COVID-19: PATUHI PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN, KEBAJIKAN MAHASISWA TERUS DIJAGA.

Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI Malaysia) mengambil maklum dengan arahan penutupan semua IPT di seluruh Malaysia berikutan penularan wabak COVID-19. Keputusan berkenaan adalah sebahagian daripada perintah kawalan pergerakan yang penting dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan bagi mengurangkan bilangan positif COVID-19.

Selaras dengan itu, HARMONI Malaysia menggesa kepada semua warga kampus untuk kekal di mana anda berada dan mematuhi perintah kawalan pergerakan. Kekal di rumah atau di kampus masing-masing dan tidak keluar kecuali bagi urusan yang sangat penting dengan mematuhi tatacara keselamatan yang ditetapkan.

HARMONI Malaysia meminta kepada semua pihak untuk mengambil perhatian kepada kebajikan mahasiswa yang tinggal di kampus. Pihak universiti dengan kerjasama pihak lain perlu sediakan alternatif secukupnya terutamanya dalam isu makanan, tempat tinggal dan keperluan asasi sepanjang jangka masa perintah ini.

HARMONI Malaysia sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam usaha memastikan kebajikan mahasiswa terus terjaga.

HARMONI Malaysia juga melahirkan rasa kesal dengan kekaburan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga mengakibatkan berlaku perhimpunan yang tidak dijangka. Mahasiswa adalah antara mangsa keadaan yang terlibat. Ini melanggar kepada tujuan utama perintah kawalan pergerakan.

HARMONI Malaysia meminta kepada pihak kerajaan supaya lebih cermat dalam memberikan keputusan disamping melibatkan pemegang taruh utama dalam proses perbincangan bagi memastikan kesilapan yang sama tidak berulang.

Usaid Asmadi
Presiden Persatuan Belia Harmoni Malaysia
19 MAC 2020

Leave a Reply