Surat dan Cabaran Terbuka kepada Khairy Jamaluddin
Rahman Imuda
Saya Rahman bin Imuda ingin mengemukakan surat terbuka dan cabaran untuk bersemuka/berdialog berkenaan isu Transformasi Nasional 2050 (TN 50). Pendidikan merupakan salah satu topik tumpuan utama dalam plan Transformasi Nasional 2050, dan pada pandangan saya kebebasan akademik merupakan salah satu komponen yang wajib ada dalam sistem pengajian tinggi kita. Saya ingin menuntut kata-kata YB Khairy Jamaluddin ketika sidang media berkenaan TN50 yang berlangsung di Kementerian Belia dan Sukan, ‘kita sedia mendengar cadangan dan kritikan belia yang bersifat membina’. Di tangan saya ada beberapa cadangan yang konstruktif berkenaan institusi pengajian tinggi Malaysia yang terkait dengan topik tumpu TN50, adakah YB sedia untuk memberikan ruang kepada saya?
Cabaran ini saya lakukan susulan daripada insiden saya diminta untuk berhenti memberikan penerangan berkenaan Transformasi Nasional 2050 pada 6/3/2017 di kampus saya belajar. Alasan yang dikemukakan sangat dangkal, saya dilabelkan sebagai radikal akibat pernah melakukan aksi-aksi yang dianggap keras padahal ia tidak jauh daripada norma mahasiswa di peringkat antarabangsa. Mereka bimbang hadirin akan menjadi radikal, sedangkan saya hanya membentangkan pengenalan berkenaan Transformasi Nasional (TN50). Sepanjang saya memberi penerangan, saya tidak melakukan sebarang kritikan bahkan mengambil ungkapan-ungkapan yang diucapkan oleh Perdana Menteri dan YB melalui program rasmi. Oleh kerana saya adalah saya, maka diskusi itu dihentikan padahal ia adalah perjumpaan mingguan ahli kelab yang tidak memerlukan sebarang kebenaran bertulis daripada pihak pentadbiran. Bagaimana mungkin kita boleh membina negara bangsa yang berfikiran kritis dan kritikal sekiranya budaya ‘pemandulan intelektualisme’ ini masih berlaku? Jika mahasiswa tidak dilepaskan untuk berbincang isu-isu nasional dan seperti terkurung di dalam penjara, maka TN50 sebenarnya sudah gagal sebelum ia bermula.
Kebebasan akademik akan melahirkan idea-idea yang bernas yang boleh digunakan untuk memacu pembangunan negara. Bagaimana mungkin idea-idea yang diharapkan oleh pemerintah melalui TN50 boleh dimunculkan jika proses-proses pembinaan idea itu dibunuh?
Sekali lagi, saya Rahman bin Imuda, aktivis mahasiswa mencabar YB Khairy Jamaluddin untuk bersemuka dan berbincang berkenaan kebebasan akademik yang seharusnya diutamakan dalam pengajian tinggi. Buktikan bahawa kata-kata yang YB ungkapkan ketika sidang media bukan setakat omong kosong atau retorik, tapi benar-benar bermaksud demikian.
YB adalah seorang menteri, saya adalah seorang rakyat biasa. Sudah menjadi adat anak laki-laki menerima cabaran, dan lebih-lebih lagi sudah menjadi kewajiban seorang menteri untuk mendengar idea-idea yang datang dari rakyat seperti yang diwar-warkan melalui TN50.
Jika cabaran ini tidak bertepuk sebelah tangan, pihak YB boleh menghubungi saya melalui email [email protected] atau facebook.com/rahmanimuda. Moga perjumpaan kita dapat direalisasikan. Saya juga akan menghantarkan surat rasmi melalui email Kementerian Belia dan Sukan.