Kebebasan bersuara merupakan satu komponen penting dalam pembinaan masyarakat. Hatta perlembagaan tertinggi negara juga ada memperuntukan tentang kebebasan bersuara iaitu dalam perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Saban hari, perdebatan di platform-platform sosial juga sudah semakin banyak dimana orang ramai galak menyuarakan pendapat masing-masing berkenaan bermacam-macam isu. Tapi dalam kita menggunakan kebebasan yang ada, ada satu lagi elemen penting dalam pembinaan masyarakat pula ditinggalkan iaitu keluhuran adab. Kadang-kadang dalam seronok kita berpendapat, kita lupa untuk menghormati orang lain.
Kerana merasakan suara kita penting, kita menghina dan menghentam orang yang tak sependapat dengan kita. Akhirnya matlamat kebebasan bersuara iaitu untuk mengembangkan idea dan mendemonstrasikan kebolehan sosial tidak diketengahkan bahkan mewujudkan perbalahan hanya disebabkan wujud perbezaan. Sedar ataupun tidak, sepatutnya perbezaanlah yang kita raikan. Terpanggil saya hari ini untuk berkongsi tentang cara-cara kita meraikan perbezaan.
Yang pertama, mengasingkan individu dan pendapatnya. Kata Saidina Ali, “dengar apa yang dikata, bukan lihat siapa yang berkata”. Segelintir daripada kita, suka untuk menggunakan isu peribadi untuk menjatuhkan pendapat orang. Contohnya isu Fynn Jamal. Ketika kenyataannya berkenaan isu rogol ditentang oleh warga internet, ada segelintir yang mengejek niqab yang dipakai bahkan menyifatkan beliau sebagai ekstrimis. Lagi menyedihkan, ada sebahagian yang mengungkit sejarah silam Fynn.
Soalannya, adakah isu peribadi seperti ini boleh menentukan nilai idea yang dibawa oleh Fynn? Jawapannya tidak. Walau manusia paling jahat sekalipun, dissat dia berkata benda yang baik, benda itu tetap baik. Sepatutnya, idea berhadapan dengan idea, barulah perbincangan atau perdebatan boleh berlangsung dengan professional, dan barulah ada ilmu-ilmu baru yang boleh diterokai dari kepelbagaian pendapat ini.
Kedua, mendengar untuk faham, bukan untuk menjawab. Makna kata, bersifat lapang dada dan cuba untuk hargai idea orang lain. Buya Hamka, seorang tokoh agama dan sastera Indonesia selalu berpesan untuk kita jauhi perasaan sombong kerana orang yang sombong ini dadanya tidak terbuka untuk ilmu. Ketika kita mendengar untuk faham, akal kita akan ikhlas dan jujur dalam memilih yang mana benar dan yang mana salah. Sebaliknya, orang yang mendengar untuk menjawab ini samalah seperi bola getah yang melantun. Apa saja yang diberi terus aja melantun dengan jawapan tanpa cuba untuk betul-betul fahamkan terlebih dahulu apakah isi dari idea orang yang berbeza pendapat dengannya dan sentiasa merasakan dirinya betul.
Yang terakhir, daripada perbezaan yang diangkat, carilah persamaan dan titik sepakat. Setelah kita selesai berhujah dan berdiskusi, cuba untuk simpulkan apakah intipati dari hasil perbincangan dan penyuaraan pendapat tadi. Dalam banyak-banyak aspek yang berbeza, cuba cipta kesimpulan yang mengimbangi kedua-dua aspek. Di situ barulah kita nampak indahnya berdebat.
Solihin Najmi
Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM)