Imran Razalle
(Mantan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia)

 

Transformasi Nasional 2050 atau lebih dikenali sebagai TN50, yang diilhamkan oleh YAB Dato Seri Muhammad Najib Razak yang dicetuskan seiring dengan Bajet 2017 pada Oktober tahun lalu, dikatakan beliau sebuah gagasan baharu buat Malaysia menjelang 2050. Menurutnya, ia adalah satu visi nasional yang akan digalas anak muda, dipacu Kementerian Belia dan Sukan bagi merealisasikan agenda Malaysia serta berkembang pesat sebagai negara maju mengikut acuan dan pemikiran jitu anak watan, seiring dengan keutuhan identiti negara bangsa; Bangsa Malaysia. TN50 dilihat sebagai satu manifestasi jelas keterbukaan kerajaan dalam mendengar suara anak muda mengenai hala tuju negara dan bagaimana Malaysia ini harus dibangunkan dalam tempoh kira-kira 30 tahun akan datang. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menjelaskan bahawa TN50 adalah visi baharu untuk menggambarkan wajah Malaysia mengikut kaca mata orang muda dan usaha untuk melakar potret Negara mengikut acuan varsiti.

Dasar keterbukaan kerajaan dalam mencorak negara dengan mengambil kira pandangan belia generasi muda merupakan wasilah dan mekanisme yang tepat kerana segala dasar dan aspirasi yang dilaksanakan Negara kini semestiya akan memberikan impak yang signifikan kepada landskap Negara pada masa hadapan dari segenap aspek, Generasi inilah yang bakal mewarnai kepimpinan Negara dan mempertahankannya.

30.jpg

Menyentuh kepentingan mahasiswa dalam transformasi ini, kita tidak boleh lari daripada berbicara soal pendidikan tinggi Negara. Usaha kerajaan memperkenalkan konsep Universiti Berautonomi amatlah baik dan wajar, amat signifikan dan seiring dengan perkembangan pendidikan Negara. Universiti dilihat lebih berdikari dalam pengurusannya, khususnya dalam konteks pentadbiran. Namun begitu sentiasa ada ruang penambahbaikan. Universiti sepatutnya dibekalkan dana dan peruntukan kewangan yang secukupnya bagi memastikan kelangsungan universiti sebagai hub pendidikan yang berkesan. Pemotongan bajet universiti dan gesaan untuk kemandirian universiti adalah satu langkah yang murni, namun, dikhuatiri sekiranya universiti mengalami kekurangan dana yang teruk, sehingga memberi kesan kepada pembudayaan ilmu dan perkembangan akademik. Dalam erti kata lain, universiti dikhuatiri akan menjadi badan perniagaan korporat melebihi peranannya sebagai institusi keilmuan. Ini akan membantutkan fokus utama universiti kerana mereka harus memastikan kelestarian material dalam pada masa yang sama, mendidik dan membudayakan ilmu. Ini bakal menjadi beban kepada institusi pendidikan tinggi negara. Mahasiswa juga khuatir, sekiranya universiti menjadikan mahasiswa sebagai sumber janaan kewangan dengan mengambil langkah meningkatkan yuran dan caj-caj yang tidak berkaitan yang semestinya bakal membebankan penuntut ilmu varsiti.

Transformasi Nasional pendidikan tinggi negara juga harus menjunjung kebebasan dalam keilmuan. Konsep kebebasan keilmuan atau ‘academic freedom’ merupakan satu konsep yang menjunjung nilai keilmuan dan memartabat intelektualisme merentasi segala perkara yang mampu mencalarkannya. Konsep ini sepatutnya disemai dan disuburkan di semua Institusi pendidikan tinggi negara baik awam mahupun swasta. Universiti seharusnya bebas daripada segala anasir yang mampu memandulkan perkembangan ilmu. Segala campur tangan politik dalam pentadbiran niversiti seharusnya dihalang dan diselar, kerana ini mampu merencatkan pembudayaan ilmu. Universiti seharusnya menjai medan keilmuan tulen dan meraikan segala idea dan pengetahuan merentasi sempadan politik, agama, bangsa, atau apa jua halangan yang mungkin wujud. Sistem pendidikan tidak lagi boleh dijadikan bahan politik dan mesti bebas daripada sebarang unsur yang boleh menjejaskan pembangunan sistem pendidikan kebangsaan.

ridwansyahyusufachmaddotfilesdotwordpressdotcom

Selain itu juga, universiti harus berfungsi sebagai suatu medan mematangkan mahasiswa dan perlu dilihat begitu. Peranan mahasiswa seharusnya diiktiraf dan dipandang penting.  Idealisme dan aktivisme mahasiswa perlu dirai dan dibimbing, dan bukanlah dianggap sebagai suatu yang menggugat dan perlu dikekang. Umur mahasiswa merupakan umur pendewasaan dan pematangan berlaku. Semangatnya yang membara, sifatnya yang terburu-buru dan jiwanya yang memberontak perlu dibimbing secara hikmah dan ditangani dengan adil. Tahun 2016 menyaksikan tahun kemelut mahasiswa. Sebilangan mahasiswa dikenakan tindakan tatatertib di Universiti hanya kerana beberapa tindakan mereka yang sememangnya selari dengan undang-undang, tetapi dikatakan tidak selari dengan peruntukan universiti. Hal ini dilihat sebagai satu tindakan yang dangkal kerana sesungguhnya Akta Univrsiti dan Kolej Univesiti 1974 pindaan 2012 telah memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk beraktiviti di luar university mahupun menyertai parti politik. Sepatutnya pada peringkat universiti, tidak mempnyai kuasa dan mandat untuk menghalang keterlibatan aktivisme mahasiswa. Namun, lain pula ysng terjadi. Sehingga ada mahasiswa yang dikenakan tindakan gantung pengajian dan direhatkan sehingga setahun.

Justeru, dalam TN50, transformasi pertama yang diambil oleh kerajaan dalam memperkasakan institusi pendidikan seharusnya membuka ruang perbincangan dan perbahasan yang lebih luas agar mahasiswa boleh menyuarakan pandangan mereka. Jika kerajaan benar-benar ingin melaksanakan melaksanakan TN50 secara matang, mereka perlu mendengar suara semua pihak, termasuk yang dianggap tidak selari dengan aspirasi kerajaan.

Sebagai nilai tambah, institusi pengajian tinggi seharusnya menjadi tempat untuk mempersiapkan mahasiswa menghadapi alam reality dunia yang kian mencabar lebih-lebih lagi era dunia pasca TPPA. Segalanya kian mencabar dan seharusnya graduan bersedia mnghadapinya. Setiap silibus dan metodologi pengajaran dan pembelajaran pendidikan seharusnya menepati piawaian dan kehendak industry agar mahasiswa kompeten boleh dilahirkan. Sememangnya kita menginginkan mahasiswa yang menepati kehendak industry, tapi perlu selari juga dengan ilmu dan budi yang menjadi teras kepada pembinaan roh mahasiswa itu sendiri. Memetik ucapan Tan Sri Professor Zulkifli Abdul Razak, Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia yang menyatakan bahawa the heart of education is education to the heart”. Nah, ini merupakan suatu petunjuk yang signifikan bahawa integrasi diantara akal dan jiwa itu perlu selari dan dibina bersama kerana mana mungkin modal insan yang cemerlang tinggi inteleknya mantap spiritualnya mampu dilahirkan andai kata salah satu elemen ini dipinggirkan. Oleh yang demiian, seharunsya lonjakan satu dalam Pelan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) yang berhasrat untuk melahirkan mahasiswa yang berciri holistic, seimbang dan berciri keusahawanan dihayati bukan sahaja mahasiswa, tetapi setiap pemegang taruh pendidikan Negara baik pemain industry, kepimpinan Negara mahupun masyarakat madani.

Namun masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan dan pembentukan Transformasi Nasional 2050 kerana ia masih diperingkat perangkaan. Oleh itu golongan muda seharusnya bersama-sama mencurahkan idea dan pandangan terhadap TN50 melalui siri dialog anjuran Kementerian Belia dan Sukan di seluruh negara. Ini platform terbaik menyatakan pandangan mengenai bagaimana Malaysia harus dibangunkan menjelang 2050. Kita mahu melihat pada 2050 nanti, Malaysia berdiri gah di mata dunia sebagai negara maju dan makmur dengan rakyat hidup penuh harmoni. Kebanggaan Negara pada masa hadpaan bukan hanya pada nama, tapi juga pada akal dan budi. Benar kata-kata pepatah cina yang mengatakan bahawa “Andai inginkan kebahagiaan setahun semailah benih, andai inginkan kebahagiaan sepuluh tahun tanamlah pokok, andai inginkan kebahagiaan seratus tahun didiklah manusia”. Maka secara hakikinya, ketelusan dan hakikat sesebuah keilmuan dan keintelektualan hanya mampu dicapai dengan ketulenan dan kebenaran ilmu itu sendiri, tanpa ada anasir yang merencatkannya. Moga Malaysia terus maju dan aman jaya demi mencapai Transformasi Nasional 2050.

By Editor

Leave a Reply