Kita selalu mendengar ayat; kalau nak bergerak laju, gerak sendiri – kalau nak bergerak dengan lebih jauh; bergeraklah secara berpasukan. Bagi mereka yang dibesarkan melalui jemaah islamiah; atau dalam konteks artikel ini adalah Jemaah Islamiah Kampus (JIK), anda akan diberitahu betapa pentingnya hidup secara berjemaah kerana individu yang tidak mempunyai jemaah sering dilabel sebagai kambing biri-biri yang boleh dibaham oleh serigala pada bila-bila masa.
Salah satu nasihat yang saya berikan kepada mereka yang bertanya tentang kepentingan jemaah adalah memastikan mereka memilih kumpulan/jemaah yang betul ketika berada di kampus. Alam kampus merupakan fasa penting dalam pembinaan diri seseorang. Saya berani mengatakan universiti adalah fasa terakhir ‘pembinaan’ peribadi seseorang. Dalam erti kata lain, jika seseorang itu tersalah pilih jemaah di kampus, berkemungkinan besar dia akan menyesal sepanjang hayat.
Ketika berada di kampus, kita memiliki tiga pilihan; menyertai kumpulan yang sedia ada, mencipta kumpulan sendiri, atau bergerak secara solo dalam melakukan apa-apa gerakan. Kali ini saya ingin membincangkan beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk membina organisasi sendiri di kampus atau lokal. Ketika saya di peringkat sekolah menengah, seorang rakan mengajarkan kepentingan memiliki empat ‘M’ dalam membina sebuah gerakan.
1. Manpower, gunakan bakat yang ada sebaiknya
Secara ringkasnya, ‘manpower’ bermaksud jumlah individu yang ingin terlibat dengan gerakan yang kita miliki. Sudah namanya organisasi kan? Sudah tentulah akan ada sekumpulan manusia yang sepakat melakukan gerakan ini bersama-sama. Apa yang penting apabila bercakap berkaitan manpower ini adalah – jumlah tidak semestinya melambangkan kekuatan sesebuah organisasi. Anda boleh terlibat dengan organisasi yang memiliki jumlah ahli yang sedikit, tetapi impaknya lebih tinggi berbanding organisasi yang mempunyai ahli yang ramai.
Persoalan yang paling penting adalah – bagaimana ingin rekrut (kalau bahasa JIK dipanggil kader) ahli-ahli baharu untuk mengikuti gerakan yang kita tubuhkan? Bagi persatuan yang berasaskan agama Islam – jawapannya mudah; ahli-ahli baharu boleh ditemui di masjid dan ditapis melalui proses usrah. Usrah adalah method kader yang paling berkesan sehingga ke hari ini. Sekiranya organisasi yang anda ingin buat bukanlah berasaskan keagamaan – anda harus cari jalan untuk mengumpulkan orang-orang yang berpotensi melalui kaedah seperti usrah.
Konsepnya mudah, bagaimana anda ingin kumpulkan orang-orang yang ada keinginan dan minat yang lebih kurang sama berbincang semeja? Jika anda telah menjumpai jawapan kepada persoalan itu, memang mudahlah kerja anda selepas itu.
Apabila telah menemui beberapa individu yang dipercayai mampu untuk bekerjasama dalam satu pasukan, anda harus memikirkan bagaimana kaedah terbaik untuk menggunakan bakat mereka. Sering saya melihat organisasi menggunakan bakat individu dengan cara yang salah. Benda ni agak mudah, kalau orang tu ada bakat dalam rekaan grafik, lantiklah dia mengetuai rekaan grafik persatuan.
2. Machinery, pentingnya untuk berkomunikasi dengan senior
Apa yang saya cuba maksudkan dengan machinery adalah ‘peralatan’. Untuk bergerak degan lebih berkesan; peralatan adalah hal yang penting. Mengambil contoh organisasi di universiti, peralatan seperti mikrofon, portable speaker dll. amat penting dalam melaksanakan program. Dengan adanya pelbagai peralatan, kita mampu mengurangkan kebergantungan dengan mana-mana organisasi lain yang ada di universiti. Dalam erti kata lain, kita mampu untuk mengurangkan kos sebelum melaksanakan apa-apa program.
Untuk bahagian ini, interaksi di antara junior-senior amat penting. Amat penting untuk para senior meninggalkan ‘sesuatu’ kepada generasi seterusnya apabila keluar daripada universiti.
3. Map, pastikan tempat perjumpaan mampu diakses oleh semua ahli organisasi
Apabila kita ada persatuan, sudah tentu tempat berkumpul adalah satu hal yang perlu difikirkan secara kritikal. Sebagai mahasiswa, sudah tentu kebanyakan anda akan bergantung banyak dengan pengangkutan awam – memandangkan tidak semuanya akan memiliki kenderaan sendiri. Disebabkan hal ini, pemilihan lokasi yang muda diakses oleh majoriti ahli adalah sesuatu yang penting. Walaupun selepas pandemik kita belajar menggunakan teknologi untuk bermesyuarat di atas talian, tentu sahaja bermesyuarat secara berhadapan perlu dilakukan untuk membina ikatan dalam kalangan ahli.
4. Money, perlu kreatif dalam mencari wang
Sudah tentu dalam membentuk sebuah organisasi, peranan wang amat penting. Lebih-lebih lagi sekiranya kita ingin melakukan aktiviti yang sukar untuk mendapat tajaan daripada universiti. Pada pengalaman saya, kebanyakan organisasi-organisasi baharu yang ditubuhkan di universiti sukar mendapat sokongan kewangan daripada universiti kerana meraka baharu dan belum mempunyai ‘track-record’. Oleh sebab itu mahasiswa dan anak muda harus kreatif dalam mencari wang.
Ketika saya masih mahasiswa, pelajar tidak dibenarkan mengutip wang secara langsung – melainkan perlu melalui HEP. Saya tidak pasti bagaimana keadaan pada hari ini. Ada pelbagai cara untuk mendapatkan wang – yang utama adalah kutipan dana awam atau berniaga. Kombinasi di antara dana awam dan berniaga adalah kombinasi yang ampuh untuk mengumpulkan dana. Lihatlah bagaimana organisasi-organisasi lain mengumpulkan wang, anda boleh belajar daripada hal itu.
Berdaftar atau tidak, itu terpulang kepada keputusan mesyuarat organisasi
Seterusnya adalah perbincangan ‘pendaftaran’. Sebenarnya anda boleh sahaja bergerak tanpa menjadi entiti yang berdaftar – cuma anda akan berhadapan kesulitan sekiranya ingin mengutip dana awam dan urusan audit. Apa yang saya boleh nasihatkan adalah cuba mendaftarkan diri sebagai NGO. Proses pendaftaran NGO adalah jauh lebih mudah berbanding cuba mendaftarkan organisasi anda di universiti (sekiranya perjuangan anda tidak mesra universiti).