Oleh: Anonymous Hensem

September 2017. Bulan di mana PRK (Pilihan Raya Kampus) giat berjalan di seluruh universiti awam di seluruh negara. PRK merupakan sebuah proses bagi pemilihan majlis perwakilan pelajar (MPP) di setiap kampus masing-masing. Pada tahun ini menyaksikan sekali lagi gelombang Aspirasi berjaya menenggelamkan parti-parti yang lain di dalam kampus. Namun, adakah kemenangan tersebut memberikan nilai politik kampus dan demokrasi yang sebenar kepada mahasiswa yang lain?

Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco Pemuda UMNO Malaysia, iaitu Dato Armand Azha, beliau telah mengeluarkan statistik kemenangan Aspirasi di setiap kampus melibatkan 7 buah universiti awam iaitu UPSI, UniSZA, UMP, UTHM, UiTM, UKM, dan UUM. Jumlah keseluruhan kerusi yang dimiliki adalah 235 kerusi,  menewaskan oposisi dengan hanya jumlah keseluruhan 9 kerusi. Aspirasi berjaya menundukkan oposisi dengan peratusan kerusi yang diduduki sebanyak 96.3%, berbanding oposisi yang hanya menduduki 3.7% kerusi. Satu jurang yang besar dan kenyataan beliau menjelaskan bahawa kini mahasiswa sudah mampu untuk berfikir dengan rasional dan mampu untuk membezakan antara kaca dengan permata. Soalnya, adakah ia benar?

Terlahirnya tulisan ini adalah untuk menerangkan situasi sebenar yang berlaku di dalam kampus sehingga boleh mendukung kemenangan Aspirasi dalam peratusan yang besar pada tahun ini. Terdapat beberapa faktor yang boleh dikaitkan dengan undian-undian yang dimenangi oleh Aspirasi pada tahun ini. Yang pertama, penempatan kolej. Kebanyakan pengundi-pengundi ini adalah penghuni kolej. Jadi, sebagai seorang mahasiswa dan pelajar, adalah diketahui bahawa mereka masih lagi tidak mempunyai asas yang kukuh untuk berdiri sendiri. Kolej bagi mereka merupakan sebuah rahmat kerana tatkala pelajar lain runsing memikirkan harga sewa rumah yang perlu dibayar dan sebagainya, mereka menikmati kemudahan yang diberikan ini. Tambahan pula, ia masih lagi berada di dalam kampus dan yuran kolej yang jauh lebih murah dari rumah sewa membuatkan mereka rasa tidak mahu untuk meninggalkan keselesaan ini. Tetapi, apa kaitannya kolej dengan pengundian?

Kertas ‘chai’

Baru-baru ini di dalam PRK UKM, suka saya menyentuh isu penempatan di kolej. Berdasarkan responden-responden yang ditemui, menyatakan bahawa undian terhadap Aspirasi adalah kerana terpaksa. Perkara ini hanya boleh dijelaskan oleh pelajar Tahun 2 dan ke atas sahaja. Hal ini kerana adalah disebabkan dikhuatiri bahawa undian terhadap parti selain Aspirasi berkemampuan untuk menjejaskan penempatan kolej mereka pada semester/tahun hadapan. Berkemampuan menjejaskan bagaimana?

Sewaktu pendaftaran bagi pengundian, ramai yang mungkin tidak sedar bahawa terdapat nombor siri yang dicatatkan di meja pendaftaran sebelum mendapat kertas undian tersebut untuk dipangkah. Ini menunjukkan bahawa undian tersebut dipantau dan sebarang tentangan akan disingkirkan. Isu-isu yang lain pula adalah paksaan untuk mengundi dan sekiranya tidak turun mengundi, diminta untuk memberi surat tunjuk sebab dan mengemukakan alasan yang kukuh. Itu belum lagi sekiranya diulas mengenai kertas ‘chai’ yang disebarkan luas yang hanya tertera nombor calon bagi parti Aspirasi sahaja.

Isu ini menunjukkan bahawa berlakunya pengdoktrinisasi terhadap pelajar-pelajar Tahun 1 tanpa memberi mereka peluang untuk berfikir. Sudahlah begitu, disekat pula kemasukan jentera parti oposisi dan calon parti oposisi ke kolej-kolej tertentu. Betapa buruknya demokrasi yang berlangsung di UKM.  Di UM pula, seorang responden menyatakan bahawa dia tidak mendapat penempatan kolej semester hadapan sesudah dia menghadiri Kongres Anak Muda Malaysia anjuran Ahli Parlimen Pandan, YB Rafizi Ramli. Pembuangan ini telah menyatakan bahawa terdapat campur tangan politik luar walaupun di dalam kampus itu sendiri tanpa memberi kebebasan berfikir kepada pelajar-pelajar yang lain bagi menyeimbangkan input yang didapati sebagai seorang mahasiswa. Isunya adalah pengundian yang didapati adalah merupakan daripada keterpaksaan dan ketidakadilan, yang melibatkan keperluan asasi seorang mahasiswa iaitu kolej.

Faktor yang kedua adalah kerana kelemahan pembangkang itu sendiri. Antaranya adalah kemenangan Aspirasi di kerusi tanpa bertanding. Menurut seorang responden di UniSZA, semenjak tahun 2015 lagi, kemenangan calon Aspirasi di UniSZA adalah berdasarkan menang tanpa bertanding. Poster calon umum yang memaparkan bahawa calon tersebut menang tanpa bertanding ditampal sejurus seminggu selepas bermulanya semester baru. Ini menunjukkan bahawa mahasiswa tidak mempunyai pilihan untuk mengundi selain daripada Aspirasi. Bayangkan sekiranya di dalam sebuah fakulti, terdapat 5000 mahasiswa, dan 4000 tidak menyokong Aspirasi, namun oposisi tidak menghantar calon untuk bertanding di fakulti tersebut. Adakah ia sekaligus menunjukkan sokongan terhadap Aspirasi? Jawapannya tidak.

Kadar pengundian yang didapati mengikut kerusi adalah berbentuk autoritatif sekiranya tiada tandingan daripada calon parti lain. Mengikut statistik yang dipaparkan oleh UMANY di Facebook, sebuah parti oposisi yang berkoalisi dengan Demokrat dan Angkatan, menunjukkan bahawa bilangan peratusan yang keluar mengundi bukanlah sepenuhnya 100%. Di UM, terdapat sejumlah 13804 pengundi. Namun, bilangan yang keluar mengundi hanyalah seramai 8966 pelajar sahaja, iaitu 64.95% daripada bilangan keseluruhan mahasiswa di Universiti Malaya. Selebihnya seramai 4838 pengundi ataupun 35.05% tidak hadir untuk mengundi dan menggunakan hak mereka sebagaimana yang diperuntukkan. Undian yang dipaparkan tidak menggambarkan kehendak keseluruhan mahasiswa di UM kerana kurang daripada jumlah undi yang sebenarnya.

Berdasarkan laporan Fox News dan The Economist, yang memaparkan dua tajuk yang lebih kurang sama isi kandungannya, iaitu tentang protes yang dilakukan oleh pelajar mendapati mereka kebanyakannya datang daripada golongan yang kaya. Golongan kaya yang dirujuk adalah yang berpendapatan 32,000 USD setahun, bersamaan dengan berpendapatan RM 12 000 di Malaysia. Signifikannya di sini bukannya adalah untuk menceritakan tentang purata gaji atau pendapatan rakyat Malaysia, tetapi sebab mengapa mereka berkemampuan untuk ke hadapan berbanding pelajar-pelajar lain. Dari sudut psikologikalnya, pelajar-pelajar kaya ini tidak perlu risau dengan perumahan, belanja poket, yuran dan sebagainya kerana telah dibantu oleh keluarga mereka.

Sama juga halnya di sini, di mana hanya pelajar-pelajar yang mempunyai kemudahan seperti wang, kereta dan perumahan yang dekat dan terjamin berani untuk melawan berbanding pelajar kelas pertengahan yang lain. Pelajar-pelajar yang datang dari kelas menengah dan ke bawah tidak ada masa dan takut untuk menyuarakan pendapat mereka kerana salah satunya adalah disebabkan penempatan di kolej, di mana kepada kolej sahaja mereka bergantung harap supaya mereka tidak perlu mencari rumah sewa yang mahal di luar kampus. Yang keduanya adalah kerana lazimnya, kelas menengah dan bawahan ini adalah berlatarbelakang pro-kerajaan. Atas desakan dan keterikatan keluarga dan pelajar, maka suara-suara benar tidak dapat untuk diluahkan sama sekali atas kerana nasihat dan terikat dengan keluarga yang menyuruh mereka untuk belajar dan tidak mengkritik kerajaan.

Oposisi lemah di kampus adalah kerana tidak mendapat pendanaan sebagaimana Aspirasi, dan untuk menggerakkan sesebuah parti memerlukan wang, insentif dan tenaga kerja, dalam hal ini oposisi kebanyakkannya tidak berkemampuan kerana sudah tentu mereka terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri. Oleh kerana ini universiti awam, maka kebanyakan dari mahasiswa bukanlah berasal daripada golongan elitis dan kaya. Majoriti mahasiswa merupakan peminjam samada daripada PTPTN atau Yayasan negeri masing-masing atau bantuan pinjaman yang lain, jadi untuk mengelakkan ketirisan wang mereka, mereka memilih untuk mengamalkan sikap queitism dan mengikut sahaja asalkan tidak menjejaskan pelajaran mereka. Undian yang diterima nampaknya bukanlah menggambarkan kehendak para pelajar yang sebenar secara keseluruhannya.

Kesimpulannya, undian kemenangan Aspirasi pada tahun 2017 tidak mewakili hasrat dan naluri sebenar majoriti mahasiswa di Malaysia. Tekanan yang dihadapi oleh para mahasiswa lain di dalam kampus ini adalah disebabkan campur tangan politik di dalam kampus-kampus demi menjaga kepentingan mereka. Demi untuk mencapai kebebasan, PRK perlu bebas daripada kepentingan politik-politik luar kerana PRK tercipta untuk pelajar, bukan untuk ahli-ahli politik dengan menjadikan pelajar ini sebagai proksi mereka.

Ahli politik usah campur tangan dalam urusan universiti kerana akademik jika diadun dengan politik, maka ia adalah satu pertimbangan yang tidak adil dan memberati mengikut kepentingan yang lebih besar. Rasionalnya adalah perlunya dibezakan antara istilah ‘kerajaan’ dan ‘parti’. Walaupun parti ini memenuhi kerajaan, namun perlu disedari bahawa bagi kepentingan awam, perlulah bebas daripada campur tangan rejim semasa mahupun oposisi supaya ia menjadi neutral dan seimbang. Akademik seharusnya bersih daripada politik kerana ia diciptakan untuk membantu masyarakat tanpa mengenal kepentingan masing-masing.

 

Rujukan;

https://www.economist.com/news/united-states/21719814-disinvitation-campaigns-correlate-high-sat-scores-and-wealthy-parents-colleges

By aininasofia

Yang lebih banyak mengajar tentang kehidupan adalah jalan yang penuh manusia & kemanusiaan.

Leave a Reply