SURAT TERBUKA UNTUK MASZLEE MALIK MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA(KPM)

1. Saya mengharapkan surat terbuka ini dapat diterima dengan baik dan diberi ruang berbeza pendapat di atas garis selari antara saya graduan yang sudah selesai pengajian ijazah sarjana muda dan Menteri Pendidikan Malaysia(KPM), Dr Maszlee Malik juga merupakan bekas pensyarah (ahli akademik) yang saya kira sama-sama ingin meningkatkan budaya ilmu di universiti. Perkara yang ingin saya sampaikan di sini adalah berkenaan dengan surat rasmi yang dikeluarkan oleh TNC HEPA Universiti Malaysia Sabah iaitu Bayaran Denda Etika Berpakaian di universiti .

2. Persoalan awal untuk Universiti Malaysia Sabah

Surat bertarikh 14 Mac 2019 yang dikeluarkan oleh Ismail Ali Timbalan Naib Cancelor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), berkenaan Kadar Bayaran Denda Etika Berpakaian Pelajar Universiti Malaysia Sabah(UMS). Saya terharu dengan TNC bernama Ismail Ali kerana masih mampu berasimilasi dengan kerajaan baru sedang beliaulah yang paling banyak menjadi alat parti rejim pemerintah yang lama untuk menyekat kebebasan mahasiswa. Saya menjadi sedikit ralat apabila membaca hal ini, beberapa persoalan awal secara teknikal saya ajukan, siapakah pihak yang akan diberi tanggungjawab untuk menyaman pemakaian pelajar adakah pegawai keselamatan? Tugas pegawai keselamatan adalah untuk memastikan keselamatan premis universiti dalam keadaan selamat mengapa harus dibebankan lagi dengan tugasan yang tiada kena-mengena dengan bidang tugas mereka? Pegawai keselamatan universiti seharusnya fokus terhadap kerja-kerja keselamatan pelajar sehingga isu pukul mahasiswa dan cubaan rogol mahasiswa pada tahun 2018 tidak berulang lagi. Adakah semua bidang di universiti perlu untuk berpakaian formal contohnya bidang kesenian, perhutanan, kerja sosial, akuakultur dan sebagainya. Tugas universiti adalah untuk memudahkan proses pemberian dan mendapatkan ilmu berlangsung dengan mudah. Keutamaan universiti harus menjurus ke arah ini.

Perkara ini juga sangat ironi dengan tindakan pihak pentadbiran UMS yang mengurangkan fasiliti bas, kononnya sedang berkempen jom sihat bagi menghalalkan mereka untuk memaksa mahasiswa berjalan kaki berkilometer jauhnya dari kolej kediaman ke fakuti dengan keadaan demografi UMS yang berbukit. Sedangkan yuran bas masih tetap dikaut. Dengan keadaan cuaca yang sangat panas disamping ruang pejalan kaki tiada laluan berbumbung (susur gajah) sangatlah tidak mesra mahasiswa. Ditambah lagi sekarang pelajar dipaksa untuk berpakaian formal apabila ingin bergerak dalam persekitaran universiti. Adakah ke kafeteria untuk makan sahaja juga perlukan pemakaian formal? Adakah ke perpustakaan untuk berlajar atau miminjam buku juga memerlukan mahasiswa memakai pakaian formal? Sedarlah perpustakaan sangat suram, universiti sepatutnya menggalakan mahasiswa untuk datang ke perpustakaan bukan menyusahkan atau memperketatkan lagi syarat masuk.

3. Universiti seperti apa yang ingin kita bangunkan oleh KPM?

Saya bercakap sebagai warga pendidik, guru sekolah alternatif yang mana sedar akan pentingkan menganjurkan sistem pro pelajar agar suasana pembelajaran dan pengajaran dapat berlangsung dengan baik menepati agenda serta falafah pendidikan. Saya juga sedar bahawa sebenarnya mahasiswa dan ahli akademik sama-sama terikat dengan aturan sistem kolot yang mana secara senyap telah menyusahkan dan merendahkan kedudukan nilai keilmuan di universiti. Saya ingin mempersoalkan adakah universiti yang ingin kita bangunkan di era Malaysia Baru ini harus dinilai melalui kosmetik luaran sekitar pemakaian pelajar?

4. Merenung semula permaknaan universiti

Suka untuk saya membawa Dr Maszlee merenung kembali sebuah permaknaan bangunan megah susunan batu konkrit bernama universiti yang semakin hari semakin hilang fungsi akibat percaturan tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab dalam menyekat pemikiran kritis dan kreatif ahli-ahli intelektual. Universiti merupakan sebuah gedung ilmu yang mana menghimpunkan para guru dan cendikiawan di dalamnya. Universiti pada mulanya adalah sebuah daerah pertembungan banyak idea pemikiran dalam membentuk sebuah gagasan yang akhirnya akan kembali kepada masyarakat. Namun diakhir-akhir ini saya melihat universiti sudah tidak memainkan peranannya, mahasiswa dan ahli akademik saling tidak berinteraksi secara kritis antara satu dengan yang lain ditambah dengan pentadbir universiti yang sering saja menyusahkan pergerakan keilmuan lalu lebih berminat akan acara-acara hiburan. Paling tidak pun mahasiswa hanya mampu diam dan menerima segala keputusan tanpa perbahasan sedangkan tanpa mahasiswa universiti tidak akan wujud, mahasiswa adalah golongan mejoriti yang pastinya mejadi wadah penentu tahap kecerdasan intelektual di sesebuah negara.

5. Sekitar pengalaman di Universiti Malaysia Sabah

Jika difikirkan secara matang sangat ironi penampilan peribadi seseorang dijadikan titik tolak untuk menilai pemikiran, ianya sangat memalukan dan melanggar prinsip-prinsip keilmuan. Untuk pengetahuan pada tahun 2016 saya pernah dihalang oleh pentadbiran universiti untuk masuk ke Dewan Parlimen atas alasan berambut panjang. Untuk pengetahuan juga ketika itu saya membawa nama Kelab Sastera Mahasiswa (KARMA) layak membentangkan tiga daripada 12 usul yang diterima untuk dibahaskan di Parlimen Mahasiswa. Saya antara mahasiswa yang paling banyak layak membentangkan usul iaitu satu per empat usul dewan. Tapi akhirnya kerana berambut panjang saya dinafikan hak menyampaikan idea-idea perubahan untuk universiti. Paling menyedihkan saya ketika itu adalah tindakan menghalang saya masuk adalah bersifat emosi dan peribadi (sesuka hati, cuba menunjuk kuasa). Apabila kami bertemu sendiri dengan speaker Dewan Rakyat Sabah ia membenarkan saya untuk masuk kerana ia tidak ada kena-mengena dalam mana-mana peraturan dewan. Namun pentadbiran berkeras untuk tidak memberi peluang kepada saya untuk masuk menyampaikan idea. Ketika sidang mulai berlangsung, saya menulis kekecewaan hati saya di media sosial milik peribadi saya sendiri. Akhirnya, individu berperanan sebagai pentadbiran itu memohon maaf selepas kenyataan facebook saya itu tular di media sosial. Bayangkan semudah itu idea-idea dan kajian-kajian demi perubahan yang saya buat disisihkan begitu saja. Mulai saat itu saya sudah hilang hormat terhadap keputusan-keputusan pentadbiran universiti. Bayangkan penat lelah saya dan kawan-kawan dizalimi tanpa ada sedikit rasa kasihan, kemanusiaan dan keilmuan. Mulai dari itu juga saya dan kawan-kawan menjadi lebih radikal dan keras dalam memperjuangkan sesebuah isu. Tiada lagi ruang diplomasi buat mahasiswa seperti kami.

6. Keputusan untuk menguntungkan siapa?

Oleh itu, saya ingin mengajak Dr Maszlee sebagai menteri pendidikan untuk merenung kembali segala keputusan-keputusan yang ingin diletakkan terhadap mahasiswa. Adakah perkara berkenaan, etika berpakaian ini adalah hal penting untuk menyekat pembelajaran, pemikiran dan aktiviti mahasiswa. Saya mohon untuk difikirkan semula secara waras, matang dan ilmiah keputusan-keputusan tersebut. Inikah pemikiran sebuah gedung ilmu yang cuba kita tonjolkan kepada masyarakat di luar sana. Ayuh lihat semula kepada sejarah sosok melayu nusantara, tokoh-tokoh ilmuan, seniman dan sebagainya, mereka ini mampu memperjuangkan nasib bangsa serta melahirkan banyak karya-karya ilmiah yang menjadi rujukan generasi akan datang. Kebebasan berekspresi membuka ruang melahirkan pemikiran yang luas dan kritis. Berhentilah menyekat dan menghukum menggunakan wang kerana sekatan-sekatan tidak akan menyelesaikan apa-apa malah akan melahirkan lebih ramai mahasiswa yang di dalam jiwanya bergelora memberontak. Saya tersangatlah menghormati para ilmuan di universiti namun sedarlah segala keputusan tidak ada bersifat sempurna. Pemikiran yang baik mampu beradaptasi dengan konteks masa dan bersedia untuk melakukan perubahan-perubahan. Sistem di universiti perlu dipertikai dan dibincangkan semula menggunakan laras akademik bukan tersekat digaris politikal berkepentingan (meneruskan kuasa).

7. Akhir sekali, ayuh bersama untuk menyingkirkan sebuah persepsi buruk terhadap sebuah penampilan seseorang pelajar. Mahasiswa juga sangat senang apabila orang dihormati iaitu ahli akademik bebas berekspresi. Terpulanglah sama ada mahu berambut panjang atau tidak, berpakaian ala barat atau melayu nusantara kerana apa yang lagi penting adalah ilmu yang diberikan. Saya berharap ahli akademik juga mampu menghormati kebebasan belajar dan berekspresi oleh mahasiswa kerana apa yang lebih penting adalah sejauh mana mereka mampu menghasilkan lebih banyak kajian, karya yang bermanfaat dan menggunakan segenap ilmu di universiti untuk melakukan perubahan-perubahan yang baik serta berani meletakkan idea kebenaran di tempat duduknya. Sedarilah para pemberi rasuah, penerima rasuah, penjenayah kolar putih dan sebagainya adalah berpakaian kemas serta rapi di luarannya. Tentu saja semua orang tidak suka untuk kita meletakkan persepsi buruk kepada mana-mana indvidu lain yang berpakaian kemas. Oleh itu, bersikap adil lah dalam menilai seseorang. Ilmu teras kemajuan, UMS lambang puncak jaya.

Saya sudah berusaha untuk melembutkan hati dan menyusun bait-bait kata yang indah dan mudah untuk difahami. Saya sangat senang dan terbuka jikalau surat ini mendapat balasan atau mana-mana pihak kementerian pendidikan, pentadbiran atau ahli akademik sudi untuk bersua muka dengan saya.

Mukmin Nantang
(Guru Sekolah Alternatif)

Leave a Reply