut juga melaporkan bahawa kekurangan staf kesihatan dan kesesakan melampau di hospital-hospital KKM ditambah buruk lagi, Jabatan Perkhidmatan Awam mengecilkan penjawatan KKM sebanyak 1 peratus.

 

Isu kekurangan dana ini menjadi lebih kompleks dalam perang Malaysia melawan pandemik COVID-19. Peningkatan bebanan melawan pandemik ini sudah tentulah sebahagian besarnya membawa impak peningkatan penggunaan sumber yang mendadak yang memerlukan pertimbangan semula sama ada kita bersedia secara kewangan untuk menghadapi keperluan-keperluan mendesak ini.

 

Sebagai contoh, dalam pengurusan wabak COVID-19 ini sendiri, keperluan meningkatkan kapasiti ujian sudah tentu menambah beban kewangan yang signifikan. Satu unit ujian tahap “gold-standard”, iaitu “Real Time Reverse Transcriptase Polymerase Chain Reaction” (rt-PCR) sahaja sudah mencecah ribuan ringgit. Jika pengesanan kes secara aktif (“active case detection”) perlu dilakukan sebagaimana yang digesa pelbagai pihak, maka sudah tentu lebih besar lagi jumlah yang perlu diperuntukkan, apatah lagi jika ujian ini melibatkan juga pekerja asing dan imigran yang mana status jangkitan mereka juga merupakan isu kesihatan awam.

 

Bagi memastikan kapasiti ujian ini dapat dipertingkatkan, sudah tentulah lebih banyak lagi kelengkapan makmal perlu dipertingkatkan agar kemampuan makmal sedia ada untuk melakukan ujian ini dapat dipertingkatkan. Selain itu, penambahan kelengkapan makmal ini juga penting bagi memastikan lebih banyak makmal dapat melakukan ujian COVID-19 agar sampel dapat dihantar ke makmal yang lebih dekat.

 

Peningkatan kapasiti ujian yang dicanang oleh banyak pihak ini juga bermakna adanya keperluan untuk meningkatkan kapasiti pengasanan hubungan rapat pesakit COVID-19. Penambahan bebanan kerja ini sudah tentu bermakna penambahan pengunaan sumber manusia dan sumber-sumber lain berkaitan seperti pengangkutan dan bahan api. Semua ini akhirnya akan diterjemahkan sebagai peningkatan beban kewangan

 

Selain itu, kontroversi berkenaan Kelengkapan Perlindungan Diri (PPE) staf kesihatan juga turut timbul yang membabitkan desas-desus adanya masalah bekalan PPE, sama ada tidak mencukupi atau adanya masalah logistik. Desas-desus ini diperkuatkan lagi dengan adanya laporan daripada Malaysia Gazzette (https://www.facebook.com/watch/?v=172164000580784) bahawa staf kesihatan juga menyumbang masa dan tenaga mereka untuk menjahit PPE agar bekalan mencukupi.

 

Walaupun difahami mereka melakukannya secara sukarela, namun pendedahan ini jelas menunjukkan bahawa jika krisis sebegini besar berlaku lagi sekali dengan skala yang sama, hal ini memperlihatkan bahawa kita berkemungkinan besar tidak cukup bersedia dari segi kewangan walaupun kita mungkin bersedia dari sudut strategi.

 

Dari sudut sumber manusia pula, pada peringkat awal krisis ini menjadi rumit, kerajaan mula mempercepatkan pengambilan pegawai perubatan siswazah dan staf-staf kesihatan untuk kemasukan dalam perkhidmatan awam. Walaupun hanya kemasukan secara kontrak, kemasukan segera ini pastinya memakan kos yang besar.

 

Tambahan pula, insentif kepada staf-staf kesihatan sedia ada perlu diteruskan agar mereka lebih bermotivasi untuk komited dalam perang melawan pandemik yang rumit dan mencabar ini.  Bonus atau elaun khas mungkin berpatutan untuk tujuan ini pada jangka masa pendek.

 

Namun untuk jangka masa panjang, bagi memastikan mereka terus bermotivasi, hakikatnya jaminan sekuriti sosial terhadap pekerjaan mereka adalah lebih penting. Sebahagian besar antara mereka, jika tidak semua sekali, mesti dijamin untuk serapan perkhidmatan tetap. Hal ini bukan sahaja penting sebagai suatu bentuk sekuriti sosial yang menjamin pekerjaan mereka dan sebagai suatu tanggungjawab moral untuk membalas budi staf-staf kesihatan, tetapi juga penting untuk kesihatan awam, agar doktor-doktor dan staf-staf kesihatan mencukupi untuk kita bersedia menghadapi krisis sesukar ini atau yang lebih sukar lagi pada masa akan datang.

 

Tidak cukup dengan itu, latihan untuk kepakaran perubatan juga perlu dijamin dan dipertingkatkan agar lebih ramai pakar perubatan dapat diserap dalam perkhidmatan bagi menghadapi wabak ini.

 

Malah apabila adanya kemungkinan berlakunya krisis sebegini parah sekali lagi, adakah fasiliti kesihatan kita cukup bagi menampung pesakit COVID-19 lagi? Sebagaimana yang dimaklumkan oleh KKM sendiri, apabila sesebuah hospital digunakan untuk merawat pesakit COVID-19, hospital tersebut tidak boleh digunakan untuk rawatan lain yang kurang serius kecuali untuk kes kecemasan. Maka kita perlu membangunkan lebih banyak lagi fasiliti alternatif lain bagi memastikan kes-kes perubatan lain dapat dirawat jika fasiliti perubatan pakar digunakan untuk merawat COVID-19.

 

Kesemua faktor yang disebutkan di atas bermakna keperluan perbelanjaan kesihatan pada masa-masa yang akan datang akan meningkat mendadak bukan sahaja kerana kita sedang menghadapi krisis, tetapi juga bagi memastikan kesediaan untuk menghadapi krisis-krisis kesihatan lain lagi.

 

Namun persoalannya, adakah pembiayaan kesihatan kerajaan sekarang cukup untuk menampung segala keperluan di atas?

 

Menurut beberapa sumber, sesebuah negara perlu membelanjakan sekurang-kurangnya 7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk kesihatan bagi memastikan sistem kesihatan dapat beroperasi dengan lancar.

 

Menurut Laporan Perbelanjaan Kesihatan Kebangsaan 1997-2018 (https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Penerbitan%20Utama/MNHA/Slaid_Pembentangan_Mesyuarat_Jawatankuasa_Pemandu_MNHA_2019_(14_Nov_2019)_-_MNHA_National_Health_Expenditure_Report_1997-2018.pdf) , dari tahun 1997 sehingga 2018, terdapat peningkatan peratusan jumlah perbelanjaan kesihatan secara amnya. Namun pada 2018, Malaysia direkodkan masih membelanjakan hanya 4.24 peratus daripada KDNK, jauh daripada 7 peratus yang disebutkan di atas. Malah, peratusan ini jauh lagi lebih rendah berbanding peratusan perbelanjaan kesihatan global daripada KDNK global yang dilaporkan oleh Bank Dunia pada 2017 iaitu 9.9 peratus. Perbelanjaan kesihatan kerajaan sebagai peratusan daripada KDNK pula lebih rendah lagi, iaitu sebenarnya 2.2 peratus sahaja KDNK pada tahun 2018 atau 52 peratus daripada jumlah perbelanjaan kesihatan keseluruhan.

 

Hakikatnya, peningkatan belanjawan untuk KKM adalah mustahak bagi memastikan keperluan KKM sedia ada dan yang disebutkan di atas dapat ditampung. Sebagai contoh, telah diakui banyak pihak bahawa peningkatan belanjawan KKM yang tertinggi untuk 2020 sebenarnya yang membolehkan kita bersedia untuk melawan wabak ini pada tahun ini meskipun berdepan berbagai-bagai cabaran politik dan keselamatan.

 

Namun begitu, jumlah RM 30.6 billion untuk belanjawan KKM tahun ini sebenarnya hanyalah bernilai 1.91 peratus sahaja daripada KDNK Malaysia pada tahun 2019. Walaupun benar jumlah peruntukan KKM meningkat sebanyak 6.7% berbanding pada tahun 2019, jumlah ini hakikatnya masih dilihat kecil untuk menampung semua keperluan yang disebutkan di atas.

 

Maka bagaimana caranya Malaysia mungkin dapat meningkatkan perbelanjaan kesihatan kerajaan secara signifikan bagi memenuhi keperluan-keperluan tersebut?

 

Jika sebelum ini, kita mungkin boleh membincangkan (https://www.malaysiakini.com/news/484519) menarik sebahagian daripada peruntukan kementerian lain untuk disalurkan kepada KKM. Namun keadaan sekarang lebih kompleks kerana sektor apakah yang sanggup dikorbankan untuk tujuan ini dalam keadaan ekonomi yang gawat sekarang?

 

Realitinya, keadaan menjadi lebih rumit akibat kegawatan ekonomi disebabkan oleh sekatan sektor ekonomi yang berlaku pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Sebelum tempoh PKP Bersyarat (PKPB), Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melaporkan bahawa setiap hari PKP berlalu, negara telah kerugian RM 5 biliion. Maka perbincangan sebegini adalah lebih rumit memandangkan pendapatan kerajaan sendiri berkurangan.

 

Malah, perbincangan sama ada rakyat perlu membayar lebih untuk khidmat kesihatan kerajaan juga makin rumit sekarang memandangkan kegawatan ekonomi ini menyebabkan ramai jatuh ke lembah pengangguran dan hilang punca pendapatan. Maka kerajaan akan dilihat seperti mengabaikan tanggungjawab sosial jika beban pembiayaan kesihatan terpaksa jatuh pada bahu rakyat pada masa-masa yang sukar seperti ini.

 

Mahu tidak mahu, akhirnya pendapatan kerajaan sendiri juga yang perlu ditingkatkan bagi menampung perbelanjaan kesihatan yang mendesak ini. Hal ini bermakna perlunya rangsangan besar-besaran terhadap ekonomi agar kerajaan mendapat pulangan kembali daripada ekonomi yang rancak dan akhirnya dapat menampung keperluan kesihatan awam.

 

Sungguhpun begitu, hal ini bermakna kerajaan perlu berkorban dengan membelanjakan lebih lagi, malah mungkin berbelanja secara defisit bagi merangsang ekonomi selari dengan dasar ekonomi Keynesian.

 

Malah, jika kerajaan lebih berani, kemungkinan adanya keperluan untuk berbelanja secara defisit untuk menampung keperluan kesihatan awam secara langsung. Menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu ucapannya, berbelanja lebih untuk kesihatan awam bukan sahaja merupakan perkara yang patut dilakukan, malah ia merupakan suatu tindakan yang bijak untuk dilaksanakan.

 

Hal ini adalah kerana apabila kerajaan berbelanja lebih untuk kesihatan awam, kesihatan rakyat akan lebih terjamin dan seterusnya lebih ramai individu boleh kembali bekerja dan merancakkan lagi ekonomi. Dalam kata lain, peningkatan perbelanjaan kesihatan awam sendiri hakikatnya ialah pelaburan untuk  ekonomi kerana ekonomi yang mapan hanya akan menjadi realiti apabila kesihatan rakyat terjamin.

 

Perbincangan pembiayaan kesihatan Malaysia sudah sekian lama rumit. Hal ini bertambah rumit lagi dalam kita menghadapi perang melawan pandemik COVID-19 kerana keperluan kesihatan awam dan perubatan telah jadi makin mendesak. Sungguhpun begitu, kepercayaan terhadap kerajaan perlu juga dipulihkan dengan cara jaminan bahawa sejumlah besar pelaburan akan ditekankan untuk memastikan kesihatan rakyat terjamin dalam bencana wabak ini agar kegusaran rakyat mula pulih dan agar kita segera mampu melawan wabak ini sebaik mungkin.

 

Penulis ialah aktivis Belia Harmoni Cheras Baru

 

 

 

 

Leave a Reply