Semalam Mahkamah Persekutuan telah menolak rayuan Universiti Malaya (UM) dalam kes melibatkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang memutuskan lembaga disiplin UM, jawatankuasa rayuan UM, dan UM, tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah Universiti Malaya Tatatertib Pelajar-Pelajar 1997 dalam mengenakan hukuman tatatertib ke mantan Presiden Persatuan Mahasiswa UM, Fahmi Zainol dan 4 yang lain iaitu Safwan Shamsuddin, Adam Fistivil Wilfrid, Haw Yu Hong dan Khairol Najib Hashim.
Fahmi Zainol dikenakan hukuman gantung pengajian dua semester berserta denda RM600, Safwan digantung pengajian satu semester dan 3 yang lain dikenakan denda. Mereka dihukum bersalah oleh UM kerana menganjurkan program pidato Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Ketua Pembangkang dalam UM pada 27 Oktober 2014.
Keputusan Mahkamah Persekutuan ini seharusnya menjadi batu loncatan untuk mahasiswa terus bangun dalam menolak sekeras-kerasnya penggunaan sebarang undang-undang atau peraturan zalim seperti AUKU yang mencengkam kebebasan suara mahasiswa. Undang-undang inilah yang membina sindrom ketakutuan sehingga membuatkan mahasiswa tidak lagi berani untuk berperanan sebagai jurubicara rakyat.
Dalam kehangatan pilihanraya umum ke – 14 yang bakal tiba, tinggi hasrat mahasiswa untuk melihat perubahan Malaysia dalam menuju negara yang lebih sejahtera. Aktivis Mahasiswa konsisten mahukan AUKU dimansuhkan dan tidak sekadar dipinda mengikut mana-mana kepentingan politik. Hanya dengan pemansuhan AUKU ini, universiti akan bebas daripada mana-mana pengaruh parti politik, mahasiswa akan memperolehi kuasa autonomi untuk beraktivisme dan para cendekia varsiti akan bebas berakademik.
Mahasiswa di luar sana harus berani dan berhenti berfikiran tertutup dengan agenda pemansuhan AUKU ini. Gerakan mahasiswa sering dikaitkan dengan pembangkang sekiranya tidak selari dengan Kerajaan. Walhal perjuangan memansuhkan AUKU ini tidak berkaitan langsung dalam memberi keuntungan kepada Pembangkang mahupun Kerajaan.
Ini adalah perjuangan untuk menuntut hak mahasiswa dan ahli akademik supaya tidak dicengkam undang-undang zalim. Kita tahu bahawa semua pihak inginkan mahasiswa lebih tampil kehadapan dan bukan sekadar belajar di bilik kuliah tanpa mempedulikan hal-hal sekeliling. Tidak ada siapa yang boleh menafikan betapa negara kita hari ini sedang dibelengu masalah urus tadbir yang meruncing. Rasuah, salah guna kuasa, politik tidak matang dan kotor, penyelewengan dana awam dan bermacam-macam lagi masalah yang membimbangkan.
Mahasiswa sendiri perlu yakin bahawa kita adalah kuasa pendesak yang mampu meletakkan negara pada garis urus tadbir dan tata kelola yang betul dan benar. Semoga dengan detik kemenangan mahasiswa yang dirasai hari ini dapat meransang semangat mahasiswa untuk meneruskan perlawanan terhadap undang-undang zalim ini sehingga ke titik pengakhirannya.
Muhammad Nurie Al’ Amin bin Mohamad Nasseri,
Pengerusi ISRA Siswa,
Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan
 

 

 

By aininasofia

Yang lebih banyak mengajar tentang kehidupan adalah jalan yang penuh manusia & kemanusiaan.

Leave a Reply