Jangan kaitkan MPPK dengan mana-mana parti politik!!!
Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh saudara Farhan khairuddin yang juga merupakan Exco Pemuda Umno Malaysia yang jelas memfitnah dan menghina kredibiliti MPPK. Saudara Farhan menyebut bahawa “mesyuarat mppk kini dikuasai kumpulan mahasiswa daripada beberapa NGO yang disokong kuat parti kerajaan” dan “pimpinan tertinggi dikunci mulut mereka oleh kerajaan.”
Ini merupakan tuduhan dan fitnah yang jelas tidak berasas yang dilemparkan untuk kepentingan politik beliau sendiri yang mewakili Pemuda Umno. Tuduhan yang dilemparkan oleh Exco Pemuda Umno ini seolah-olah ingin menunjukkan bahawa parti politik daripada blok kerajaan menghalang mahasiswa dari bersuara terutamanya MPPK. Sekiranya tuduhan dan fitnah itu betul, maka tunjukkanlah bukti dan saya mendesak saudara Farhan mengemukan nama-nama mereka yang didakwa mulutnya dikunci kerajaan dan sebutkan parti manakah yang menguasai mahasiswa.
Kita sekarang berada di era pemerintahan Malaysia Baru yang mana tiada lagi mahasiswa yang dihalang daripada bersuara dan ini jauh berbeza ketika zaman rejim Barisan Nasional memerintah Malaysia. Setakat hari ini, tiada lagi kedengaran mana-mana mahasiswa dihalang atau dikenakan tindakan undang-undang oleh Universiti dan Kerajaan akibat menyuarakan dan melontarkan pandangan mereka. Ini merupakan signal yang jelas daripada kerajaan baru terutamanya Kementerian Pendidikan yang memartabatkan dan mengambil serius pandangan mahasiswa dalam segenap isu. Mahasiswa juga bebas memilih kecendurangan politik tidak kira kerajaan atau pembangkang dan ini langsung tidak dihalang oleh mana-mana pihak.
Perkara ini sangat berbeza ketika pemerintahan rejim Barisan Nasional yang jelas menafikan hak mahasiswa dalam kebebasan bersuara. Mahasiswa dijadikan alat tunggangan parti politik seperti Umno apabila MPPK yang pernah diketuai oleh Saudara Farhan sendiri yang membawa mahasiswa menyertai Perhimpunan Agong Tahunan Umno. Program-program politik yang dikelolai oleh umno juga turut disokong kuat oleh Saudara Farhan selaku Presiden MPPK ketika itu. Ini membuktikan bahawa MPPK di bawah pimpinan saudara Farhan menjadi tunggangan Kerajaan Umno. Kita juga dapat menyaksikan puluhan mahasiswa dikenakan tindakan undang-undang oleh Universiti dan Kerajaan di zaman BN bila mana mereka menyuarakan pandangan dan pendapat yang bertentangan dengan aspirasi kerajaan pada ketika itu dan dimana suara MPPK di bawah kelolaan Saudara Farhan Khairuddin yang sekarang merupakan Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.
Ini merupakan perbezaan yang sangat ketara yang boleh dinilai dan dirasai sendiri oleh mahasiswa. Tiada lagi tekanan politik kepada mahasiswa dan MPPK sekalipun. Kita bebas bersuara mengenai segala isu yang berkaitan dan kebebesan yang mula dirasai ini perlulah digunakan sebaik mungkin oleh mahasiswa dan jangan sesekali salah gunakan ruang yang diberikan untuk kepentingan mana-mana parti politik waima kerajaan mahupun pembangkang seperti mana yang dilakukan oleh saudara Farhan dahulu yang menjadikan MPPK sebagai alat tunggangan Umno. Saya memohon saudara Farhan menarik balik fitnah dan tuduhan yang dilemparkan kepada MPPK secara khususnya dan seluruh mahasiswa amnya.
Ahmad Suffian Mohd Dalizan
Ketua Perhubungan Mahasiswa
Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA
Sesi 2018/2019