Oleh: Maisarah Mohd. Pauzi

Merujuk artikel kiriman Abu Hurra yang terbaru di laman NadiSiswa (PRK: Tsunami Mahasiswi), saya berpandangan idea yang diketengahkan dalam artikel tersebut tidak realistik dan bersifat feminazi. Ya, tidak dinafikan jumlah mahasiswa sudah melangkaui jumlah mahasiswa dengan nisbah 1:4. Tetapi, adakah kita hendak menghidupkan suasana yang tidak seimbang dalam memilih pemimpin?

Menjadikan sebuah parti politik yang hanya disertai oleh kaum perempuan saja adalah satu perkara yang mengarut! Kalaupun wujud parti politik yang ahlinya terdiri daripada 100% orang perempuan, saya yakin parti tersebut takkan bertahan lama, melainkan universiti tersebut memang universiti perempuan, yang 100% pelajarnya ialah perempuan.

Yang lebih realistik bagi pandangan saya ialah kesetaraan gender. Apa maksudnya? Maksudnya, kalau nisbah keseluruhan mahasiswa:mahasiswi ialah 1:4, jadi, kabinet bayangan barisan MPP mestilah terdiri daripada nisbah yang sama. Ini baru setara dan realistik! Ini kan negara demokrasi? Kenapa kita nak wujudkan kampus yang bersifat gender-centric? Satu perkara lagi, lelaki dan perempuan saling memerlukan. Bukan lelaki saja yang perlu menguasai barisan MPP atau sebaliknya. Unsur patriaki memang wajib ditentang, begitu juga dengan matriaki! Mari kita renungkan semula, mengapa Buya HAMKA menentang adat Minang yang bersifat matriaki?

Pertama, matriaki tidak langsung memberdayakan (empower) kaum perempuan. HAMKA bahkan mengkritik adat ini melalui watak perempuan minang dalam novelnya sepert Merantau ke Deli (MKD) dan Angkatan Baru (AB). Perempuan Minang dalam MKD dikritik sebagai perempuan yang tak mampu berdikari, hanya bergantung pada kaum lelaki. Watak perempuan minang dalam MKD dibandingkan dengan perempuan jawa yang teguh hatinya, kental jiwanya dan bijak menggunakan akal fikirannya dalam kehidupan seharian. Dalam novel AB pula, perempuan minang dikritik sebagai manja, ‘double standard’ dan ‘queen control’ walaupun sudah diberikan pendidikan yang tinggi. Inikah kualiti pemimpin yang kita nak lahirkan daripada suasana matriaki dalam universiti?

Kedua, bukan untuk merendahkan kaum perempuan. Tapi, kita tidak boleh nafikan lelaki dan perempuan ada batas kemampuan masing-masing. Dan, kita juga tidak nafikan bahawa orang perempuan memang ada batas dalam kehidupannya yang lebih ketat berbanding lelaki. Misalnya, orang lelaki, nak meeting sampai subuh pun tak ada masalah. Balik dorm pukul 3-4 pagi pun, keselamatan mereka tak terancam macam perempuan. Itu contoh umum. Jadi, satu barisan pimpinan mestilah seimbang antara lelaki dan perempuan.

Ketiga, cara berfikir lelaki dan perempuan ada perbezaan. Sekiranya dalam sebuah organisasi hanya ada lelaki saja yang memimpin, sejauh mana mereka tahu keperluan orang perempuan? Begitu juga dengan perempuan, kalau hanya perempuan saja yang memimpin, bagaimana mereka akan faham masalah orang lelaki di bawah pimpinan mereka?

Mengakhiri tulisan ini, saya berharap supaya janganlah kita cuba mengangkat budaya yang menindas mana-mana golongan. Baik patriaki dan matriaki, kedua-duanya tidak memberi keadilan kepada masyarakat!

 

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi pengirim dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Nadi Mahasiswa. 

By aininasofia

Yang lebih banyak mengajar tentang kehidupan adalah jalan yang penuh manusia & kemanusiaan.

Leave a Reply