Realiti politik kampus dahulu kini dan selamanya adalah sebahagian besar front yang wujud di dalam kampus dibantu oleh satu golongan yang aktif dalam medan politik nasional. Namun, saya tetap berpegang kepada satu prinsip bahawa di kampus, politik nasional tidak seharusnya memberi impak langsung kepada senario politik kampus.
Isu yang lebih utama untuk diurus di dalam kampus ialah samada polisi yang dikeluarkan oleh pihak pentadbiran itu pro kepada mahasiswa atau pentadbiran atau seimbang. Kewujudan setiap persatuan mahupun front adalah untuk memastikan setiap polisi itu adalah seimbang kerana jika terlampau pro-mahasiswa, ia akan memberikan impak negatif kepada universiti yang akhirnya akan mendatangkan keburukan kepada mahasiswa juga dan jika ia terlampau pro-pentadbiran, kesannya akan sama juga terhadap mahasiswa. Maka, keseimbangan adalah matlamat utama yang harus dicapai oleh wakil mahasiswa.
Antara sebab mengapa kita tidak harus mencampur-adukkan politik nasional ke dalam kampus ialah ia akan menyukarkan penyatuan mahasiswa untuk bekerjasama demi memastikan pentadbiran mengeluarkan polisi yang seimbang antara mahasiswa dan pentadbiran.
Antara kayu ukur samada polisi itu seimbang ataupun tidak ialah terdapat penglibatan mahasiswa di dalam mesyuarat-mesyuarat penting dalam pengeluaran polisi itu.
Namun, jika mahasiswa memasukkan elemen politik nasional di dalam kampus, walaupun kita terlibat sekalipun di dalam mesyuarat penting peringkat pentadbiran universiti, penyatuan mahasiswa akan runtuh dan keputusan akan berbelah bahagi dan pada akhirnya mahasiswa akan rugi. Adakah dengan penyatuan parti politik di dalam satu pakatan, baru mahasiswa boleh bersatu? Adakah bila parti politik berpecah dan menubuhkan parti politik baru, mahasiswa harus berpecah? Adakah kita boneka parti politik? Persoalan- persoalan ini anda sendiri boleh menjawabnya dan boleh melakukan refleksi.
Kesan seterusnya ialah wacana-wacana intelektual yang diadakan setiap persatuan pula akan kelihatan memihak kepada satu pihak sahaja sedangkan universiti adalah medan untuk mahasiswa menilai secara rasional mana yang benar mana yang batil.
Bagaimana kita ingin mencapai matlamat penilaian yang adil jika kita mengutamakan bendera parti daripada kesatuan mahasiswa? Dahulu ya, ia kelihatan seperti satu pihak sahaja bila wacana intelektual diadakan, tetapi dengan suasana yang baru ini, wacana intelektual haruslah melibatkan kedua-dua pihak yang menyokong dan membangkang sesuatu isu itu.
Sehubungan dengan itu, isu-isu utama di kampus pula, wakil mahasiswa akan berebut untuk selesaikannya untuk mendapat ‘political mileage’. Adakah ia satu sifat yang memberi manfaat? Berebut untuk selesai dan bukan bersatu untuk selesai? Saya sedar bahawa idea yang saya sampaikan ini amat sukar untuk dicapai atau ia akan dicapai dalam beberapa tahun akan datang kerana politik ini tidak boleh dijangka, apa yang kita tidak sangka untuk berlaku mampu berlaku pada bila-bila masa.
Penulisan ini bukan untuk mengatakan bahawa mahasiswa tidak boleh berpolitik di dalam parti. Silakan berpolitik di luar. Itu hak kita dalam zaman Malaysia yang baharu ini setelah kerajaan mengatakan AUKU bakal dimansuhkan. Tetapi bila kita langkah masuk ke kampus, kau dan aku, kita adalah sama.
Bersatu untuk masa depan universiti yang lebih cerah! Membina pemimpin yang lebih matang! Menjalinkan kerjasama mantap antara mahasiswa dan pentadbiran untuk membina kampus yang harmoni dan sejahtera! Perubahan ini hanya akan berlaku jika kita sebagai akar umbi melakukan perubahan. Pilihan adalah pada tangan anda. Sekian.