Sekitar Mahasiswa dan Buku: Peranan Intelektual

Farahani R.

Kita sudah penat mencerna kenyataan bahawa mahasiswa benci buku. Malah, para pemimpin mahasiswa dan masyarakat sudah kering tekak menghala kepada perbincangan yang sama: “Mahasiswa benci buku!”, “Masyarakat benci buku!”. Dan saya sendiri sudah muak membicarakan hal yang sama; marilah sayangi buku! Marilah mencintai membaca! Namun kemuakan dan kekeringan tekak ini seharusnya terjadi, dan sewajarnya terjadi, kemudian telah terjadi khususnya kepada saya. Kerana tanpa kemuakan dan kekeringan tekak ini, saya tidak dapat turun ke minda masyarakat yang dikatakan si pembenci buku dan mengarap apa sebenarnya yang kurang. Salah satu sisi yang ramai intelektual terlupa, ialah mengenai mereka sendiri.

Masyarakat dan Mahasiswa

Pertama sekali, kita harus menyedari hakikat sebenar tentang siapa itu masyarakat, dan kalangan mahasiswa yang mana untuk dibicarakan. Saya tinggalkan segala macam interpretasi, definisi ilmiah bukan kerana tidak perlu tapi kerana kita mampu mentafsirnya menuruti lensa dan iklim pendapat kita. Masyarakat mana yang kita bicarakan? Masyarakat yang tidak pernah memegang buku? Masyarakat yang gagal membaca? Masyarakat yang kurang kadar literasinya? Masyarakat apa sebenarnya yang mengisi ruangan masyarakat Malaysia? Mahasiswa yang mana, dan siapa itu mahasiswa?

Masyarakat ini saya kira semua jelas, terangkum dalam kepelbagaian orientasi bacaan kegemaran. Tetapi ramai para intelektual luar sana jarang menghargai variasi bacaan kegemaran yang ada, jauh lagi berhenti sejenak untuk memikirkan sejauh mana kritikan itu telah menjatuhkan semangat orang-orang yang baharu saja terfikir untuk menjinakkan mata menatap buku-buku di rak perpustakaan dan kedai buku yang besar.

scholarship61

Masyarakat yang saya katakan ini terlibat dalam semua peringkat. Daripada kanak-kanak comel yang baharu merangkak dan menghafal ABC, sehingga si rambut uban yang merenung tepi tingkap; masing-masing ada kegemaran sendiri. Jika si tua sukakan cerita Disney, biarkan! Jika si kanak-kanak comel ingin membaca karya Adam Smith, biarkan! Jika nelayan ingin membaca Wiji Thukul, biarkan! Jika petani ingin membaca Marx, biarkan! Jika kanak-kanak di hujung dunia Malaysia mahu mengenal buku, ajarkan!

Saya sendiri selalu membaca slide pembentangan bapa saya mengenai budaya korporat semasa saya baru berumur 5-6 tahun, meskipun saya sendiri tidak faham apa yang saya baca. Sekurang-kurangnya saya membaca, bukan? Tentulah, tidak memahami apa yang saya baca mungkin seolah suatu jenayah bagi sesetengah intelektual. Begitulah lumrah membaca, tidak semua bahan perlu dihadam secepat mungkin. Membaca merupakan amalan yang luas dan bebas tanpa peraturan- seharusnya begitulah.

Namun lain pula kata sebilangan para intelektual di luar sana yang lebih rajin mengirim kritikan masyarakat, daripada benar-benar membawa masyarakat mendekati buku. Kita harus sedar, bukan semua jenis ‘kritikan’ boleh diharap menjadi bahan ‘psikologi songsang’, atau dijadikan alasan untuk menjadi alat bahasa terbalik. Malah, kritikan ini pernah menjatuhkan ramai kenalan saya, sehingga mereka bertanya kepada saya; ‘untuk apa membaca?’ Ah, tidak perlu begitu jauh, saya sendiri pernah berada di kotak persoalan yang sama.

Saya cuma dapat merenung mereka, kerana jujurnya, atas kepelbagaian inilah kita harus punyai semangat dan matlamat tersendiri (sebaiknya peribadi) untuk menjawab soalan tersebut. Para intelektual ini harus bertanggungjawab atas apa yang dikatakannya, termasuklah kesan negatif yang mungkin tercipta dari kritikan mereka.

Perkara ini juga melanda para mahasiswa khususnya yang kurang didedahkan mengenai kepelbagaian buku yang ada. Menurut pengalaman saya sendiri, ramai sekali kenalan dan keluarga saya yang sememangnya mempunyai keinginan untuk mencari suatu haluan pendidikan dan perkembangan diri tetapi tidak tahu bagaimana. Sebahagian pula tahu dan mahu menjalankan tugas mereka sebagai penjana idea, tetapi tidak tahu bagaimana. Sebahagian lagi sedar bahawa perjalanan mereka di universiti akan lebih mudah dan bermakna dengan buku, tetapi tidak tahu atau malas kerana persepsi negatif.

aktivis-mahasiswa-58482be95593732009e07bbd

Sebenarnya, kebanyakan mahasiswa bukannya benci buku; mereka tidak tahu apa mereka mahu baca. Mereka tidak tahu apa yang mereka minat untuk tahu. Memetik Steve Jobs; mereka tidak tahu apa yang mereka mahu sampailah mereka diperlihatkan sesuatu. Walaupun konteks Jobs lebih terarah kepada pelanggan, tetapi saya rasa ia terpakai dalam perbincangan kita. Oleh disebabkan itu, kita terhutang budi juga dengan strategi dan tenaga yang diwarnakan oleh pakar ilustrasi dalam cover atau dust jacket sesebuah buku kerana tanpa mereka, kita mungkin tidak tergerak hati untuk membaca sesetengah buku tersebut.

Sebagai intelektual, adakah sememangnya tugas kita untuk diam, meringkuk dalam rumah dan mengkritik masyarakat sepertimana watak Razman dalam karya A.Samad Said, Salina atau kita turun ke masyarakat untuk mendedahkan dan memperkaya nilai membaca? Mulakan dari sahabat dan rakan, dan pimpinlah mereka menuju genre kesukaan mereka, bukan kesukaan anda. Usaha ini diibaratkan sebagai eksperimen trial and error, kerana ia memerlukan banyak sumber dan tenaga hanya untuk memilih bahan bacaan sahaja.

By Editor

Leave a Reply