Gerakan mahasiswa merupakan gerakan yang dipelopori segolongan anak muda yang menuntut di universiti. Gerakan pelajar muncul apabila ketidakadilan sosial yang berlaku dalam masyarakat termasuk tribulasi dalaman yang dilakukan oleh penguasa universiti.
Akibat tekanan, mahasiswa mengambil langkah drastik untuk menonjolkan protes mereka melalui demonstrasi jalanan. Mahasiswa mempunyai falsafah perjuangan yang tersendiri berasaskan kesedaran dan kepekaan dalam permasalahan politik dan isu massa negara.
Menurut Mohamad Abu Bakar, falsafah perjuangan mahasiswa adalah manifestasi dari status mereka sebagai pelajar universiti, fungsi mereka sebagai rakyat yang sudah dewasa dan situasi mereka sebagai kumpulan individu yang seringkali terdedah kepada dunia semasa.
Elemen ini telah memberi kesan kepada kehidupan mereka dalam masyarakat khususnya di kampus. Oleh itu, pengaruh kemanusiaan ini mewujudkan aspirasi mahasiswa bagi menegakkan gagasan keadilan, kebenaran, dan kebebasan.
Gagasan yang didokong oleh gerakan mahasiswa ini diperjuangkan melalui proses interaksi gerakan mahasiswa dengan kerajaan dan penguasa universiti melalui medium diplomasi dan kekerasan.
Tindakan cuai kerajaan dan penguasa universiti telah memberi alasan kepada gerakan mahasiswa mengambil langkah kekerasan seperti berdemonstrasi. Tindakan demonstrasi dilabelkan sebagai golongan kiri yang cuba menumbangkan kerajaan.
Gerakan mahasiswa dilabel beraliran kiri ini cukup penting dalam proses pembinaan sesebuah negara. Menurut Lipset, pelajar merupakan elemen penting dalam revolusi Jerman dan Austria pada tahun 1848 dan aktivis mahasiswa dilihat sebagai ‘Professors Parliament’ dalam usaha menumbangkan rejim monarki.
Gambaran ini menjelaskan gerakan mahasiswa berperanan sebagai jurubicara masyarakat dan sedia menegak kepentingan masyarakat.
Gerakan mahasiswa bermula seiring dengan perkembangan pendidikan di negara ini. Pada tahun 1816, sekolah pertama dibina oleh British iaitu Penang Free School. Pada tahun 1937, dunia pendidikan Tanah Melayu dikejutkan kelulusan pertama graduan Melayu dalam Senior Cambridge – Abdul Wahab Mohd. Ariff. Beliau telah dianugerah Penang Free School Centenary Gold Medal pada tahun 1938 atas kecemerlangan pertama anak Melayu.
Kejayaan Abdul Wahab mendorong rakan-rakan mendesak beliau memberi nasihat agar mereka turut cemerlang. Hasilnya Abdul Wahab menubuhkan pertubuhan pertama pelajar Melayu iaitu Malay Boys League yang bertujuan melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang tetapi terpaksa dibubar kerana larangan pengetua.
Semasa menuntut di Singapura, Abdul Wahab telah menjadi Presiden Mahasiswa Islam Kolej Raffles dan Perubatan Singapura iaitu sebuah pertubuhan Melayu Islam. Pertubuhan pelajar Melayu penting bagi menyatukan pelajar Melayu.
Jumlah pelajar yang kecil menyebabkan Abdul Wahab menyeru agar pelajar Melayu bersatu demi pelajaran. Persatuan Mahasiswa Islam Kolej di Singapura juga mendesak agar kerajaan menubuhkan Majlis Pelajaran Tinggi yang diletakkan di bawah penyeliaan seorang pegawai Melayu sebagai Ketua Pengarah Pendidikan.
Pada bulan April 1946, Aminuddin Baki seorang pelajar menengah atas Sekolah Anderson, Ipoh menubuhkan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI). Pada bulan Ogos 1947 PERMI cawangan Perak ditubuhkan. Perkembangan gerakan pelajar semakin pesat dengan penubuhan Kesatuan Persuratan Penuntut Melayu Selangor(KPPMS) pada tahun 1946 dan Kesatuan Penuntut Melayu Pahang pada tahun 1947.
Kesatuan Penuntut Melayu berkembang pesat pada tahun 1949 dengan penubuhan cawangan di negeri seperti Kelantan, Negeri Sembilan, Kedah, Melaka dan Johor. Abdul Wahab telah mengetuai Jawatankuasa Persiapan Kongres Pelajar bagi menyatukan seluruh gerakan pelajar di Malaya.
Kongres Pelajar Melayu berlangsung di Maktab Teknik, Kuala Lumpur pada 14 dan 15 Ogos 1949. Pertubuhan yang hadir dalam kongres ini adalah Persatuan Penuntut-penuntut Muslim Maktab Teknik, PERMI (Perak), Persatuan Penuntut Melayu (Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Kajang) dan Persatuan Penuntut-penuntut Melayu Maktab Tanam-tanaman.
Mereka membincangkan permasalahan pelajar Melayu dan bagaimana untuk bekerjasama. Pada jam 12 tengah hari, 15 Ogos 1949, kongres bersetuju menubuhkan Gabungan Penuntut-penuntut Melayu Semenanjung(GPMS) yang diketuai oleh Abdul Wahab. Apabila Universiti Malaya ditubuhkan di Singapura, GPMS mendesak agar Dr. G.V. Allen sebagai Naib Canselor kerana beliau bersimpati dengan orang Melayu.
Tampuk pimpinan GPMS dikuasai oleh pelajar Universiti Malaya seperti Lokman Musa, Musa Hitam dan Abdullah Ahmad Badawi.
Kewujudan kampus Universiti Malaya di Kuala Lumpur telah mengalakkan perkembangan gerakan pelajar. Sebenarnya banyak persatuan yang telah ditubuhkan tetapi penulis menumpukan kepada persatuan yang berpengaruh di Universiti Malaya iaitu PMUM, PBMUM dan PMIUM.
Semua pelajar di Universiti Malaya bernaung di bawah PMUM atau UMSU mula ditubuh pada 1 Januari 1962 seiring dengan hari penubuhan Universiti Malaya yang ditubuh di bawah Akta Universiti Malaya. Maka Persatuan Mahasiswa yang ditubuh pada 15 Januari 1959 telah berakhir pada penghujung 1961.
Tujuan PMUM ialah memupuk kebajikan am badan mahasiswa, memajukan kegiatan sosial, kebudayaan dan mengadakan hubungan rasmi dengan badan lain. PMUM adalah badan pelajar yang diberikan kuasa untuk mewakili mahasiswa dalam semua perkara yang menyentuh kepentingan mahasiswa. PMUM diakui sebagai suara rasmi pelajar oleh pihak Universiti Malaya. PMUM adalah pertubuhan yang lantang bersuara memperjuangkan isu kampus, antarabangsa dan nasional.
PMUM mempunyai kuasa menjalinkan hubungan rasmi dengan badan pelajar yang lain sama ada di dalam atau di luar negara. PMUM menyertai Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) yang merupakan wakil badan pelajar Malaysia dalam arena antarabangsa.
PKPM telah ditubuhkan pada tahun 1958 dengan nama National Union of Federation Student(PKPPTM) dan ditukar nama kepada PKPM pada tahun 1962. PKPM yang didominasi oleh tokoh PMUM juga bergabung di bawah International Student’ Council yang berpusat di London dan menyambut 17 November setiap tahun sebagai Hari Pelajar Antarabangsa.
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM) diwujudkan pada pertengahan tahun 1950an hasil inisiatif Syed Muhamad Naquib al Attas, seorang pelajar Islam di Universiti Malaya, Singapura. Walaubagaimanapun, peranan PMIUM mula menonjol dan rancak apabila Universti Malaya berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur.
Pada tahun 1960, PMIUM di bawah pimpinan Hussein Ahmad berjaya mendapat tanah untuk Masjid ar-Rahman yang dibina pada tahun 1963. Pada tahun 1962, PMIUM bergabung di bawah PKPIM dengan menubuhkan Badan al Rahmaniah atau Badan Dakwah dan Kebajikan Islam SeMalaysia.
Artikel ini diambil dan disunting daripada artikel asal GERAKAN MAHASISWA DI UNIVERSITI MALAYA 1970-1986, tulisan Mohamad Ridhwan Bin Alias.