Antara Sejarah, Politik Jijik & Hakikat Pendidikan
Hari ini, saya merasa kecewa dengan kenyataan Yang Berhormat Dr Maszlee Malik. Sudah banyak kenyataan Yang Berhormat yang saya baca dan sudah banyak juga yang saya abaikan dan malas ambil pusing kerana saya tahu, pasti ada saja putar belit atau Yang Berhormat sendiri tersilap cakap. Tapi hari ini saya tidak dapat menerima kenyataan Yang Berhormat Simpang Renggam dalam parlimen. Parlimen adalah sebuah institusi yang menentukan dasar dan hala tuju Negara, walau seringkali kita melihat para ahli parlimen berbahas panas-panas sampai kita keliru di manakah etika mereka.
Yang Berhormat Tuan Doktor,
Apakah Yang Berhormat cuba sampaikan? Sarkastik? Sinis? Ketahuilah Yang Berhormat, sebagai seorang menteri, yang ingin menggagaskan pendidikan manusiawi, ketaksuban berpolitik telah menjadikan Yang Berhormat tidak lebih dari seorang yang lantang beretorik semata-mata.
Adakah dengan meletakkan skandal 1MDB dapat mendidik anak bangsa kita? Jika ya, mengapa hanya 1MDB? Bagaimana dengan seribu satu skandal dalam Negara kita yang lain? Adakah kita dapat mendidik dengan menyebarkan kebencian?
Yang Berhormat,
Masih ingatkan sebelum rakyat menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional, pernah ada anak-anak kita yang dipaksa mengibarkan bendera UMNO di sekolah? Tidakkah Yang Berhormat sendiri setuju bahawa politik sedemikian adalah politik jijik dan kotor? Mengapa pula Yang Berhormat ingin mengamalkan perangai yang tidak semenggah itu juga? Adakah kerana sakit hati pada pihak lawan? Kita mahu didik anak bangsa kita semacam apa sebenarnya?
Sekian banyaknya pejuang kemerdekaan yang dilupakan malah tidak pernah dikenang walau dalam satu baris nama mereka tertulis dalam buku teks! Kita ambil saja contoh Ibu Zain. Walau beliau sendiri pejuang kemerdekaan dari kelompok pemerintah yang dulu itu, adakah jasanya dikenang? Adakah anak-anak kita kenal pada seorang ibu dan guru yang memperjuangkan pendidikan seperti R.A. Kartini di Indonesia?
Apatah lagi kita hendak menyebut tentang Shamsiah Fakeh yang alirannya adalah dari gerakan kiri sehinggalah beliau masuk komunis. Yang Berhormat, sudah-sudahlah mengulangi perangai kerajaan lama, mengangkat golongan mereka melebih-lebih dan menyorokkan fakta sejarah jasa lawan mereka.
Sejarah, seharusnya tidak semata-mata berpaksikan doktrin politik. Bukankah sekarang Era Malaysia Baru? Sudah sampai masanya kita ubah buku teks Sejarah, angkat para seniman seperti P.Ramlee, sejarah budaya, sejarah yang kita semua rakyat Malaysia pernah bersatu-padu mengharumkan nama Negara seperti yang terpamer dalam filem Ola bola, dan seribu satu lagi sejarah yang menyemai cinta dan persaudaraan dalam Negara kita.
Sudah-sudahlah, Yang Berhormat.
Sejarah itu luas.
Jangan sempitkan dengan politik yang jijik.
Sekian.