Wali
Ditulis oleh,
Skarlet D’
Adakah kau mendengar rintihan kalbuku,
Bertahun tersiksa menagih kasihmu,
Dalam aku bercelaru mengharap simpatimu,
Aku juga tahu seribu tahun pun belum tentu.
.
Adakah kau mendengar jeritan halusku,
Memanggil namamu saat aku buntu,
Aku rindu pelukan jasadmu yang dahulu,
Memegang erat tangan kecilku.
.
Apakah kau mengerti sepiku,
Persoalanku acapkali tiada titik henti,
Lukaku berbaki benci yang tidak punya erti,
Apakah kau akan mengerti bisik deritaku.
.
Adakah kau akan kembali ke pangkuanku,
Walau acapkali menghantar pesan rindu,
Apakah haram bagiku menagih simpatimu,
Sedangkan kau berdarjat wali walau terputus nadiku.
.
Adakah kau sudah lupa,
Aku juga manusia yang mudah terluka,
Dalam sekelip mata kau berubah laku,
Kerana aku dan ibu cuma orang asing bagimu.
Aku membisu kerana dalamnya lautan derita,
Berenang aku dalam air mata kecewa,
Diriku sudah lama hanyut dalam pulau sepi,
Meraih kasih pada yang tidak lagi sudi.
.
Apa mungkin aku akan terus sendiri,
Merawat dendam dan air mata,
Memerah keringat demi memancarkan cahaya bahagia,
Walau aku di sini bagai jasad yang telah mati.
.
Takkan lagi aku memanggil engkau wali,
Jika roh sudah terpisah dari jasad dan bumi,
Takkan lagi aku merintih kepemergianmu wali,
Kerana diri ini sudah sebati dengan dendam dan benci.