Susulan isu Tik Tok yang timbul daripada satu kontes yang telah dianjurkan antara YB Menteri Pengajian Tinggi (KPT), YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad bersama beberapa orang yang bergelar ‘social influencer’, maka wajar kita persoalkan tindakan beliau yang dilihat seperti ‘mencabar’ kredibiliti orang muda terutamanya dalam kalangan mahasiswa. Adakah aspirasi KPT hanya sekadar itu, iaitu untuk memperkenalkan sosok yang tidak setara dengan nilai intelektual mahasiswa?
Pendekatan itu dilihat bagus, cuma barangkali tidak sepatutnya melalui aplikasi ‘murahan’ seperti Tik Tok. Mungkin ada yang berpendapat bahawa justeru kita lah yang berperanan untuk mengubah normalisasi terhadap Tik Tok serta menjadikan persepsi masyarakat terhadap Tik Tok menjadi lebih positif. Sepertimana umum mengetahui, perumpamaan terhadap aplikasi tersebut umpama 2T – Tik Tok dan Terkinja-kinja. Walaupun Tik Tok semakin melonjak popular, tetapi saya tetap berpendirian bahawa ia cenderung kepada unsur nilai yang negatif.
Justeru apakah kerelevenan YB Menteri Pengajian Tinggi menganjurkan kontes melalui platform seperti Tik Tok? Kita memahami bahawa barangkali YB Menteri sedang berusaha mendekati golongan muda dan mahasiswa dengan menonjolkan diri sebagai Menteri yang ‘moden’ dan mudah didekati, tetapi harus kita bezakan antara kredibiliti dan ‘gurau senda’.
Saya melihat tidak ada kewajaran terhadap galakan yang ditujukan kepada golongan mahasiswa untuk menyahut seruan penyertaan terhadap kontes ini, malah adalah lebih memalukan sekiranya masyarakat luar melihat sosok mahasiswa penuntut ilmu kelihatan terkinja-kinja melalui aplikasi seperti Tik Tok.
Kita tidak menafikan bahawa ada segelintir pengguna aplikasi Tik Tok menggunakannya kepada sesuatu yang memberi manfaat. Tetapi malangnya perkara tersebut tidak berlaku di negara Malaysia kita. Kebanyakan daripada content creator di negara kita cenderung menggunakan Tik Tok dengan tujuan tidak berfaedah serta aksi terkinja-kinja yang nyata memalukan.
Daripada dilihat menyeru golongan mahasiswa untuk ‘menjual diri’, adalah lebih molek sekiranya YB Menteri tampilkan sesuatu yang jauh lebih baik dan lebih bermaruah – supaya kredibiliti seorang Menteri Pengajian Tinggi dan mahasiswa tidak memakan diri sendiri pada akhirnya. Segelintir golongan mahasiswa cenderung berpandangan bahawa anjuran tersebut umpama menyalahgunakan ‘student power‘ pada saluran yang tidak tepat seperti Tik Tok.
A Minister should at least, encourage and approach students in proper-educated ways. Not from Tik Tok.
Ada sumber menyatakan bahawa aspek rekabentuk aplikasi Tik Tok itu sendiri menjadikan ia cenderung kepada nilai ketagihan yang bertentangan dengan fungsi pembelajaran. Malahan tidak pernah sekalipun aplikasi tersebut dilihat bermanfaat kepada pengguna mahupun orang awam dari segi proses ilmu dan pembelajaran.
Dalam sepuluh keburukan, kita percaya ada sekurangnya satu kebaikan. Namun begitu, bagi konteks aplikasi Tik Tok ini, kita harus berpendirian bahawa satu manfaat daripadanya sama sekali tidak membatalkan sepuluh mudhorat yang lainnya.
Bukan sahaja tidak bermanfaat, malahan penggunaan aplikasi sebegini turut mengikis nilai seorang mahasiswa, bahkan juga berupaya menghakis sifat malu dalam kalangan generasi muda. Bukanlah niat kita mengajak orang ramai supaya menjadi golongan luddite yang anti pada teknologi, cuma kita harus bijak membezakan antara perkara manfaat yang menyenangkan atau perkara mudhorat yang memalukan.
Apalah salahnya jika kita memilih untuk meninggalkan mudhorat yang kecil demi menjauhkan diri daripada mudhorat yang lebih besar?
Atau barangkali, anjuran kontes tersebut oleh YB Menteri sebenarnya bertujuan untuk mengalihkan sebentar pandangan kita terhadap isu berkaitan persoalan dan nasib kebajikan mahasiswa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini?
SOFIYA TAMIZI,
Mahasiswi UiTM Shah Alam,
Nadi Mahasiswa Malaysia.
Baca juga :
1. Irsyad Al Fatwa Siri ke – 472; Hukum Bermain Tik Tok :
https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4380-irsyad-al-fatwa-siri-ke-472-hukum-bermain-tiktok
2. Pandangan Hasrizal Jamil – Kisah Tik Tok dan Atok :
http://saifulislam.com/2020/04/kisah-tik-tok-dan-atok/