KUALA LUMPUR 13 April – Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan gerakan Siswa BN yang akan memain peranan sebagai jentera bagi membantu parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kira-kira 2,000 mahasiswa universiti awam, swasta dari dalam dan luar negara hadir ke majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Penaung Siswa BN, Datuk Seri Razali Ibrahim ketika ditemui selepas majlis pelancaran menjelaskan bahawa penyertaan secara sukarela mahasiswa untuk membantu jentera parti menolak gambaran kononnya golongan itu menentang BN.

“Hari ini mereka sendiri gelar Siswa BN atas keyakinan dan mahu bertugas membantu jentera parti. Tugas saya sebagai penyelaras untuk memberi garis panduan kerana mereka membawa nama BN.

“Jadi, mereka bertanggungjawab menjaga tingkah laku yang sudah tentunya akan menjadi perhatian sepanjang pilihan raya umum selain bagaimana mahu menyalurkan maklumat yang tepat kepada pengundi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

By Editor

Leave a Reply