Wahai MPP, Hentikan Wayang Parlimen Mahasiswa!

Hari ini saya ingin membawa anda kepada satu kefahaman baru tentang bagaimana berfungsinya parlimen mahasiswa. Segala masa yang dihabiskan untuk berhujah dan membangkang usul-usul yang dibentangkan akan sia sia jika anda mempunyai tanda-tanda berikut di dalam parlimen mahasiswa di universiti anda!

Tanda pertama ialah pemimpin mahasiswa menganggap parlimen mahasiswa adalah simbol autonomi mahasiswa. Tanggapan ini adalah salah. Parlimen mahasiswa adalah lebih kepada soladiriti suara seluruh pemimpin mahasiswa di sesebuah universiti, bukan satu badan berkuasa universiti yang menentukan polisi. Ini satu perkara yang kita sedar. Autonomi mahasiswa terletak pada penglibatan mahasiswa dalam badan-badan berkuasa universiti. Boleh rujuk perlembagaan universiti anda untuk tahu dengan lebih lanjut apakah yang dimaksudkan dengan badan berkuasa universiti.

Tanda kedua pula ialah mahasiswa bersorak keceriaan apabila usul diluluskan di dalam parlimen mahasiswa. Sesungguhnya hujahan itu adalah hanya sesama mahasiswa dan keputusan usul itu tidak langsung mengikat universiti. Ia hanya merupakan satu idea yang boleh dijadikan perkara yang bakal dirunding dengan pihak pentadbiran universiti.

 

Tanda ketiga yang paling kritikal saya kira adalah tiada sesi pelaksanaan usul. Sepanjang hari bersidang dua tiga hari hanya berhujah dan berbincang sahaja. Kemudian, tangkap gambar dan akhirnya mahasiswa menang! Kayu ukur kepada keberjayaan sesebuah parlimen mahasiswa adalah pada sistem parlimen mahasiswa itu dalam memilih usul yang berkualiti dan memastikan ia dilaksanakan melalui medium yang betul.

Reformasi sistem parlimen mahasiswa merupakan manifesto saya pada pilihanraya lepas. Saya ingin kongsikan bagaimana kita boleh menambahbaik sistem parlimen mahasiswa. Yang pertama, kita harus memastikan ahli yang mengendali parlimen itu mempunyai ilmu asas mengenai parlimen. Maka kami memanggil ahli daripada parlimen untuk mengajar melalui bengkel. Kemudian, kami mengarang “standing order” atau peraturan mesyuarat untuk memastikan aturan sidang berjalan dengan lancar.

 

Kami juga membina satu sistem saringan usul yang sistematik. Kami tidak mahu usul yang dibincangkan tidak langsung membawa manfaat kepada mahasiswa secara keseluruhan atau hanya remeh temeh. Di dalam idea reformasi ini, kami mewujudkan satu “selection committee” yang terdiri daripada pelajar yang bukan ahli parlimen mahasiswa (pelajar biasa), Komiti ini akan melantik salah seorang sesama mereka  menjadi speaker dewan melalui undian sesama ahli komiti. Tidak ada lantikan khas daripada MPP. Kemudian pelantikan setiausaha akan dilakukan. Ini untuk mengelakkan atau mengurangkan bias untuk berpihak kepada sesiapa di dalam dewan. Ahli yang tidak dilantik menjadi speaker dan setiausaha akan menjadi ahli kepada komiti tersebut. Untuk membuat pemilihan ini, setiap fakulti wajib menghantar wakil.

Kemudian, selection committee yang diketuai oleh speaker dewan akan melakukan saringan yang amat khusus untuk memastikan usul itu mempunyai kualiti dan manfaat untuk mahasiswa di universiti. Selepas itu notis akan dikeluarkan untuk menjemput semua pemimpin mahasiswa untuk bersidang. Kualiti hujahan juga akan dikawal rapi oleh speaker dewan supaya masa dapat dimanfaatkan sebetulnya.

 

Setelah sidang pertama habis, kita akan terus kepada sesi pelaksanaan usul. Sesi pelaksanaan usul dibantu oleh MPP. Perkara yang dibantu adalah MPP menerangkan kepada pembawa usul peringkat mana usul ini harus dibentangkan dan dibincangkan untuk pelaksanaan. Adakah peringkat fakulti? Peringkat pejabat atau jabatan? Dewan Senat atau Jawatankuasa Pengurusan Universiti?. Kemudian MPP membantu untuk menegur maklumat serta bukti apa yang perlu ada di dalam kertas kerja untuk meyakinkan pihak pentadbiran untuk menerima idea tersebut. Setelah itu MPP akan bersama dengan pembawa usul untuk berbincang bersama pihak pentadbiran untuk bekerjasama dalam melaksanakan usul tersebut.

Kita harus mengingati bahawa dalam sesi pelaksanaan usul, gagal atau lulus sesuatu usul bukanlah kayu ukur. Namun, proses yang betul membawa kearah pelaksanaan itu adalah kayu ukur. Penerimaan dan penolakan sesuatu usul oleh pihak pentadbiran universiti tidak bermaksud mereka menolak suara mahasiswa kerana mahasiswa harus faham juga ketika mencadangkan usul, adakah universiti mempunyai kapasiti kemampuan yang cukup untuk melaksanakan usul sedemikian. Oleh sebab itulah sesi penyaringan usul itu penting kerana ia melihat daripada sudut kualiti, peratus kemampuan untuk dilaksanakan dan manfaat kepada mahasiswa.

 

Formula dalam sesi pelaksanaan usul itu dapat dirumuskan begini. Usul yang diluluskan akan dihantar ke MPP untuk penilaian semula hujahan serta saluran yang betul. Setelah sesi konsultasi ini habis, maka pembawa usul bersama kumpulan mereka akan melakukan kajian maklumat penting dan sesi konsultasi bersama pakar. Pakar disini bermaksud staf atau pensyarah atau ketua jabatan yang mempunyai pengalaman yang luas mengenai usul itu.

Setelah itu barulah sesi pembincangan pelaksanaan akan dilakukan antara pihak mahasiswa (MPP dan pembawa usul) dan pihak pentadbiran. Setelah itu, gagal atau lulus harus dimaklumkan kepada mahasiswa. Untuk pemberitahuan usul di universiti kami, maklumat mengenai penerimaan dan penolakan usul oleh pihak pentadbiran akan dimaklumkan dalam jangka masa 2 minggu sebelum hari mesyuarat agung MPP.

 

Jika diluluskan, jangka masa persiapan akan dinyatakan. Saya harap anda mendapat satu ilmu yang baru dan saya halalkan jika anda mahu membawa reformasi ini ke dalam kampus. Era kesatuan mahasiswa bakal datang, marilah kita bersama memperkasakan parlimen mahasiswa kita untuk manfaat mahasiswa dan universiti secara keseluruhan! Sesungguhnya parlimen mahasiswa itu akan menjadi wayang jika usul yang dibawa hanya tertulis pada helaian kertas dan tidak dilaksanakan. Sekian.

Leave a Reply