JEDA

Ku lihat seorang mahasiswa,
Langkahnya pantas dan deras, sebuah buku nota kecil pula dibimbit kemas, wajahnya, ah, pucat tanpa warna, kelihatan lemah,

‘’Mahu kemana wahai saudara?’’ tanyaku ringkas,

‘’Aku mahu bertemu orang segera, banyak hal perlu dibincangkan dengannya’’ jawabnya pantas dan termengah-mengah,

Lalu ku angguk, membiarkan dia terus melangkah,
Pantas dan deras,
Langkahku pula diteruskan biasa,

Tenang dan senang,
Tiada orang yang ingin ku temu, tiada hal yang ingin ku bincang, lalu aku tidak mahu terburu-buru, oh, bukan tidak mahu, tetapi tidak perlu,
Usai langkah-langkah yang tenang ini, aku ingin membelek buku, mengembalikan memori yang aku peroleh tika sedang mendengar syarahan-syarahan guru,

Ya, aku perlu, dan aku mahu,
Mengulang kaji sedari awal semester lagi, pelajaranku juga perlukan mutu, ibu dan bapaku tidak harus semata melabur wang beribu-ribu tanpa tersenyum bangga melihat anaknya luar biasa,

Luar biasa dalam kesungguhan menuntut ilmu,
Luar biasa dalam pencapaian akademiknya,
Luar biasa dalam perkara-perkara baru yang diketahuinya,
Malam mula menampakkan bayang,
Langit hitam dihiasi bintang,
Sedang aku duduk tenang, menatap buku-buku pelajaran, aku terbuai melayang,

‘’Mahasiswa yang kutemu tika siang, sempatkah dia mengulang kaji pelajaran?’’
‘’Mahasiswa yang kulihat melangkah deras, sempatkah dia mengimbas-imbas syarahan-syarahan di dalam kelas?’’

Ah, mengapa aku memikirkannya?

Entah,
Aku fikir, mahasiswa itu perlukan jeda,
Ya, jeda, ku maksudkan berhenti seketika,
Lalu, fikirkan,
‘’Mengapa aku terlalu acap bertemu orang?’’
‘’Mengapa aku terlalu gemar berbincang-bincang?’’
‘’Timbunan kerja seringkali aku lewatkan, ah, bagaimana pelajaran?’’

Duhai mahasiswa,
Jeda,
Berhentilah seketika,
Dari sibukmu yang tidak ku temu titik noktahnya,
Duduklah merenungkan, sebab utama kamu memilih satu-satu jurusan,
Duduklah mengevaluasikan pencapaian-pencapaian akademikmu, apakah cemerlang?
Aku tidak menolak, bahkan tidak juga menghalang,
Minatmu, sukamu berpersatuan, mengurus program bermacam-macam,

Ya, semua itu diperlukan,
Cuma ku bimbang, andai beratmu lebih pada yang ku sebutkan,
Lalu bagaimana pelajaran?
Berasa cukup sekadar biasa-biasa,
Atau perlu diusahakan menjadi luar biasa?

Jeda dan seimbangkanlah,
Ya, ku tuding jari terlebih dahulu pada diriku,
Jeda, fikir, dan seimbang,

Mahasiswa,
Pelajaran bukanlah satu hal,
Yang boleh mu anggap hanya picisan,
Mahasiswa, seimbang,

Kerana hanya dengan seimbang,
Kamu kan mampu terbang,
Tinggi di langit terang.

Leave a Reply