USM, PULAU PINANG, 28 Mac 2018 – Mahasiswa universiti mampu memberikan contoh terbaik kepada masyarakat dalam memperjuangkan isu-isu kemanusiaan seterusnya bangkit menyuarakan pendapat dan langkah terbaik untuk membantu mereka yang sedang bergelut dengan isu penindasan.

Atas sebab itu mahasiswa terutamanya mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) yang berintelektual adalah mereka yang mampu memberi impak kemanusiaan yang besar bukan sahaja kepada apa yang berlaku di negara ini bahkan peringkat global.

Itu harapan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr. Adnan Hussein yang menggesa mahasiswa supaya sentiasa cakna dan mengambil pendekatan terbaik membantu menangani isu-isu kemanusiaan yang berlaku di sekeliling kita masa kini.

“Saya menyeru mahasiswa USM untuk berani ke hadapan dalam memberikan idea mahupun pandangan kritis dalam pelbagai medium terutamanya di media sosial bagi memperjuangkan hak kemanusiaan yang dihadapi oleh negara-negara terlibat dengan krisis seperti tema yang diperjuangkan pada hari ini ‘Silence is Not an Option’,” katanya ketika merasmikan program Train to Humanity 2.0 di Dewan Tuanku Syed Putra di sini malam ini.

Bercakap di hadapan hampir 2,000 orang yang hadir, Adnan berharap usaha dan kerjasama padu ini bagi membantu masyarakat yang tertindas seperti Palestin, Syria, Rohingya dan sebagainya dapat diteladani seterusnya melahirkan bangsa yang cemerlang dan mampu meneruskan kesinambungan kebijaksanaan tampuk kepimpinan negara dalam meneruskan keharmonian, kesejahteraan dan pembangunan masyarakat.

“Mudah saya katakan bahawa penganjuran majlis sebegini cukup bermanfaat dalam memberi kesedaran kepada orang ramai tentang hak kemanusiaan dan dari itulah menjadi titik tolak buat USM berusaha melahirkan pelajar mengikut acuannya sendiri iaitu pelajar yang bakal menjadi graduan H.E.B.A.T. yang memiliki sifat Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate dan Thinking,” katanya.

Majlis anjuran Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR) ini turut diserikan dengan kehadiran artis terkenal tanah air, Faizal Tahir dan Maulana Mohamed, Duta Aman Palestin Malaysia yang berkongsi pengalaman saat getir kesengsaraan rakyat Palestin sepanjang berada di sana termasuk cabaran-cabaran yang ditempuhi memperjuangkan hak kemanusiaan di sana.

Yang turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan; Pengurus Aman Palestin Cawangan Pulau Pinang, Budiyanto Unggun; Penggawa Desasiswa Restu, Dr. Husaini Yaacob dan pegawai-pegawai utama Universiti.

By Editor

Leave a Reply