Menjadi kanak-kanak adalah sentiasa mencuba bermacam jenis permainan. Menjadi kanak-kanak bererti akan selalu tersenyum girang bergelak ketawa dan tidak dibebani dengan sebarang masalah. Menjadi kanak-kanak juga bermaksud membiarkan mereka meneroka dunia secara pelahan-lahan, namun dengan adanya bimbingan dan panduan. Menjadi kanak-kanak adalah dengan mendidik mereka untuk menjadi insan yang mendengar tutur kata orang dewasa, tetapi masih memberikan ruang untuk mereka bergerak dengan sendirinya.

Justeru, kanak-kanak haruslah dibiarkan membesar dalam suasana persekitaran yang betul, untuk memastikan proses pembesaran kanak-kanak sehingga mereka menjadi ‘kanak-kanak normal’.

Sekitar seminggu yang lepas, saya berkesempatan untuk melawat sebuah keluarga di sekitar kawasan kampung yang saya kira agak pedalaman dan jauh daripada hiruk-pikuk bandar, bahkan tiada juga berdekatan dengannya pusat membeli belah yang berdiri mewah dan gah. Sebaliknya kawasan tersebut hanyalah dipenuhi dengan rumah-rumah kampung serta pasar-pasar kecil. Ala-ala kampung, bak kata orang.

Setibanya di sebuah rumah, terdapat seorang nenek tua yang sudah uzur. Badannya membongkok, wajahnya dihiasi dengan kedutan tanda ketuaan, tangannya sedikit menggeletar, dan langkahnya perlahan sekali. Di rumah tersebut, nenek tua itu tinggal bersama cucu-cucunya seramai 5 orang. Cucu sulungnya yang kelihatan membesar sebagai seorang gadis, baru sahaja berumur 11 tahun. Ketika bertandang ke rumah tersebut, saya perhatikan gadis itu sedang asyik dengan pelajarannya. Sekejap dengan bukunya, sekejap lagi harus bergegas apabila namanya dipanggil oleh si adik yang minta dibuatkan susu, yang lain pula merengek mahu buang air.

Nenek tua pula sibuk bekerja di dapur, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memasak bagi memastikan cucu-cucunya mendapat kepeluan makan dan minum yang secukupnya. Sementara menunggu segala kerja sampingan yang lain selesai, saya mendekati cucu sulung tadi dan memulakan perbualan dengan bertanyakan soalan-soalan ringkas seperti belajar di tahun berapa, bersekolah di mana, dan seumpamanya.

Setelah beliau kelihatan mula merasa selesa dengan kehadiran saya, terus saya manfaatkan waktu itu dengan bertanyakan perihal kedua ibu bapanya. Beliau menceritakan, ibunya pada ketika itu masih berada di hospital kerana baru sahaja selamat melahirkan seorang bayi baru, iaitu merangkap anak yang ke-enam. Sementara ayahnya, entah kemana pergi ayahnya tidak beliau ketahui.

Apabila ditanya kali yang kedua dan seterusnya, beliau sekadar berkata; “Ayah ada di rumah.” Kemudian saya ajukan lagi pertanyaan demi pertanyaan kerana rasa ingin tahu saya pada ketika itu yang sangat menebal. Apa yang boleh saya katakan daripada cerita anak gadis tadi ialah; beliau sebenarnya dibebani dengan komitmen yang bukanlah tanggungjawab sebenar beliau di kala usia kanak-kanak sebegitu.

Saya berpendapat disini bahawa ada perbezaan yang perlu kita faham antara mengajar dan mendidik anak kecil supaya berdikari (1), dan menyerahkan atau ‘memaksa’ anak kecil melakukan tugas-tugas berat umpama menggantikan peranan sebenar sebagai seorang ibu dan ayah (2).

Berkesempatan tidur semalaman bersama anak-anak kecil ini, serta merasai pengalaman berbuka puasa dan sahur bersama, saya kira adalah satu pengalaman manis, kerana bersama mereka tidak ubah rasanya seperti bersama-sama dengan ahli keluarga. Iya, kami juga sebuah keluarga kecil yang bersaudara. Justeru adakah wajar kita membiarkan saudara kita yang lain bergelut dengan kesusahan secara sendirian tanpa kita datang dan menghulurkan tangan untuk membantu dan memberi?

Keesokan paginya setelah selesai bersahur, saya duduk berehat sebentar di ruang tamu rumah sementara menunggu azan Subuh berkumandang. Kanak-kanak kecil yang lain ada yang kembali menyambung tidur, ada yang sedang bermain. Saya tercari-cari di mana kakak sulung mereka berada. Ketika saya berjalan ke arah dapur, saya ternampak si kakak sedang menggosok baju sekolah.

Terkejut! Bertimbun baju-baju yang perlu digosok. Barangkali stok baju untuk seminggu, begitulah sangkaan saya. Kemudian terbit di hati ini rasa simpati. Apabila mengenangkan kembali cerita demi cerita anak gadis itu berkenaan rutin sehari-harinya, saya merasakan itu adalah tidak adil. Beliau masih ada seorang ayah, namun mengapa ayahnya meninggalkan mereka adik-beradik di rumah nenek, sedangkan ayah mereka ada sahaja di rumah, malahan tidak juga bekerja.

Bagi saya, menyuruh seorang anak kecil mahupun yang sedang membesar melakukan kerja-kerja rumah bukanlah satu kesalahan atau sesuatu yang tidak perlu. Bukan begitu. Malahan saya sangat bersetuju dengan tindakan segelintir ibu bapa yang mendidik dan membiasakan anak-anak mereka melakukan kerja-kerja rumah sejak kecil. Namun, ‘mengerahkan’ kesemua kerja supaya dilakukan oleh mereka adalah sesuatu yang agak keterlaluan, kerana mereka masih kanak-kanak. Dan setiap kanak-kanak memiliki hak untuk hidup sebagai seorang kanak-kanak.

 

Hak bagi setiap kanak-kanak bukanlah semata-mata hak untuk mendapatkan pendidikan secara formal mahupun tidak formal, tetapi hak bagi kanak-kanak antaranya adalah hak untuk bermain, hak untuk meneroka secara bebas namun terkawal, dengan bantuan dan tunjuk ajar orang dewasa. Kanak-kanak berhak untuk mendapatkan hak mereka seperti bermain, bergelak ketawa dan sebagainya. Ringkasannya; kanak-kanak perlu membesar dengan suasana girang dan bahagia, tanpa dibebani dengan tugas dan komitmen yang bukanlah tanggungjawab sebenar mereka sebagai seorang kanak-kanak.

Mengapa pentingnya kita menitikberatkan hak-hak kanak-kanak tersebut? Ia sememangnya penting, kerana dengan menjaga hak-hak mereka maka kita akan dapat memastikan mereka membesar dengan persekitaran yang sihat dan membina, dan kita berupaya melihat proses pembesaran mereka hanyalah disertai dengan hal-hal yang membantu tumbesaran minda dan psikologi mereka dengan baik.

Justeru, sekiranya sedari kecil kanak-kanak dibebankan dengan komitmen dan tugasan orang lain, maka mereka akan mengalami fasa pembesaran yang kurang baik, menjadikan psikologi mereka berlainan daripada kanak-kanak yang hidup girang bergelak ketawa. Kanak-kanak yang tidak merasai zaman menjadi kanak-kanak dengan erti yang sebenar, berpotensi untuk kelak membesar menjadi individu yang memberontak dek kerana timbul rasa kurang kasih sayang serta rasa serba kekurangan.

Oleh itu, siapakah lagi yang berperanan untuk membentuk psikologi sihat dan terpandu bagi seorang kanak-kanak sekiranya bukan kita? Selain daripada ibu bapa dan keluarga, kita juga tidak seharusnya meletakkan kebergantungan kepada guru atau pihak sekolah untuk menyalurkan sesi kaunseling sebagai bantuan. Sebaliknya, golongan masyarakat seperti kita perlulah tampil ke hadapan untuk membuat pembentukan semula corak-corak psikologi kanak-kanak agar menjadi sesuatu yang lebih baik dan terpandu.

Tanpa kita sedar, dunia bukan sekadar menindas golongan kanak-kanak dengan cara menghalang mereka daripada mendapat pendidikan sepertimana yang berlaku di Syria, Palestin mahupun yang pernah terjadi di Pakistan pada suatu ketika dahulu apabila serangan Taliban mengharamkan kanak-kanak untuk terus bersekolah.

Dunia bukan sekadar menindas kanak-kanak dengan mengerahkan mereka bekerja sebagai buruh seperti yang terjadi di India mahupun di negara-negara dunia ketiga.

Dunia bukan sekadar menindas kanak-kanak dengan menyediakan hiburan yang melampau dan mempengaruhi minda dan budaya mereka.

Dunia bukan sekadar menindas kanak-kanak dengan tragedi yang sangat menakutkan sepertimana wujudnya kes-kes penculikan, perdagangan kanak-kanak, rogol serta cabul dan sebagainya.

Tapi tanpa sedar, dunia, malahan individu terdekat sendiri menindas kanak-kanak dari sudut psikologi mereka, menjadikan kanak-kanak yang tertindas ini melihat dunia dari kaca mata yang berbeza, malahan mungkin dari pelbagai konotasi negatif. Tanpa kita sedar, yang menyebabkan kanak-kanak menjadi pasif barangkali datang daripada sikap kita sendiri. Tanpa kita sedar, yang membuatkan kanak-kanak terhumban ke dalam kancah yang menyesatkan apabila meningkat usianya, mungkin juga disebabkan oleh ketidakprihatinan kita, mahupun orang-orang yang terdekat dengan mereka.

Let the children play. Let them smile and saying yes to family, friends, school and fun. Don’t let them work because it’s not their rights.

Kita semua ada dua pilihan.

Satu. Membantu mengatasi penindasan ke atas kanak-kanak dengan pelbagai cara dan inisiatif.

Atau dua. Membiarkan mereka membesar sehingga kelak memimpin dunia dengan bentuk-bentuk pemberontakan (rebel) hasil kehidupan yang ditempuhi ketika menjadi kanak-kanak dahulu yang dipenuhi dengan benih-benih kebencian dan kebebalan

SOFIYA TAMIZI
Nadi Mahasiswa Malaysia.

Leave a Reply