Salah satu buku kemahasiswaan yang aku masih pegang ialah ‘Masharakat Melawan Mahasiswa’, dan ini juga buku pertama karya ZF Zamir yang aku beli. Aku harus berterima kasih kepada sahabatku, Siti (separuh dari nama sebenar) kerana memperkenalkan aku pada penulis buku ini.
Sejak itu, aku kerap mengikuti perkembangan beliau sejak beliau menjadi penulis , menjadi CEO Thukul Cetak, salah satu pengendali Teach for the Needs, kemudiannya diangkat menjadi pegawai khas Dr. Mazlee tahun lalu.
Buku ini ditulis pada 2014, dan diterbitkan oleh Dubook Press. Ketika buku ini siap diterbitkan, ZF Zamir sedang melanjutkan pendidikan dalam peringkat Sarjana Pendidikan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Sebelum ini, beliau ialah pemegang Ijazah Sarjana Muda Keguruan dari Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh dan sempat mengajar di Kuala Lumpur pada 2010.
Buku ini ialah koleksi tulisan sekitar 2013-2014, disimpulkan “sebahagian besarnya ialah demonstrasi saya terhadap gerakan mahasiswa”. Prakata pula ditulis Dr. Maszlee Malik (ini juga merupakan perkenalan pertama aku dengan Dr. Maszlee), yang aku rasa sealiran juga dengan pemikiran ZF Zamir. Kedua-duanya banyak mengutip gagasan idea dari Ali Shariati, Edward Said, Ralph W. Emerson, Syed Husin Alattas, Pak Natsir dan Antonio Gramsci. Persamaan kesemua intelektual ini ialah diskusi mereka terhadap intelektual, fungsi dan peranannya.
Mungkin pelik bila sekilas pandang, ZF Zamir menggunakan perkataan ‘masharakat’ berbanding ‘masyarakat’ sebagai judul bukunya. Sebenarnya hal ini telah dijelaskan, bahawa beliau tidaklah tersengaja salah eja tetapi perkataan ‘masharakat’ ini pernah digunakan secara meluas seperti Dewan Masharakat dan di dalam filem 1958 bertajuk ‘Masharakat Pinchang’.
Dalam buku ini juga, ada tiga bahagian yang akan diulas: ‘Mahasiswa dan anak muda’, ‘Sistem pendidikan dan realiti’ dan ‘Sosial, budaya & kemanusiaan’. Ketiga-tiga tema ini boleh dilihat sebagai tema yang agak popular dalam penulisan kritik sosial di Malaysia pada waktu 2014-2016 khususnya yang diterbitkan di bawah syarikat penerbitan indie.
Buku ini agak padat dengan petikan kata, idea-idea besar dari tokoh-tokoh besar dengan karya-karya yang besar. Jadi ia boleh dianggap suatu karya penulisan kritik sosial yang berat; bukanlah penulisan yang datang dari hati yang marah atau akal yang putus asa. Maka untuk memahami jiwa yang ditinggalkan dalam buku ini, anda perlu menyelak idea sosial Ali Shariati terutamanya untuk dua bahagian.
Dalam bahagian pertama, iaitu mengenai mahasiswa dan anak muda. Pertama sekali, beliau menyentuh kategori politik yang perlu disedari oleh mahasiswa iaitu politik perkauman, politik kelas dan politik ideologi. Daripada politik perkauman, persoalan bangsa dan hak sentiasa disabung-menyabung seperti kilat dan guruh di hari petang yang gelap. Daripada politik kelas, kesedaran kelas masyarakat dan jurangnya tidak lagi dikenali sebagai idea seorang Marxis tetapi sudah bernilai universal.
Daripada politik ideologi, beliau mengaitkannya dengan peranan intelektual kepada masyarakat. Aku tidak nampak bagaimana itu boleh disebut ‘politik ideologi’ secara literalnya, dan aku cuba merasionalkannya dengan ‘ideologi’ ahli universiti yang sepatutnya lebih pro-masyarakat (mengambil aura Ali Shariati) lagi-lagi dalam salah satu eseinya “Masyarakat Tidak Perlukan Universiti”. Di situ, beliau melontarkan panahan tajam ke dada birokrat universiti yang seperti ‘merendahkan’ kemampuan, kapasiti dan tenaga intelek akademik yang boleh dipacu lebih dari sekadar pemecah Malaysian Book of Records.
Bahagian 2 pula bercakap tentang sistem pendidikan dan realiti yang mencakupi calitan faham hegemoni Gramsci yang menanggapi pendidikan sebagai suatu alat autoriti untuk mencapai kehendak negara. Meneguhkan hujah itu, beliau memakai lagi idea Ivan Illich dan Paolo Freire yang lebih menekankan kemurnian pendidikan dan hak universal kepada akses pendidikan tanpa mengira kelas masyarakat.
Dalam ‘Pedagogi Anak Kelas Hujung’, sandaran idea tokoh pemikir pendidikan terjelma dalam realiti anak-anak miskin. Hal ini pernah disebut oleh sahabatku, bahawa sosioekonomi keluarga benar-benar mempengaruhi perkembangan intelek murid-murid. Kerana kita (pada masa tulisan ini) masih mengamalkan sistem ‘kelas depan kelas pandai-kelas belakang kelas bodoh’, anak-anak miskin ini diheret ke kelas paling hujung dan akhirnya membawa ke arah keciciran pelajaran. Biarpun tidak semua, tapi sebahagiannya begitu menurut pengamatan peribadiku sewaktu aku bekerja sebagai guru ganti di sekolah kerajaan.
Selain itu, beliau tidak ketinggalan dari melemparkan pandangannya kepada IPG dan guru pelatih terutamanya dalam menafsirkan semula peranan ‘mahasiswa pendidikan’. Mengingati kata-kata Mok Soon Sang, guru ialah caring intellectual. Lebih dari sekadar tenaga pengajar. Lebih dari sekadar buruh pendidikan. Lebih dari sekadar penjaga murid di sekolah. Lebih dari sekadar penyemak kertas dan kerja rumah.
Dari perspektif guru, beliau menyambung kritikan ini ke dalam ruang luas dalam sesi pembelajaran dengan ‘mazhab cinta’. ‘Mazhab cinta’ bukanlah mengenai mengajar murid bercinta sesama murid atau sesama guru, tetapi ia mengajak para guru mengasihani dan mengasihi murid. Ia mengajak murid mengasihani dan mengasihi guru. Ia mengajak murid dan guru untuk mengasihi ilmu. Ia mengajak masyarakat agar turut mengasihi sekolah, ilmu, murid dan guru. Hanyalah dengan rasa kasih, cinta yang mendalam barulah rasa tanggungjawab yang tinggi untuk memajukan bangsa dan negara dapat disemai. Daripada kebertanggungjawaban ini, penglibatan menyeluruh dapat dicapai.
Manakala untuk bahagian terakhir, ZF Zamir menyentuh isu kemanusiaan melalui sastera. Sastera yang mengangkasakan isu kemanusiaan seperti peperangan dan kemiskinan sentiasa evergreen dan relevan sepanjang zaman. Dari segi sastera, aku berpandangan bahawa sastera distopia seperti H.G Wells, Aldous Huxley, Margaret Atwood dan George Orwell juga boleh diiktiraf sebagai subgenre sastera kemanusiaan.
Di samping itu, beliau turut mencoret sebuku penumbuk kepada kelompok masyarakat yang lupa pada tanggungjawabnya untuk menanggung tugasnya sebagai manusia berihsan kepada golongan marjinal seperti anak-anak yatim dan gelandangan. Isu bahasa (telah dipanjanglebar dalam buku beliau Pedagogi Bahasa Tertindas) menjadi salah satu topik yang penting dalam pemikiran ZF Zamir. Beliau mempertikai sejauh mana ketinggian bahasa Inggeris ini patut dijulang, padahalnya akan menghakis usaha kita untuk merekonstruksi identiti dan kebanggaan bangsa kita.
Menilai keseluruhan isi yang ada dalam buku ini, aku tidak rasa banyak kritikan yang boleh aku tulis melainkan pujian terhadap ketelitian dan kepadatan fakta yang ada di dalamnya.
Fakta, petikan dari karya tokoh, huraian jelas; ini semua hanyalah penegas mengapa manuskrip beliau ini menang Mycreative 2014. Aku menyukai gaya beliau yang memetik lirik lagu dan meletakkannya sebagai lagu tema suatu esei. Jika begitu, aku rasa ulasan buku ini patut didendangkan sekali dengan keseluruhan album Torches oleh Foster the People (kerana aku menulis resensi ini sambil mendengar album mereka).
Aku turut menikmati cebisan demi cebisan petikan yang diambil dari karya tokoh yang beliau petik; sekurangnya petikan itu boleh dihirup sedap oleh pembaca lain. Judulnya tampak radikal, walhal tidaklah seganas mana. Masyarakat boleh hidup tanpa mahasiswa, tapi mahasiswa tidak boleh hidup tanpa masyarakat – itu, aku bersetuju dengan ZF Zamir.