KUALA LUMPUR: Gabungan gerakan mahasiswa nasional melalui Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM) hari ini mengeluarkan satu kenyataan mengecam tindakan pegawai dan pihak berkuasa Taman-Taman Sabah yang didakwa menyalahgunakan kuasa dan melakukan intimidasi terhadap aktivis Borneo Komrad serta komuniti Bajau Laut di Semporna yang sekadar ingin mendokumentasikan aktiviti perobohan rumah di Taman Marin Tun Sakaran.
HARAM turut menyelar kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang mempertahankan keputusan pihak berkuasa untuk merobohkan rumah-rumah di tujuh pulau di Taman Marin Tun Sakaran atas alasan keselamatan dan kedaulatan negara. Kenyataan tersebut disifatkan sebagai “pembohongan besar” dan mempersoalkan bagaimana tindakan merobohkan rumah masyarakat Bajau Laut yang telah lama mendiami kawasan tersebut boleh dianggap sebagai langkah keselamatan.
HARAM turut menekankan bahawa masyarakat Bajau Laut, yang merupakan sebahagian daripada identiti dan warisan Sabah, berhak untuk hidup bermaruah di perairan yang telah mereka huni selama berabad lamanya. Menurut HARAM, aktiviti perobohan itu bukan sahaja mencabuli hak asasi, tetapi juga merupakan usaha menghapuskan akar budaya dan identiti masyarakat tersebut.
HARAM turut melontar kritikan terhadap sikap hipokrit kerajaan negeri yang mendakwa telah “memikirkan sesuatu yang baik” untuk masyarakat Bajau Laut tetapi dalam masa yang sama terus melaksanakan tindakan merobohkan rumah tanpa sebarang pelan penyelesaian yang jelas. Menurut HARAM, aktiviti perobohan itu hanya menambah penderitaan kepada masyarakat yang telah lama dipinggirkan.
Dalam pada itu, HARAM mempersoalkan pendirian Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dahulunya lantang memperjuangkan keadilan sosial tetapi kini diam membisu setelah memegang tampuk pentadbiran tertinggi ketika hampir 2,000 penduduk Bajau Laut telah kehilangan rumah, harta benda, dan hak untuk menetap di Malaysia. HARAM menegaskan bahawa komuniti yang terjejas ini bukanlah pendatang asing tanpa izin (PATI) tetapi masyarakat yang harus dilindungi identitinya.
HARAM juga mengecam tindakan pihak berkuasa Taman-Taman Sabah berikutan penahanan aktivis Borneo Komrad dan penduduk kampung Bajau Laut, menyifatkan penahanan tersebut sebagai tindakan yang tidak berasas, intimidasi, dan bercanggah dengan hak asasi manusia. Desakan turut diperkuat agar pihak penguatkuasa menggugurkan kompaun RM15,000 yang dikenakan ke atas aktivis dan penduduk kampung yang hanya berusaha mempertahankan hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan
Dalam kenyataan yang sama, HARAM menyeru semua pihak untuk bersatu dalam mempertahankan kedaulatan rakyat dan menghentikan segala bentuk penindasan terhadap masyarakat Bajau Laut di Sabah.
Kenyataan penuh tersebut boleh dirujuk pada laman Instagram rasmi HARAM:
View this post on Instagram