Mata ini melihat segalanya. Sejak mengalami sebuah revolusi pemikiran yang akhirnya membuka minda dan memecahkan kepompong kejumudan, penulis terpaksa memperakui dengan suatu perkara. Perkara yang membuatkan kita masih lagi jauh dalam memastikan bahawa kemajuan secara fizikal mahupun intelektualisma tercapai. Meskipun pelbagai usaha dijalankan, akhirnya kita terpaksa mengambil sikap berdiam diri dan membiarkan kebodohan dan keingkaran itu menguasai hampir keseluruhan pemikiran sebahagian besar rakyat Malaysia.
Sikap Bangau oh Bangau.
“Bangau oh bangau, kenapa engkau kurus?
Macam mana aku tak kurus, IKAN TAK MAHU TIMBUL. Ikan oh ikan, kenapa kau tak mahu timbul? Macam mana aku tak mahu timbul, RUMPUT PANJANG SANGAT. Rumput oh rumput, kenapa kau panjang sangat? Mana mana aku tak panjang, LEMBU TAK MAKAN AKU. Lembu oh lembu, kenapa kau tak makan rumput? Macam mana aku tak makan, AKU SAKIT PERUT.”
Sebuah lagu yang selalu kita dendangkan semasa kita berada di sekolah rendah, dan juga di sekolah menengah sekali-sekala akhirnya menanam sebuah doktrin kedalam minda kita. Sikap menyalahkan orang lain atas kesilapan dan kealpaan diri sendiri, menuding jari kepada golongan lain yang sama kesilapannya dan mempersoalkan pula kenapa mereka tidak ditegur. Sebuah perangai melepaskan diri daripada menjalankan sebuah pembetulan terhadap diri sendiri dan orang lain.
Sebuah sikapnya akhirnya memakan diri.
Tuding-menuding merupakan amalan yang tidak patut dijadikan sebagai ruji dalam kehidupan seharian kita. Kritikan dan cadangan adalah untuk memastikan perkara buruk yang sama tidak berulang kembali. Sebagai seorang manusia, kita sering terlupa bahawa kita perlukan kritikan dan cadangan dalam memastikan setiap apa yang kita lakukan itu tidak menjadikan kita lebih buruk, malah lebih baik dan dipandang hormat oleh orang sekeliling.
Berani untuk meminta maaf sekiranya kita silap akan membuang ego kita, malah memberikan rasa kelapangan dalam jiwa dalam memperbaiki diri kita. Berani untuk mendengar kritikan dan cadangan dan berusaha untuk memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan akan membuatkan kita lebih dihormati. Bukan dengan menuding jari kepada golongan lain sambil mengatakan:
“Mereka boleh lakukan kesilapan yang sama, kenapa kami juga yang dipersalahkan?”
“Jika mahu perbaiki kesilapan yang telah dilakukan ini, maka kalian sepatutnya sumbangkan tenaga kalian juga dalam memastikan kesilapan ini tidak berulang!”
“Ketahuilah ini semuanya takdir yang Tuhan telah tetapkan. Perkara ini tetap jua akan berlaku
walaupun pelbagai cara telah dilakukan.”
Sesungguhnya penulis bukan berniat dalam mempersoalkan akan takdir Tuhan yang sememangnya diluar jangkauan dan penguasaan kita semua. Namun perkara ini sebenarnya tidak menghalang kita sebagai manusia dalam memastikan perkara yang kita jalani itu lebih baik dan bertambah baik sepanjang angka di umur meningkat.
Sebuah kesilapan yang berlaku itu adalah hasil kecuaian dan kealpaan kita dalam memastikan perkara yang kita tidak ingini itu terjadi. Kita seharusnya sedar akan perkara ini dan cuba perbaiki di bahagian yang kita mampu. Kita sepatutnya mengelakkan sikap tuding menuding dan menerima kritikan yang ada itu sebagai sebuah peringatan dalam memastikan kehidupan kita semakin baik. Malah tidak keterlaluan penulis memberitahu bahawa menerima kritikan dan cadangan adalah sebuah perkara yang mulia kerana akhirnya hikmah dalam menjalani sesebuah perkara akan kita perolehi berbanding kita menuding jari dan menyalahkan golongan lain yang kesilapannya sama seperti kita.
Buat golongan pengkritik, kritiklah dengan cara berhemah. Kesilapan yang dilakukan oleh mereka mungkin kesilapan terakhir yang mereka akan lakukan sepanjang hayat mereka. Memberi peluang untuk mereka memperbaiki kesilapan yang telah mereka lakukan itu merupakan sebuah amalan mulia kerana ia akan membuktikan bahawa kita ini sayang dan cintakan mereka serta tidak mahu mereka mengulangi kesilapan yang sama. Kritikan yang membina adalah kritikan yang memberikan cadangan penyelesaian dan menghulurkan bantuan melalui pelbagai jalan akan memberikan sebuah rasa cinta dan kasih sayang terhadap sesama kita.
Mengkritik tanpa solusi akan membuatkan golongan yang dikritik membenci dan menjauhkan diri. Dikritik tanpa perbaiki pula akan menjadikan kita lebih angkuh dan ingkar atas jalan penyelesaian yang terbentang luas. Pengkritik seharusnya merasa empati dalam memberikan kritikan, manakala golongan yang dikritik pula harus membuang ego dan sombong dalam menerima kritikan yang ada.
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; -
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (as-Syams : 7-10)
Semoga kita semua berada dalam keadaan yang sedar akan tingkah-laku kita.