USM KUBANG KERIAN, 11 Mac 2018 – “Mahasiswa yang masih lagi melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) digalakkan menceburi bidang keusahawanan walaupun masih bergelar pelajar”, demikian perkongsian Pengerusi Koperasi Ko-Ummah yang juga Alumni Universiti Sains Malaysia (USM), Luqman Nurhakim Perma Suria.

Menurut Luqman, mahasiswa perlu mencari peluang untuk menjadi usahawan walaupun masih belajar di IPT kerana ia adalah salah satu peluang untuk menjana pendapatan apabila tamat belajar nanti.

“Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025, terdapat 10 lonjakan yang diketengahkan dan lonjakan yang pertama adalah melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

“Ia bertujuan untuk mengubah minda graduan daripada menjadi pencari kerja (job seekers) kepada penjana pekerjaan (job creators),” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam slot perkongsian bersama tokoh sempena Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) 2018 Zon Kelantan yang berlangsung di Kampus Kesihatan USM.

Luqman berkata, mahasiswa perlulah bijak mengambil peluang mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dengan menceburi bidang keusahawanan.

“Sesi perkongsian ilmu ini juga adalah satu langkah bagi mahasiswa melengkapkan diri untuk menjadi seorang usahawan berjaya.

“Sebagai contoh, pelajar boleh menceburi peluang dalam bidang agro yang mempunyai ruang pasaran yang besar, justeru mahasiswa perlu membuka minda bahawa pertanian hari ini bukan sahaja melibatkan aktiviti bercucuk tanam sebaliknya melalui industri agro moden seiring dengan ledakan industri 4.0 dan tidak mustahil dapat mencipta industri pertanian bernilai jutaan ringgit,” ujarnya.

 

SUMBER

By Editor

Leave a Reply