KALAH DI SEMUA SALURAN PENGUNDI MUDA : KERAJAAN WAJIB TUNAI JANJI MANIFESTO UNTUK ANAK MUDA!
17 Oktober 2019
Kekalahan dengan majoriti 15000 undi kepada Barisan Nasional adalah satu titik memalukan dalam sejarah demokrasi Malaysia. Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihanraya Umum Ke-14 kerana rakyat yakin dengan kesungguhan PH untuk membawa perubahan dan reformasi. Tetapi setelah menjadi kerajaan, PH hanyut di dalam siri bulan madu yang mengasyikkan. Kekalahan di saluran 4 dan 5 (Saluran Pengundi Muda) di semua 30 Pusat Pengundian Tg. Piai baik di kawasan majoriti Melayu dan Cina kerana anak muda mula mual dengan polisi kerajaan yang tidak menguntungkan mereka dan janji manifesto yang tidak ditunaikan.
Manifesto Pakatan Harapan yang ditulis untuk membantu rakyat dahulu kerajaan tangguh dan abaikan. Janji untuk menyediakan peluang pekerjaan hanya tinggal janji. Lebih parah, janji pembayaran balik PTPTN setelah peminjam bergaji RM4000 ‘ditunaikan’ dengan hanya pemohonan maaf Pengerusi PTPTN yang baharu Wan Saiful Wan Jan. Alasan diberi kerana bebanan hutang kerajaan dahulu. Ironinya beliau adalah salah seorang yang menggubal Manifesto Pakatan Harapan untuk PRU 14. Akibatnya graduan masih dipaksa lagi menanggung kadar interest pinjaman PTPTN. Peluang pekerjaan masih tiada dan ekonomi yang mandul memaksa para graduan mengambil upah Gig Economy dengan membawa Grab, Foodpanda dan kerja lain yang tidak setimpal bayaran dengan kelulusan, lebih kurang sama dengan zaman BN. Disebalik segala alasan tentang ekonomi kewangan negara, wajib disedari anak muda lebih teruk dihimpit dengan masalah kewangan peribadi dan tiada peluang pekerjaan dalam ekonomi negara yang mandul kini.
Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq tidak perlu meminta maaf atas kekalahan PH di Tg. Piai, sebaliknya cermin diri dengan polisi-polisi yang tidak membantu anak muda. Selaku menteri yang mendabik dada membawa suara anak muda, beliau tidak wajar memekakkan telinga dari rungutan anak muda yang masih tiada peluang pekerjaan, janji gaji minima RM 1500 yang masih tidak dilaksana dan graduan yang masih menanggung hutang bunga PTPTN. Keutamaan wajib diberi pada kebajikan anak muda, bukan hanya langkah populis seperti sukan e-sport yang tak bagi anak muda makan.
Kerajaan wajib muhasabah dan menyemak semula polisi-polisi yang membelakangi permintaan rakyat. Menteri wajib sedar kemenangan PH adalah kerana saluran-saluran pengundi muda yang berani menongkah arus mengundi PH kerana keyakinan PH mampu membaiki taraf hidup dan ekonomi Negara. Jika kerajaan masih lagi dalam denial syndrome menyalahkan kerajaan dahulu dan termakan retorik isu kaum agama mainan pembangkang, sampai bila-bila agenda reformasi tak terlaksana.
Ingat pepatah lama Melayu ‘ Lembu Berpegang Pada Tali, Manusia Berpegang Pada Janji’.
Shahrul Nizam,
Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia,
Ketua Biro Mahasiswa AMK Malaysia,
Ketua Biro Mahasiswa AMK Wilayah Persekutuan,
Timbalan Ketua AMK Malaysia.