Solidariti Plastik atau Konkrit
Muhd Arbin Bin Ambo Sakka
Aktivis IKRAM Siswa Sabah
Dari kaca mata seorang aktivis separuh masa sebagai sebuah cetusan pemikiran,
Kebelakangan ini, alam maya sering sahaja memaparkan begitu banyak isu-isu yang hangat dan menjadi tumpuan ramai. Isu-isu ini sama ada pada peringkat nasional, atau peringkat global. Terkini, kita digemparkan dengan isu serangan gas sarin terhadap penduduk di Idlib, Syria. Menurut laporan 83 orang terkorban dan 25 daripadanya adalah kanak-kanak (Muslim Volunteer Malaysia).
Ekoran daripada insiden itu, kita melihat begitu ramai individu-individu yang bangkit melahirkan rasa solidariti mereka. Begitu juga halnya dengan isu-isu yang lain seperti solidariti Palestin, Turki, Rohingya, RUU 355, mahasiswa kelaparan dan sebagainya. Namun begitu, ada satu persoalan yang perlu diajukan kepada diri masing-masing yang merasa begitu hebat memperjuangkan solidariti ini.
Apakah yang kita faham dari MAKNA SOLIDARITI sebenarnya?
Para pembaca yang budiman,
Solidariti bermaksud pecahan dari perkataan “solid” dan “unity” juga boleh diterjemahkan kepada perpaduan atau perjanjian perasaan atau tindakan, terutama di kalangan individu yang mempunyai minat yang sama; sokongan bersama dalam satu kumpulan.
Antara perkataan-perkataan yang sinonim dengan solidariti ialah: kesepakatan, perpaduan, seperti berfikiran, perjanjian, persetujuan, harmoni, konsensus, persetujuan, kerjasama, perpaduan, persaudaraan, saling menyokong.
Solidariti amat penting dalam kesatuan untuk menunjukkan kekuatan.
Tanpa solidariti, anda dan sesuatu kesatuan itu ibarat hidup hanya sekadar dalam kepompong masing-masing. Bahasa kasarnya adalah, lu hidup la sorang sorang.
Ada beberapa bentuk solidariti yang dapat saya nyatakan disini untuk anda nilai sendiri, sejauh mana solidariti kalian.
Ada yang dipanggil solidariti plastik. Kenapa? Individu ini hanya menunjukkan kesolidaritiannya untuk tujuan mendapat perhatian ramai semata-mata. Tidak pun ia sekadar mencapai Kadar Prestasi Indeks (KPI) persatuan ataupun organisasinya. Individu ini ingin dilihat seolah-olah merekalah yang paling berjasa dalam memperjuangkan hak-hak mereka yang tertindas. Ringkasnya, solidaritinya ini hanyalah lakonan semata yang mana akan berakhir dengan kekecewaan dan kecederaan emosi dan jiwa bila tidak mendapat sambutan ataupun pujian ramai.
Ada pula yang digelar solidariti buta. Apa itu solidariti buta? Mereka ini adalah individu yang mempunyai semangat solidariti yang setinggi langit, namun tak disertai dengan kefahaman yang jelas mengenai satu-satu isu. Kerjanya hanya copy and paste apa saja isu-isu yang dilihatnya ramai orang bangkitkan, dia pun ingin turut serta juga. Akhirnya, solidaritinya ini hanyalah ikut-ikutan sahaja dan menjadilah individu yang keliru. Bila ditanya mengenai sesuatu isu itu, tidak dapat dijawabnya padahal di media sosial begitu pantas menyebar berita.
Yang terakhir, solidariti konkrit atau solid. Yang dimaksudkan dengan solidariti jenis ini adalah selain daripada solidariti yang dinyatakan sebelumnya. Mereka ini memiliki solidariti yang bukan mengharapkan apa-apa ganjaran dan pengiktirafan daripada manusia. Bukan juga yang sekadar ikut-ikutan. Namun, mereka bersolidariti atas dasar sukarela dan bertindak atas kesedaran dan kefahaman mereka. Mereka tak ingin dan tak rela nasib masyarakat yang tertindas terbiar tanpa solusi. Mereka bertindak kerana tidak ingin menunggu adanya individu-individu yang bangkit, sebaliknya mereka ingin menjadi yang paling pertama.
Persoalannya, solidaritimu yang bagaimana?