RANTAU PANJANG – “Tolonglah, saya nak sambung belajar, tapi saya tak cukup duit nak bayar yuran pendaftaran,” kata seorang remaja di Kampung Cabang Tiga Bagus, semalam.

Nur Afifah Musfirah Yasin, 21, berkata, dia memerlukan kos pendaftaran sebanyak RM2,605 bagi melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru, minggu depan.

Namun katanya, ibu, Nurul Asikin Arifin, 42 yang bekerja mengambil upah memasak kuah percik dengan gaji sebanyak RM5 sehari, tidak cukup bagi menampung perbelanjaannya ke sana, apatah lagi kos pengajiannya sepanjang dua tahun.

“Alhamdulillah, sebelum ini saya memperoleh keputusan yang baik ketika pengajian Diploma Pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.

“Maka saya harap sangat ijazah ini, saya dapat lanjut pengajian di UTM dalam jurusan Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan, Fakulti Pendidikan,” katanya.

Anak sulung dari enam beradik ini berharap, dapat menjadi contoh kepada adik-beradiknya malah membantu mengeluarkan keluarga dari kemiskinan tegar.

Selepas memperoleh kerja yang baik di masa depan katanya, dia tidak mahu membebankan ibu, bekerja seharian demi keperluan mereka sekeluarga.

Sementara itu, Asikin berkata, gaji yang diterima digunakan sepenuhnya untuk pengajian anak-anak.

Asikin yang juga ibu tunggal dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, anak keduanya yang berusia 18 tahun, masih menuntut dalam bidang penerbangan di Kolej Vokasional Sepang manakala empat yang lain masih bersekolah di sini.

“Saya bertuah sebagai dikurniakan anak-anak yang baik malah cemerlang dalam akademik.

“Memandangkan gaji yang saya terima tidak banyak, maka saya terpaksa mengharapkan bantuan adik-beradik dan saudara terdekat,” katanya.

Pada 9 Oktober 2016 lalu, Sinar Harian melaporkan kemalangan membabitkan bapa Nur Afifah, ketika cuba membaiki bumbung rumahnya yang bocor.

Malang bagi penjaja ikan itu Yasin Mohamad, apabila dia terjatuh pada kerusi batu dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, bagi meringankan beban, Timbalan Ketua Umno Rantau Panjang, Ghazali Ismail berkata, Jentera Umno Dun Gual Periok akan berusaha mengumpul wang bagi keperluan Asikin.

Menurutnya, mereka juga melancarkan kutipan derma untuk perbelanjaan dan yuran pendaftaran anak Asikin.

“Kita turut mengalu-alukan lebih ramai pihak membantu dan menyalurkan sumbangan untuk mereka,” katanya.

Sumbangan boleh disampaikan kepada Nur Afifah menerusi akaun Bank Islam, bernombor 0308 1020 356435.

SINAR HARIAN

By Editor

Leave a Reply