Kebangkitan mahasiswa Islamis berputik pada awal tahun 1970an tetapi mula mengubah lensa pergerakan mahasiswa pada awal 1980an. Bermula awal tahun 1990an, GMI mula mendominasi politik kampus hampir di setiap universiti di Malaysia.

Walaupun menghadapi pelbagai sekatan, Gerakan Mahasiswa Islam di Malaysia terus berkembang. Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) diwujudkan pada pertengahan tahun 1950an melalui Syed Muhamad Naquib al Attas, pelajar Islam di Universiti Malaya, Singapura. Peranan PMIUM mula menonjol dan rancak apabila Universti Malaya berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur.

Pada tahun 1960, PMIUM di bawah pimpinan Hussein Ahmad berjaya mendapatkan tanah untuk Masjid Ar-Rahman yang telah dibina pada tahun 1963. Pada tahun 1962, PMIUM bergabung di bawah PKPIM dengan menubuhkan Badan al Rahmaniah atau Badan Dakwah dan Kebajikan Islam SeMalaysia. Sebelum terlaksananya AUKU, PMIUM adalah badan pelajar berautonomi dan tak bernaung di bawah PMUM.

Syed Naquib

Pada tahun 1964, Syed Naquib menjadi pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu. Kepulangan Syed Naquib merancakkan lagi kegiatan PMIUM apabila beliau cuba menyerap idea ‘faham Islam’ ke dalam pemikiran pelajar.

Syed Naquib semasa menjadi pensyarah di UM dilihat sebagai mentor kepada pelajar Islamis kerana setelah kuliah ramai pelajar Islamis berkumpul di pejabat atau rumahnya. Beliau juga merupakan antara tokoh utama mempengaruhi ABIM-PKPIM.

PMIUM cuba melahirkan mahasiswa yang memahami al Quran dan Sunnah yang melaksanakan prinsip Islam dan menyatukan persaudaraan Islam. Pejuangan PMIUM tersebar melalui makalah seperti Suara PMIUM dan Jurnal Sejahtera.

PMIUM adalah pertubuhan pelajar pertama beraliran Islamis di negara ini yang ditubuhkan dengan kaedah yang teratur dan diakui mewakili masyarakat pelajar Islam di kampus terulung negara, Universiti Malaya.

Pada 27 Jun 1961, ditubuhkan pula Persekutuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu dan ditukar kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam (PKPIM) pada tahun 1963. Sebelum terjelmanya AUKU, PKPIM memayungi persatuan-persatuan pelajar Islam di setiap institusi pendidikan tetapi peranan ini mula terhakis selepas AUKU 1975 mewajibkan persatuan berbentuk gabungan nasional dan dianggotai persatuan mahasiswa universiti tempatan perlu dibubarkan. Semua persatuan mahasiswa perlu berada di bawah kawalan universiti yang dikenali sebagai Hal Ehwal Pelajar [HEP].

PKPIM bernasib baik diberi peluang untuk bernafas berbanding rakan-rakan gabungan peringkat nasional seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia [PKPM, ditubuh pada 15 Mac 1958] dan Persatuan Pelajar Asia (ASA) yang telah dimansuh. Aspirasi PKPIM dilanjutkan ke luar kampus dengan penubuhan ABIM pada Muktamar PKPIM ke 10 pada tahun 1971.

Menariknya, PMIUM bukanlah satu kuasa politik yang mendominasi politik kampus sebagaimana Kelab Sosialis semasa zaman keagungan gerakan mahasiswa pada awal dan pertengahan tahun 1970an. PMIUM pada ketika itu bersifat Nasionalis-Islamis yang berjuang untuk kepentingan Islam dan bangsa Melayu termasuk isu bahasa dan kemiskinan.

Kewujudan golongan Nasionalis-Islamis ini mestilah dibuktikan dengan komitmen yang tegas termasuk pelaksanaan Islam sepenuhnya serta mengamalkan amal Islami secara bersungguh-sungguh.

Oleh sebab itu, PMIUM cuba menghalang upacara kemaksiatan di Universiti Malaya seperti majlis ball night dan unsur judi dalam pestaria. Keadaan ini mengakibatkan PMIUM ditohmah dengan pelbagai gelaran termasuk fanatik, antisosial, perkauman, jumud dan taklid buta.

Perjuangan Islam PMIUM tidak serasi dengan aktiviti PMUM yang bercorak kebudayaan sehingga berlaku ‘perang dingin’ di antara PMIUM dengan PMUM. Oleh sebab itu, PMIUM disingkir daripada AJK Orientasi sesi 1975/76 dan hanya diterima semula pada sesi 1977/78 tetapi pada sesi 1978/79 sekali lagi PMIUM disingkirkan. Keadaan ini mendorong PMIUM mengubah corak perjuangan dengan memasuki politik kampus.

Cubaan pertama PMIUM untuk memenuhi cita-cita siasah dengan meletakkan calon mereka dalam pilihan raya kampus. Pada tahun 1977, PMIUM meletakkan calon mereka iaitu Sidek Baba, Syed Muhamad Dawilah al Idrus, Nasaruddin Abdul Jalil dan Naharuddin Abdullah. Namun, hanya Sidek Baba dan Naharuddin Abdullah yang berjaya memenangi kerusi MPP.

Pada pilihan raya sesi 1979/80, PMIUM memenangi 10 kerusi tetapi gagal memperolehi majoriti 2/3. Antara calon PMIUM adalah Redzuan Othman di fakulti Sastera dan Yazid Othman bagi kerusi umum.

ISA selepas tahun 1974 julung kalinya digunakan kepada pimpinan GMI selepas demonstrasi anti konsert Sheila Majid. Polis menangkap dua EXCO PMIUM bersama 22 orang pelajar yang lain semasa mereka bertahlil. Mereka telah diikat jamin dengan 3 penjamin dan bersyarat. Pada 15 September 1989, pelajar yang ditahan dipanggil untuk disoal siasat di Balai Polis Jalan Pantai.

Dalam soal siasat ini, dua pimpinan PMIUM, Jamali Adnan dan Jamaluddin Ramli telah dikenakan tahanan ISA. Turut ditahan adalah Pengarang Harakah, Ahmad Lufti Othman, bekas Setiausaha Agung PMUTM. Pada 26 September 1989, PMIUM menghantar wakil berjumpa dengan Menteri Pendidikan, Anwar Ibrahim dan Anwar sendiri berjanji akan menyelesaikan masalah ini. Pada 27 September 1989, PMIUM menghantar wakil bertemu Dato NC, Syed Hussein al Alatas atas alasan hukuman yang dikenakan tak relevan dengan status mereka sebagai mahasiswa. Contoh, Alias Sulaiman daripada Fakulti Ekonomi dikenakan RM1,000 dan Jalal Busri disingkir daripada kolej dan didenda RM350.

Selepas era reformasi, pimpinan pelajar dari PMUM sesi 2001/2002 iaitu Mohd Fuad Mohd Ikhwan dikenakan tahanan ISA setelah beberapa hari makan tengah hari bersama Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohammad. Fuad Ikhwan dikenakan tahanan ISA pada tahun 2001 kerana terlibat dalam beberapa demonstrasi haram, penerbitan Majalah Varsiti palsu dan pembakaran DTC.

Maklumat daripada artikel ini diambil dan disunting daripada Blog Mahasiswa Mengunggat.

By Editor

Leave a Reply