Ulas Buku : Bagaimana Anyss Naik ke Langit?
Rahman Imuda
Intro
‘Pantat aku koyak. Pantat aku sakit.’
Ketika politikus dan kapitalis sama-sama ‘bercumbu’ merogol hutan tanah adat di Sarawak, anak-anak gadis orang Asli Penan dijamah oleh para pembalak sehingga lenyek tubuh gadis tidak berdosa itu.
Gadis orang Penan dirogol bergilir-gilir oleh pembalak, sehingga habis basah tubuh badan bermandikan air mani para pembalak yang rakus. Apabila jijik dengan kekotoran itu, pembalak seterusnya memalingkan tubuh gadis itu untuk mencapai kenikmatan, memberi minum nafsu yang sedang dahaga.
Setelah dirogol, ada mangsa yang dihanyutkan ke sungai, hidup dan mati gadis itu diserahkan pada arus sungai dan alam yang telah pembalak-pembalak ini nodai.
Malangnya.
Ujian-ujian rasmi yang dijalankan di makmal Hospital Umum Sarawak di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Kuching tidak memihak. Malah Profesor Anyss berasa Jabatan Patalogi di situ menyembunyi sesuatu. Dan dia tentu tidak dapat membuktikannya.
Profesor Anyss kemudian mengguna kabel peribadi untuk memeriksa bukti-bukti yang diserah oleh Ratu, dan seorang orang dalam. Terkerlip di matanya wajah Profesor Shahrom lagi, “Anyss, aku dapat katakan yang aku menemui air mani manusia. Ini kerana mani mempunyai kepekatan asid fosfatase tinggi, dan ujian fosfatase pada sampel kain pelikat Ratu melebihi 25 unit K.A. Itu adalah positif.”
Tapi tanah ada Sarawak itu bukan Palestina. Insiden kejam seperti ini jarang mengetuk pintu kesedaran masyarakat. Mereka golongan terasing dan minoriti, masalah mereka tidak punya apa-apa hubungan dengan kita warga kota yang hidup dalam kesenangan.
Sesuai benarlah apa yang ditanyakan Mustaqim di dalam buku ini;
“Mengapa orang kita rasa menolong Palestina lebih bersyurga kalau Penan di halaman sendiri diperlakukan sebagai mangsa?”
“Ya, bersedekah dan berperhatian untuk Gaza akan ke syurga. Penan? Mereka orang natif, pagan, dan tidak penting sama sekali. Mungkinkah Tuhan tidak akan bertanya apa yang tidak kita lakukan untuk menjuarai nasib mereka?”
– Cuma ada Profesor Anyss –
Pada awalnya aku ingin mengulas tentang watak yang ada di dalam buku ini, tapi aku tersedar bahawa Prof. Anyss adalah tulang belakang dan penggerak cerita di dalam buku ini. Watak-watak lain tidak berkembang dan dijelaskan dengan lebih banyak. Pada buku ini, isu orang asli dan alam sekitar adalah air yang mengalir, manakala laluan air itu adalah Prof. Anyss. Pada pandangan aku, kewujudan watak lain cumalah formaliti untuk memudahkan penceritaan berlaku. Perlulah ada mangsa, pemangsa dan pembunuh dalam sesebuah buku seperti ini.
Watak seorang Profesor wanita yang berada dilanjut usia yang masing lantang memperjuangkan hak orang lain (lebih-lebih kaum minoriti) memberi teguran kepada anak-anak muda yang bertenaga dan golongan akademik yang terlalu selesa menghabiskan harinya di bawah penghawa dingin semata-mata.
Tidak ada buku atau kitab yang boleh mentafsirkan atau menggambarkan bagaimana rasanya untuk menjadi seorang aktivis. Perasaan diancam, kecewa, tekanan dan ujian, tiada ada perkataan yang boleh disusun untuk menggambarkan kedukaan yang sering dihadapi oleh seorang aktivis, terutamanya apabila berhadapan dengan sang tirani dan kapitalis yang punya wang. Wang adalah Tuhan sekarang.
Tapi kegembiraan dan kepuasan yang dimiliki ketika melihat orang yang ingin kita bantu terbela, tidak ada buku untuk itu. Aku meramal seperti itulah perasaan yang dikecapi oleh Profesor Anyss ketika berjuang untuk mangsa kerakusan orang yang tidak bermoral, berselindung disebalik wang dan demokrasi.
Ketika Profesor Anyss membelek helaian akhbar, pembacaan aku agak terganggu kerana fakta yang ingin disuapkan terlalu padat. Kemudian aku tersedar, bila kali terakhir aku bersungguh-sungguh untuk melakukan kajian terhadap kaum yang tertindas? Soalan itu membuatkan aku terus membaca keratan-keratan akhbar dengan mata yang sepet.
Ketika Profesor Anyss sudah sampai ke China, aku cuma menggunakan imiginasiku memandangkan aku tidak pernah ke sana. Sekali-sekala aku membayangkan diriku di tempat Profesor Anyss berjalan dalam tekanan di sebuah kota asing, ditemani oleh dua orang yang bakal menghabisi riwayat hidupku. Sesekali aku berasa Profesor Anyss beruntung, sekali-sekala aku fikir ia cukup tragis.
Outro
“Tidak ada seorang pun yang masuk syurga kerana amalannya.” Para sahabat bertanya; “Begitu juga dengan engkau wahai Rasulullah?” Beliau bersabda: “Ya, kecuali bila Allah melimpahkan kurnia dan rahmat-Nya padaku, oleh kerana itu berlaku luruslah dan bertaqarublah dan janganlah salah seorang dari kalian mengharapkan kematian, jika dia orang baik semoga saja boleh menambah amal kebaikannya, dan jika dia orang yang buruk (akhlaknya) semoga boleh menjadikannya dia bertaubat.”
(Sahih Bukhari, no. 5241) [Perlu Rujukan]
Ketika MH370 hilang, negara berduka. Tapi orang-orang bengis tidak henti menyalahkan beberapa liter arak dan skirt singkat yang ada di dalam perkhidmatan MAS yang dikatakan menjadi punca kapal itu hilang. Padahal mereka mempunyai peluang untuk menyatakan tuan maha pengampun, berbanding penghukum.
Seperti Profesor Anyss yang sentiasa menjaga solatnya, seperti Ratu yang dizalimi dan seperti mangsa-mangsa MH370 dan MH17 yang kita rindui, mudah-mudahan dengan rahmat Tuhanlah mereka naik ke langit.