Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bahawa rakyat Malaysia harus mengubah sikap mereka dengan lebih mengambil berat dan bersikap serius terhadap sesuatu pekerjaan, apatah lagi sekiranya rakyat Malaysia tidak mahu lagi berdepan dengan masalah kebanjiran tenaga pekerja asing yang dikatakan ‘merampas’ peluang pekerjaan rakyat tempatan.

Ketika ini, negara kita dikatakan tidak menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang mencukupi terutamanya apabila terdapat begitu ramai graduan universiti mahupun keluaran TVET yang masih menganggur. Sesetengah pihak menyatakan bahawa kebanyakan graduan bersikap terlalu memilih gaji yang tinggi meskipun di tahap permulaan. Di samping itu, kualiti pendidikan juga perlu diubah supaya mengikut kehendak pasaran pekerjaan.

Jika kita katakan bahawa rakyat Malaysia bersikap terlalu memilih pekerjaan yang selesa dan gaji yang besar, namun kita tidak boleh memukul rata bahawa semua rakyat Malaysia bersikap begitu. Mungkin benar bahawa ada segelintir rakyat Malaysia yang sanggup bekerja di ladang pertanian dan buah-buahan di negara luar seperti Australia, dengan gaji yang diberikan berjumlah sekitar RM3,000 – RM4,000 sebulan. Tidak kurang juga ada rakyat Malaysia yang menjadi buruh atau bekerja dalam pelbagai sektor berkemahiran rendah di Korea Selatan dengan gaji yang ditawarkan sebanyak RM2,000 untuk seminggu.

Justeru, dakwaan yang mengatakan rakyat Malaysia tidak mahu bekerja adalah kurang tepat, kerana kebanyakannya masih mempunyai keinginan untuk bekerja namun hanyalah sekiranya berlaku tawaran gaji yang tinggi.

Saya bersetuju dengan pendapat Tuan Fakhrurrazi Rashid yang juga merupakan Koordinator Program Research For Social Advancement yang mengatakan bahawa bagi menguruskan hal ini, justeru majikan dan industri perlu mempunyai kesanggupan untuk mengubah kadar gaji setiap pekerja.

Dari sudut yang lain pula, kita juga harus melihat semula kepada sikap rata-rata rakyat tempatan yang masih bersikap tidak serius terhadap sesuatu pekerjaan, khususnya pekerjaan yang melibatkan sektor berasaskan 3D – Difficult, Dirty, Dangerous. Rakyat tempatan seringkali menjadikan alasan kemasukan pekerja asing yang telah mengecilkan peluang pekerjaan terhadap mereka.

Namun, berbeza pula dengan pandangan yang dizahirkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang berkata bahawa sikap rakyat Malaysia yang tidak mahu bekerja serta terlalu memilih pekerjaan menyebabkan pekerja asing masih diterima masuk di negara ini. Justeru, PM mahu rakyat tempatan merebut peluang untuk mengelakkan kebanjiran pekerja asing terus berlaku.

Pandangan peribadi saya cenderung mengatakan bahawa gaji rakyat harus diubah menjelang beberapa tahun yang akan datang dalam usaha kita untuk mencapai taraf negara maju. Namun begitu dalam masa yang sama, sikap rakyat Malaysia juga perlu berubah iaitu dengan menjadi lebih serius terhadap sesuatu pekerjaan serta memiliki kesanggupan untuk bermula daripada bawah.

Jika kita sendiri tidak memiliki kesungguhan untuk bekerja, justeru adalah tidak adil jika kita persoalkan berapa banyak gaji yang ditawarkan. Ringkasnya, gaji dan sikap rakyat perlu berubah secara seiring untuk memastikan kelangsungan hidup yang lebih baik di masa yang akan datang.

SOFIYA TAMIZI
Nadi Mahasiswa Malaysia.

 

Leave a Reply