Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua rakyat Malaysia atas kejayaan menunaikan tanggungjawab masing – masing kepada negara melalui Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) baru-baru ini. Perubahan tampuk pemerintahan negara yang berjaya dilakukan baru-baru ini adalah sesuatu yang wajar dipuji kerana perkara tersebut membuktikan bahawa proses pendemokrasian di negara kita ini semakin matang.
—
Setelah hampir 3 minggu memegang tampuk pemerintahan negara, pihak Kerajaan yang baharu telah pun melaksanakan beberapa tindakan segera selaras dengan aspirasi rakyat. Pendirian Kerajaan yang meletakkan kepentingan rakyat mendahului kepentingan-kepentingan lain wajar dipuji.
—
Namun, beberapa kenyataan dari pihak Kerajaan khususnya berkenaan permasalahan ‘hutang negara’ ini amatlah merisaukan saya. Hal ini demikian kerana saya berpandangan bahawa kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan ini bersifat tidak lengkap dan mampu menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan rakyat.
—
Kenyataan YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 21 Mei 2018 dalam perhimpunan pertama beliau bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri di mana beliau didapati berkata : “Kewangan Negara kini sudah dicabul dengan begitu besar sehingga Kerajaan menghadapi masalah penyelesaian hutang yang mencecah hampir RM1 trilion” adalah sesuatu yang tidak berasas malah berpotensi tinggi untuk mengelirukan dan meresahkan bukan sekadar rakyat, malah juga pelabur-pelabur asing di Malaysia.
—
Dalam suatu kenyataan berasingan, YB Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 24 Mei 2018 didapati berkata bahawa Hutang Rasmi Kerajaan Persekutuan hanya bernilai RM 686.6 Billion ataupun pada paras 50.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Dalam kenyataan yang sama, YB Menteri Kewangan telah turut menekankan bahawa jumlah RM1 trilion yang dikatakan itu hanya terjadi jika kita mengambil kira sekali Jaminan Kerajaan yang bernilai RM199.1 Billion serta Bayaran Pajakan bagi Kerjasama sektor Kerajaan-Swasta yang bernilai RM201.4 Bilion.
—
Malah, beliau turut menyatakan beberapa contoh Jaminan Kerajaan yang mana pada pandangan saya bersifat terpilih. YB Menteri Kewangan hanya mengemukakan contoh-contoh Jaminan Kerajaan yang telah dibantah oleh parti beliau selama ini serta berkepentingan dalam soal survival politik parti beliau seperti jaminan yang diberikan Kerajaan terdahulu kepada Malaysian Rail-Link Sdn. Bhd dan 1MDB.
—
Saya berasa pelik kerana beliau mahupun mana-mana ahli Kerajaan baharu ini termasuk YAB Perdana Menteri tidak langsung bersebut tentang Jaminan Kerajaan yang lain seperti PTPTN dan KWSP mahupun Tabung Haji. Perkara ini seolah-olah menunjukkan bahawa mereka masih mahu bermain politik dan bukannya berusaha untuk memartabatkan semula pentadbiran negara ke arah yang lebih berkualiti.
—
Hasil daripada sikap mereka ini, ramai pihak termasuk rakyat dan pelabur kini keliru. Seperti yang dijangka, kenyataan-kenyataan yang bercanggah antara satu sama lain ini telah pun memberi kesan kepada ekonomi negara. Kredit rating dari agensi – agensi kewangan dari seluruh dunia terhadap negara ini telahpun meragukan pihak pelabur sehinggakan KLCI kini berada tahap terendah sejak 5 bulan yang lalu seperti mana dilaporkan oleh The Edge Markets.
—
Rakyat khususnya golongan muda yang menyumbang kepada gelombang perubahan ini pula kini melakukan pelbagai inisiatif seperti mengumpul dana secara kolektif dan juga secara individu untuk membantu Kerajaan melupuskan hutang RM1 trilion yang dikatakan itu. Saya akui ini adalah satu tindakan yang bersifat cukup patriotik namun apa guna segala usaha ini tatkala hampir 60% peminjam PTPTN yang turut menyumbang kepada peningkatan Hutang Negara dari segi Jaminan Kerajaan melibatkan RM 1.84 Billion belum lagi membuat sebarang bayaran?
—
Adakah kita sedang memperbodohkan diri sendiri dengan permainan politik sekali lagi?
Dalam keadaan ini, pihak Kerajaan pula melalui Mesyuarat Kabinet pada 30 Mei 2018 telah memutuskan untuk mewujudkan satu tabung khas – Tabung Harapan Negara di bawah seliaan Kementerian Kewangan Malaysia untuk memudahkan urusan rakyat yang ingin menyumbang bantuan dalam bentuk kewangan bagi membantu Kerajaan menyelesaikan hutang tersebut.
—
Dalam masa yang sama, ketika mereka tidak henti-henti berkata tentang hutang negara dan kini mewujudkan pula Tabung Harapan Negara untuk membayar hutang negara yang didakwa berpunca daripada keborosan pemimpin terdahulu, Mesyuarat Kabinet juga telah memutuskan untuk mendapatkan hak penyiaran kejohanan Piala Dunia yang dijangka menelan kos sekurang-kurangnya sebanyak RM40 juta bagi memenuhi tuntutan manifesto mereka.
—
Adalah ini tidak boros? Pihak Kerajaan perlu sedar bahawa mereka kini memegang tampuk pemerintahan negara dan bukannya pembangkang seperti sebelum ini. Mereka perlu sedar bahawa mandat yang diberi kepada mereka itu bukanlah untuk mereka melakukan pelbagai aksi-aksi politik untuk membuktikan mereka lebih baik dari Kerajaan terdahulu malah mandat ini adalah untuk mereka melaksanakan “a good and better governance” seperti yang dilaungkan sebelum ini.
Mathis Sarawanan
Setiausaha Barisan Nasional Youth Volunteers Penang