Oleh; Farahani R.

Buku di Malaysia semua ‘sampah’

Begitulah pandangan seorang dua penulis yang mengkritik industri buku di Malaysia. Saya juga memikirkan perkara yang sama sampailah sahabat saya menafikan kenyataan tersebut. Beliau kata, “tiada buku yang sampah”. Dan malangnya, beliau benar. Tiada buku yang sebenarnya sampah; ya, termasuklah buku bergambar si artis ini dan itu.

Untuk para intelektual yang sudah biasa dengan nama-nama tokoh besar seperti Tolstoy, Kafka, Sartre, Machiavelli, Plutarch, Marx, Kahlil Gibran, Jalaluddin Rumi; ini bukanlah lesen untuk anda menulis dan membedah karya-karya mereka dengan menyisihkan sesiapa yang tidak memahami atau tidak pernah terfikir untuk membaca karya mereka.

Sebilangan intelektual kita, secara kasarnya, bongkak dengan ilmu mereka. Malah, saya tidak menolak jika sebilangan intelektual bongkak inilah yang telah mengkritik masyarakat dan mahasiswa dengan gelaran ‘tidak membaca’ hanya kerana para mahasiswa ini tidak mengenali tokoh dan karyanya. Malah, saya tidak dapat menolak kemungkinan bahawa sebilangan intelektual ini jugalah yang mengisytiharkan kebanyakan buku yang dipasarkan di Malaysia adalah sampah.

Saya mengakui, saya pernah terjebak dengan kejadian yang memalukan ini. Saya mengira diri saya sudah lebih ‘cendikiawan’ daripada mahasiswa lain kerana saya mengenali nama-nama ini. Namun adilkah saya, mahupun para intelektual bongkak ini, menjatuhkan mahasiswa yang tidak mengenali mereka dan mengecam sejumlah buku ‘sampah’ yang ada?

Kecaman yang kita lakukan kepada industri buku tidak membantu, sebenarnya. Malah, ia hanya membantutkan perkembangan industri kita dengan secara tidak langsung kerana kita enggan menyumbang sesuatu kepada industri buku kita, mahupun dengan membeli buku-buku penulis lokal.

Buatlah syarikat penerbitan kecil, atau pasarkanlah karya anda sendiri; demi mengurangkan sejumlah buku ‘sampah’ yang anda katakan terdahulu. Terlalu banyak syarikat penerbitan kecil yang dibina oleh orang tempatan yang lebih memerlukan bantuan dan perhatian berbanding mengkritik syarikat penerbitan besar yang secara jelasnya hanya memenuhi citarasa sebahagian pembaca sasaran. Kapitalisme bukan anutan yang dipaksakan kepada semua orang, jadi jika anda melihat syarikat gigantuar penerbitan ini hanya rakus membodohkan masyarakat, lawanlah kembali dengan memasarkan idea anda pula.

Tambah lagi, kita harus menerima bahawa ‘sampah orang lain, ialah harta orang lain.’ Jika kita tidak suka genre tersebut, simpanlah kritikan tersebut untuk diri sendiri dan tiada salahnya bagi orang lain untuk mendakap bacaan genre tersebut.

Lagi, kalaupun ada yang mengkritik bahan bacaan kita, terimalah hujah mereka sebagai suatu ulasan buku yang membina sisi yang lain. Saya sendiri pernah berbincang mengenai sifat objektif-subjektif seni dengan seseorang di laman Twitter, dimana beliau berhujah bahawa karya A. Samad Said adalah overrated.

Saya tidak membakar telefon saya mahupun mengelar pendapatnya ‘sampah’ selepas itu. Saya terima dengan hati yang terbuka, walaupun saya tertanya kenapa. Limitasi aksara 140 patah perkataan mengganggu niat saya untuk bertanya lebih lanjut, lagipun perbincangannya hanya terhenti separuh jalan kerana pemilik akaun Twitter tersebut menyifatkan isu subjektiviti dan objektiviti seni seperti memutuskannya sebagai hitam atau putih.

Bacaan sotong-sotong, sampah atau hadiah?

Novel Melayu En. Sotong mungkin memberi nilai pengetahuan yang lain dari membaca buku Pride and Prejudice, samalah seperti membaca buku anti-Freemason dan membaca buku pro-Freemason. Masing-masing, bagi pembaca tegar bahan bacaan ini, menggelar bahan satu sama lain sebagai ‘sampah’.

Satu lagi revelasi yang memalukan dari saya, ialah sebelum ini, saya menolak buku-buku terbitan Malaysia kerana berpendapat buku bahasa Melayu tidak memberi input yang agung sepertimana saya dapati dalam karya falsafah Barat. Saya silap, dan saya kena akui perkara tersebut selepas saya membaca buku terbitan DuBook semasa mereka masih lagi dalam skala sederhana. Saya gelarkan bahan Melayu sebagai ‘sampah’, dan hari ini, saya menjilat kembali ludah saya.

Saya turut menggelarkan novel fiksyen sebagai sampah, sebelum saya membaca novel Fixi yang memaparkan sisi kreativiti yang agak satirikal dan butiran yang menggerunkan atau sebelum saya membuka helaian buku bergenre fiksyen sejarah seperti The Ancient Ship oleh Zhang Wei, The Flowers of War oleh Geling Yan atau Manuscript of Accra oleh Paulo Coelho.

Menjadi penulis yang baik ialah melakukan kajian yang menyeluruh sebelum menulis sesuatu, dan mencampurkan kreativiti dan ramuan lain untuk memberi perisa romantik, utopia, distopia dan sebagainya. Maka, menggelar buku En.Sotong, En. Cawan Mencari Piring atau Cik Jam Mencari Jarumnya sebagai sampah bukanlah cara yang baik untuk memperluas sempadan bacaan mereka. Perkenalkan mereka dengan buku yang mungkin mengandungi ciri-ciri novel En.Sotong tersebut. Siapa tahu, esok lusa mereka mungkin sudah membaca Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck oleh Hamka.

By Editor

Leave a Reply