Umat Viral
Maisarah Binti Mohamed Pauzi
Sememangnya sekarang musim netizen bersolidariti dengan umat yang tertindas seperti etnik Rohingya dan Syria. Tidak dinafikan, penindasan terhadap mereka adalah pencabulan hak asasi manusia. Walaubagaimanapun, hal ini bukan lesen untuk kita menipu, menambah perencah dan menyebarkan berita tanpa usul periksa. Mungkin kita tidak sedar terdapat gambar-gambar palsu yang diberi kapsyen ‘inilah Syria’ yang ditular (viral) di media sosial seperti gambar di bawah.
Kenapa agaknya berita palsu seperti ini mudah tersebar dan mendapat sambutan yang hebat di alam maya? Hal ini demikian kerana :
- kita lebih cenderung untuk perkara yang sedang hangat dan tular(viral).
- Kita tidak bersungguh-sungguh ingin mengambil tahu tentang sesuatu isu.
- Kita tidak mengambil inisiatif untuk membaca dengan teliti dan melakukan sedikit pencarian.
- Yang kita tahu hanya klik butang ‘share’,’like’,’retweet’ , tukar gambar profil dan sebagainya di media sosial.
- Kita sekadar ikut arus semasa.
- Seolah-olah kalau kita diam, kita ini umat yang ‘ignorance’.
Akhirnya, kita menjadi ‘umat viral’ semata-mata. Umat viral ialah umat yang malas. Umat yang lebih suka bersentimen daripada menjadi rasional. Sikap reaktif sebegini sebenarnya tidak membantu dalam menyelesaikan masalah yang sedang berlaku. Bahkan, sikap ini akan mengakibatkan beberapa kesan seperti generalisasi terhadap golongan lain, salah faham dan permusuhan antara penganut agama.
Sebagai contohnya, apabila isu penindasan etnik Rohingya di Burma sedang hangat di media sosial, sering disebarkan bahawa punca isu ini adalah disebabkan oleh sikap ekstremis penganut Buddha. Lebih menyedihkan, penganut Buddha dikecam di media sosial secara pukul rata. Malah, apabila terdapat misi kemanusiaan di Burma yang melibatkan penganut Buddha, netizen memberikan komen penuh kebencian dan mempersoalkan pengorbanan sukarelawan yang terlibat. Situasi ini diceritakan oleh Dr Firdaus Hariri dalam bukunya ‘Doc N Roll’ tentang pengalamannya terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan di Burma. Aneh ya, kerana kemanusiaan itu boleh dipilih-pilih.
Padahal, punca sebenar isu ini ialah Dasar Burmanization yang diterapkan oleh Kerajaan Tentera Burma. Etnik Rohingya tidak diberi kerakyatan Burma yang sewajarnya walaupun dah beratus tahun mereka tinggal di Burma. Masalah etnik di Burma bukan sekadar melibatkan masyarakat Rohingya semata-mata. Ada 2 lagi etnik minoriti yang ditindas, iaitu Chin/ Kachin (Kristian) dan Shan kerana tidak menerima Dasar Burmanization, sebuah dasar nasionalisme yang ekstrem. Akan tetapi, etnik Chin yang beragama Kristian mungkin lebih bernasib baik kerana mereka diterima di Negara Barat sebagai pelarian.
Konflik Islam-Buddha di Burma adalah propaganda kerajaan tentera Burma semata-mata. Sebagaimana ISIS menggunakan Islam & Jihad untuk menghalalkan keganasan mereka, kerajaan tentera Burma adalah dalang sebenar yang memperalat agama Buddha untuk menghalalkan tindakan pembersihan etnik Rohingya.Padahal, agama Buddha sangat menitikberatkan keamanan. Kenalilah agama Buddha. Kita takkan percaya agama Buddha sekejam ini.
Mengapa Buddha?Kerana pengaruh Buddha sangat kuat di Burma. Pada tahun 2007, ribuan Sami Buddha telah berdemostrasi menentang kerajaan Burma. Malah, seramai 40 orang Sami Buddha telah dibunuh oleh tentera! Kerajaan tentera Burma sedar bahawa sekiranya mereka terus-terusan melawan Buddha, mereka akan berhadapan penentangan yang lebih dahsyat. Tidak hairanlah, ada kemungkinan ‘imej sami buddha’ direka dan digunakan dalam isu pembersihan etnik ini. Perkara ini menajdi bukti agama sering diperalatkan.
Lalu, bagaimanakah sepatutnya kita bersikap dalam menerima berita di media sosial?
Pertama sekali, semaklah kesahihan berita tersebut. Buatlah sedikit kajian dan jangan mudah terpengaruh dengan sentiment berbaur kebencian. Banyakkan membaca bahan berita dari kedua-dua pihak dan nilaikan sendiri menurut akal fikiran kita. Sekiranya anda ingin menyemak sumber gambar, boleh muat naik imej di laman sesawang seperti ‘Google Search For Image’ (contoh seperti gambar di bawah).
Kedua, apabila isu penindasan dan kezaliman terhadap mana-mana golongan dan manusia, kita perlu melihat isu tersebut dengan kaca mata seorang manusia, bukan semata-mata sebagai seorang penganut agama. Berkata Saidina Ali RA, ‘Saudara kita, ada dua. Pertama, saudara seagama. Kedua, saudara sesama manusia.’. Tidak kiralah sesiapapun yang ditindas, sebagai manusia, kita adalah sama dan kita benci akan kezaliman dan penindasan.
Ketiga, kita tidak sewajarnya bermentaliti tertindas. Sepatutnya, kita membebaskan diri daripada wacana yang bersifat reaktif semata-mata. Mentaliti tertindas inilah yang menyebabkan seseorang bertindak untuk menarik perhatian dengan agresif sehingga sanggup memalsukan berita atau memanipulasi gambar seperti yang viral di media sosial. Bersikap proaktif adalah lebih wajar seperti menyumbangkan masa,wang dan tenaga, bukan sekadar heboh di media sosial.
Akhir sekali, sekiranya kita sememangnya tidak arif tentang sesuatu perkara, hentikan daripada menyebarkannya! Jangan jadi umat viral!
(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar.
(QS: An Nur:15)