Berita dan desas-desus Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) Malaysia bergema di mana-mana sama ada di media massa, media sosial, lebih-lebih lagi di alam nyata. Perubahan corak politik semasa sedikit sebanyak memberikan kejutan budaya kepada rakyat Malaysia. Daripada dua blok (pembangkang dan kerajaan), landskap politik Malaysia telah menjadi lebih daripada dua hala sahaja. Situasi ini dipanggil sebagai “Politik Dinamik”.
Keadaan ini telah menyebabkan sebahagian daripada rakyat Malaysia – mahasiswa terutamanya menjadi semakin muak dengan permainan pentas politik negara. Namun, tidak kurang juga golongan yang berusaha lebih banyak untuk mengkaji dasar perjuangan parti-parti politik yang ada untuk mereka pilih dalam pilihanraya umum akan datang.
Sebenarnya, situasi sebegini ada buruk dan baiknya. Contoh sisi buruknya ialah; menimbulkan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia, menyebabkan pecah undi dan mengelirukan banyak pihak.
Walau bagaimanapun, bagi penulis sendiri, penulis lebih suka sisi baik politik dinamik ini kerana ia telah menyebabkan rakyat Malaysia belajar dan mengkaji dasar parti-parti politik yang ada dengan lebih mendalam dan teliti, membuka minda rakyat Malaysia dan mahasiswa terutamanya, menjadikan rakyat Malaysia lebih berhati-hati dalam menilai dan mendorong mereka untuk mengupas isu dengan menggunakan ilmu dan fakta, bukan dengan semangat yang membabi buta. Seandainya semua rakyat mempunyai sikap yang sama, pastilah perpecahan dapat dikurangkan sekaligus dapat memilih pemimpin yang benar-benar baik untuk negara ini.
Dalam PRU14 ini, kebanyakan mahasiswa di Malaysia merupakan pengundi pertama. Oleh itu, terus ikuti kami untuk perkongsian dari masa ke semasa berkenaan PRU14 ini.
Bangunlah mahasiswa! Masa depan negara di tangan anda. Tingkatkan ilmu dan hindarkan persepsi. Anda mampu mengubahnya!
Fatinul Husni
Speaker Sinergi Mahasiswa