HASRAT

Dalam keheningan malam aku mula berimaginasi. Bermimpi dengan segala keyakinan yang ada dalam diri. Keyakinan yang curang terhadap kekuatan diri sendiri. Aku fikir, mampukah aku?

Alangkah indahnya mahasiswa bermandiri sendiri dan tidak perlukan sesiapa. Maksud aku, tidak bergantung kepada sesiapa untuk hidup dan berdikari. Mahasiswa yang boleh hidup di hutan jika dicampak berbulan.

Aku berfikir… Dan terus berfikir… Pena tidak berhenti-henti menulis di minda. Hasratku cuma satu, aku mahu lihat generasi akan datang gah berdiri sendiri, mengibarkan sayapnya sehingga ke polemik negara. Berbicara tentang masalah-masalah universiti, mampu menyediakan solusi untuk isu-isu politik dan ekonomi negara, bahkan bersedia untuk bekerja untuk masyarakat.

Mungkinkah satu hari nanti? Mungkin, generasi akan datang terus hanyut dibuai mimpi. Mungkin generasi akan datang terus berfokus kepada peperiksaan dan hanya menjadi hamba kepada gred peperiksaan. Aku bingung, memikirkan cara dan solusi untuk menyelesaikan kemelut ini. Bagi aku, inilah masalah yang paling besar dalam universiti.

Dalam konteks sebagai penggerak Kelab Geologi, aku berhasrat untuk melihat pelajar-pelajar Geologi mampu berfikir dengan sendiri. Mampu menjawab isu-isu tentang gempa bumi, bencana alam dan sebagainya yang berlaku di Malaysia. Bukan bermaksud untuk memberi jawapan yang kurang tepat, tapi aku khuatir mahasiswa keluaran Malaysia tidak berdikari untuk mencari jawapan. Walhal jawapan tersebut ada, dan mampu dijawab. Cuma kena berusaha membaca, berfikir dan menulis.

Aku berhasrat untuk melihat di sudut-sudut penjuru blok terdapat buku-buku ilmiah dan majalah Geologi yang ditulis sendiri oleh mahasiswa Geologi UMS. Gabungan artikel-artikel yang berinfo grafik seperti BBC Knowledge memenuhi sudut-sudut penjuru blok untuk dibaca oleh mahasiswa lain. Aku berhasrat untuk melihat satu hari nanti, ada tulisan-tulisan mahasiswa Geologi yang diangkat di dalam akhbar-akhbar dan mempunyai majalah sendiri seperti National Geographic Magazine yang memuatkan artikel-artikel berbentuk tulisan dan juga grafik.

Aku berhasrat untuk melihat Kelab Geologi mempunyai bilik sendiri di fakulti, yang bergerak aktif untuk melancarkan forum intelektual, diskusi mahupun bicara santai sambil berfikir bagaimana untuk mengembangkan potensi ilmu Geologi di segenap dimensi.

Aku berhasrat satu hari nanti, tiada persoalan tentang “apa itu Geologi?” oleh masyarakat awam. Aku mahu lihat pengetahuan tentang geologi itu satu cabang yang besar seperti ilmu-ilmu kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya.

Aku berhasrat untuk melihat mahasiswa Geologi kiranya mampu mengulas tentang sesuatu subjek itu diluar pengetahuannya. Ulasannya tidak berada semata mengikut apa yang ada di dalam nota kuliah, tetapi mencari pengetahuan tentang subjek itu di luar kelas, seperti buku-buku, jurnal-jurnal serta tesis yang ada di perpustakaan dan laman maya.

Aku berhasrat satu hari nanti, Kelab Geologi akan lebih gah di Universiti, mengembangkan intelektual pelajar-pelajar Geologi, menjaga kebajikan dan seterusnya turun ke masyarakat. Ketiga-tiga prinsip ini tidak membuta tuli, seharusnya diserap di dalam setiap pelajar Geologi. Mahasiswa Geologi yang berintelektual, menjaga kebajikan antara satu sama lain dan mempunyai perasaan tanggungjawab kepada masyarakat di Sabah, khususnya.

Aku berhasrat untuk melihat pelajar-pelajar Geologi memberi bicara (talk) tentang definisi dan skop ilmu Geologi, membuka booth dan membuat model-model kreatif untuk menarik minat pelajar-pelajar sekolah, supaya generasi akan datang minat dan mengetahui tentang ilmu Geologi. Bukan itu sahaja, pelajar Geologi mampu mengendalikan aktiviti-aktiviti seperti simulasi gempa bumi dan sebagainya.

Aku berhasrat di mana terdapat budaya tukar-tukar ilmu Geologi subur di Universiti ini. Mahasiswa Geologi dari universiti lain datang ke UMS untuk bertukar-tukar ilmu pengetahuan tentang geologi di sini, dan berdiskusi secara menyeluruh. Delegasi dijalankan setiap tahun, untuk menjalinkan kolaborasi, membuat MoU, serta pertukaran pelajar.

Aku berhasrat satu hari nanti, Kelab Geologi mampu mengadakan program-program peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa, misalnya student conference. Menyediakan tempat untuk pelajar-pelajar Geologi dari seluruh Malaysia serta melakukan aktiviti-aktiviti intelektual seperti penyelidikan, mapping contest dan sebagainya.

Aku berhasrat di mana satu hari nanti, hasratku menjadi kenyataan.

Sekian,
Yang berhasrat,

MUHAMAD SYAFIQ BIN SALIM,
Presiden Kelab Geologi,
Universiti Malaysia Sabah.

Leave a Reply