Terbaru, Dewan Rakyat telah meluluskan untuk dibuat pindaan terhadap had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dengan sokongan majoriti 211 ahli Parlimen.

Saya kira ia adalah suatu perubahan yang perlu kita semua sambut baik, seterusnya berhenti untuk terus berdebat atau mempertikaikan mengenai sisi baik atau buruknya penurunan had umur mengundi ini. Kerana yang perlu kita beri tumpuan sekarang adalah mengenai apakah usaha-usaha yang boleh kita lakukan untuk melihat bagaimana pindaan ini berupaya membawa perubahan kepada generasi muda khususnya.

Seandainya kita mampu melihat secara halus, kita semua pasti percaya terhadap perubahan yang sedang dibawakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Yang Amat Berhormat Syed Saddiq yang meyakini kuasa anak muda sebagai ejen perubahan masa depan negara, disamping menyediakan peluang untuk anak muda mengambil bahagian dalam menentukan hala tuju Malaysia.

Ada Apa Dengan Angka 18?

Yang jelas, 18 tahun bukanlah lagi kanak-kanak. Cuma barangkali mereka kekurangan sesuatu yang seharusnya dapat membentuk kematangan dan cara berfikir yang sebetulnya. Untuk melabel generasi muda yang berusia 18 tahun sebagai kelompok yang tidak matang adalah tidak tepat, kerana realitinya dapat kita perhatikan pada golongan muda dan belia lain yang berusia sekitar 21 tahun dan ke atas juga masih ada dalam kalangan mereka yang berfikiran tidak matang.

Bahkan masih ada segelintir daripada mereka yang tidak memahami asas-asas kenegaraan berbanding bagaimana generasi muda memahaminya. Justeru umur bukanlah segalanya, kerana umur hanya akan kekal sebagai angka yang tidak mewajarkan seseorang itu dinilai dari sudut berapa angka umur mereka.

Pada angka 18, hampir serata dunia mengisytiharkan umur tersebut sebagai kelompok yang boleh diberi kepercayaan terhadap pelbagai dasar dan polisi dalam negara. Pada umur 18 tahun, ia telah diterima sebagai konvensi untuk umur layak mengundi. Sebagai contoh, negara Indonesia meletakkan had umur mengundi serendah 17 tahun, diikuti negara jiran Myanmar iaitu 18 tahun. Begitu juga dengan Bosnia Herzegovina dengan had umur mengundinya adalah 18 tahun.

Lebih daripada itu, ada beberapa buah negara yang meletakkan had umur mengundi yang lebih rendah iaitu seawal 16 tahun, antaranya Brazil, Austria dan Argentina. Kita juga dapat melihat bagaimana negara-negara  yang maju boleh memberikan kepercayaan kepada generasi muda di negara mereka dengan menetapkan had umur mengundi 18 tahun seperti Amerika Syarikat, Jerman, Australia dan Jerman.

Pada angka 18, seseorang itu dilihat sebagai individu yang berada pada peringkat pertama sebelum bergelar belia dan dewasa. Pada angka 18 tahun, mereka sudah diberi keizinan untuk menandatangani sesuatu kontrak dan perjanjian, mereka boleh didakwa di mahkamah, serta diberi kepercayaan untuk mempunyai lesen malahan boleh berkahwin.

Pada angka 18 tahun ini, generasi muda seringkali dilihat sebagai generasi yang suka memberontak. Justeru sebagai anak muda, kami sangat percaya bahawa unsur-unsur ketidakadilan dan kebebalan dalam dunia politik dapat kami perangi dengan meletakkan sifat ‘pemberontakan’ pada jalan yang betul, serta barangkali dengan meluahkan kemarahan tersebut ke dalam peti undi kelak.

Cogan kata yang selalu dilaung-laungkan dengan lantangnya oleh kebanyakan orang; ‘Muda dan Melawan!’

Saya berpendapat bahawa kita semua boleh sama-sama bersetuju untuk mengatakan bahawa kebanyakan mentaliti masyarakat kita telah dimomokkan dengan kata-kata yang mengandungi konotasi negatif terhadap generasi muda khususnya mereka yang dalam lingkungan 18 tahun.

Justeru, siapa lagi yang akan terus langkah untuk mengubah mentaliti sedia ada ini jikalau bukan kita sebagai kelompok yang menyedari hakikat ini? 18 years old is more than an age. It is actually just a number. Berkata Buya Hamka: “Semangat yang besar kerana cita-cita yang besar, tidaklah bergantung hanya kepada umur.”

Ke Manakah Hala Tuju Malaysia Selepas Ini?

Satu perubahan telah kita cetuskan, yakni dengan meminda had umur mengundi kepada 18 tahun. Persoalannya, apakah pula perubahan seterusnya yang akan dibuat bagi dijadikan sokongan terhadap perubahan langkah pertama yang telah kita putuskan itu?

Secara umumnya, pendidikan negara haruslah menyediakan pembelajaran berasaskan kewargaan (atau kenegaraan) bermula seawal peringkat pengajian rendah misalnya sekolah. Skop pembelajaran sedia ada dalam subjek Pendidikan Sivik barangkali perlu dilihat semula jikalau ada penambahbaikan yang boleh dilakukan.

Mengambil contoh Indonesia; dimana sistem pendidikan mereka menyediakan Citizenship Education kepada pelajar-pelajar bermula dari peringkat sekolah dasar kelas tiga. Ini bermakna pelajar di Indonesia mula didedahkan dengan skop pembelajaran sebegini seawal usia 10 tahun. Malahan, pendidikan kewarganegaraan tersebut dijadikan sebagai kurikulum wajib di Indonesia.

Perbezaan ini saya kira agak ketara (menurut pengalaman saya sendiri) jika dibandingkan dengan negara kita, dimana Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan seringkali ‘dianak-tirikan’. Guru-guru dan pelajar tidaklah begitu serius dalam pembelajaran ini, atas alasan ia tidak menjadi subjek wajib dalam peperiksaan umum seperti UPSR, PT3 mahupun SPM.

Justeru, apa yang perlu kerajaan lakukan adalah dengan memulakan usaha-usaha untuk mewujudkan silibus pembelajaran yang berkaitan dengan asas-asas kenegaraan, pendidikan politik dan demokrasi untuk memastikan generasi muda pada ketika mereka mencapai umur 18 tahun sudah menjadi pengundi yang memahami peranan dan tanggungjawab sebenar mereka misalnya dalam konteks pilihanraya dan pemilihan pemimpin.

Hal ini turut disokong oleh ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyudin Hassan yang mencadangkan supaya silibus pendidikan sebegini diwujudkan dalam institusi-institusi pendidikan negara Malaysia.

Rakyat Malaysia haruslah memberikan kerjasama dan bersifat terbuka agar kita mampu menjadi tulang belakang yang membantu pihak kerajaan untuk merealisasikan cadangan seperti ini agar diberi ruang untuk mengimplimentasikan perkara ini kepada semua institusi pendidikan negara.

Membuat penambahbaikan semula sistem pendidikan dengan menyediakan silibus pengajian berasaskan pendidikan kenegaraan ini adalah penting sebagai langkah pertama meningkatkan kefahaman serta keterlibatan politik dalam kalangan generasi muda. Justeru, perkara paling mustahak untuk dilaksanakan buat masa ini adalah dengan meneliti semula silibus sedia ada kerana tanpa pembelajaran tersebut, maka tidak akan suburlah kefahaman generasi muda terhadap aspek kenegaraan.

Pemurnian Matlamat

Ingin ditegaskan di sini, bahawa matlamat asal kita menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun ini bukanlah bertujuan untuk semata-mata mencapai standard umur mengundi sepertimana kebanyakan negara-negara lain. Bukanlah juga untuk memandang sinis tehadap kepimpinan ‘orang tua’ meskipun gerakan kita sering dikawal oleh mereka.

Paling utama; matlamat asalnya bukanlah untuk mengajak mereka menyertai parti politik. Tetapi kita mahu melahirkan anak muda yang memahami serta cakna hal-hal kenegaraan. Apabila berbicara tentang politik, lapangan yang kita ada bukanlah semata-mata dengan menyertai parti politik, malahan lebih daripada itu.

Kerana matlamat asal kita adalah untuk membawa perubahan yang lebih baik kepada negara, dengan memberikan ruang dan peluang kepada generasi muda untuk beraksi dan menyumbang. Kita mahu melahirkan insan yang lebih menghayati kenegaraan, mengembalikan keunggulan anak muda sebagai kelompok yang berani, menyuburkan kefahaman terhadap isu-isu berkenaan siyasah, disamping mempersiapkan mereka dengan senjata idealisme dan kepimpinan.

Kerana kita mahu hala tuju negara kita selepas ini menjadi lebih terpandu.

SOFIYA TAMIZI
Nadi Mahasiswa Malaysia.

Leave a Reply