Salam sejahtera dan salam persaudaraan. Buat semua siswa dan siswi yang Berjaya melanjutkan pelajaran ke bidang Information Technology dan Sains Komputer, selamat datang saya ucapkan. Sebagai salah seorang pelajar Sains Komputer, saya ingin berkongsi sedikit tips dan pengalaman semasa menceburi bidang ini.

Mungkin ada yang benar-benar minat dengan pengaturcaraan dan mungkin ada yang mendapat tawaran ke bidang ini kerana nasib dan takdir yang telah ditetapkan oleh Tuhan dan sistem UPU. Apa-apa pun, saya ucapkan tahniah buat anda semua.

Sebagai seorang yang memasuki bidang ini tanpa sebarang asas pengaturcaraan, saya akui pengalaman ini agak mencabar kerana berbekalkan pengetahuan dari program asasi/matrikulasi tidaklah mencukupi. Kita perlu bersungguh-sungguh untuk mendalami bidang ini, khususnya pada era Revolusi Industri 4.0 ini. Saya ada beberapa tips asas untuk anda, dan saya berharap ianya bermanfaat.

 

Manfaatkan Google Drive

                Menjadi seorang mahasiswa, sudah menjadi lumrah kita akan mempunyai banyak tugasan atau assignment berkumpulan. Ketahuilah, Sains Komputer bukan semata-mata menaip kod pengaturcaraan di komputer, tapi anda juga akan berhadapan dengan begitu banyak laporan, khususnya software report! Haha!

Jadi, manfaatkanlah Google Drive sepanjang pengajian anda, lebih-lebih lagi kalau anda perlu buat ‘report’ secara berkumpulan. Zaman buat report asing-asing kemudian ketua kumpulan akan susun dan gabungkan sudah berlalu. Gunakan Google Docs! Dan anda dapat lihat siapakah ahli kumpulan yang tak guna dan tak buat kerja serta menyusahkan orang! Haha~

Selain itu, kelebihan Google Drive ialah anda boleh akses dokumen di mana-mana saja. Tidak ada lagi alasan ‘pendrive hilang’, ‘komputer kena virus’, ‘CD calar tak boleh play’… Eh, ada lagi ke orang pakai CD simpan fail zaman sekarang?

 

Selalulah Bertanya pada Encik Google

Jika anda tak tahu nak buat itu dan ini, taiplah di Google. Terdapat begitu banyak forum-forum di Internet yang dapat membantu anda dalam membina program atau menulis pengaturcaraan. Misalnya, laman web Stack Overflow sangat membantu buat programmer yang ingin bertanya soalan atau menghadapi masalah dalam pengaturcaraan.

 

Aktifkan Diri Menyertai Aktiviti di Luar Kampus (Hackathon, Bootcamp, Forum Teknologi, dll)

Ya, menumpukan perhatian kepada pelajaran adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh semua siswa dan siswi. Tapi, alam universiti bukanlah semata-mata untuk meraih ijazah sahaja. Buat siswa dan siswi dalam bidang teknologi, khususnya Sains Komputer, kita mesti selalu mengintai ke luar pagar universiti. Terdapat begitu banyak pertandingan ‘hackathon’ yang menawarkan hadiah lumayan!

Gambar: Contoh Iklan Hackthon di Group FB ‘Hackathon Kaki’

                Selain itu, sertailah ‘bootcamp’ yang dianjurkan oleh pihak luar. Misalnya, di Malaysia kita ada institusi seperti Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST) yang menganjurkan pelbagai jenis ‘bootcamp’ setiap tahun.  Selain itu, syarikat seperti Microsoft juga mengadakan bootcamp untuk mempromosi servis mereka seperti Global Azure Bootcamp.

Poster The Great Lab Summer Bootcamp 2017 yang dianjurkan oleh CREST

Poster Global Azure Bootcamp yang dianjurkan di Pulau Pinang

 

Di samping menyertai Hackathon dan Bootcamp, siswa dan siswi juga digalakkan untuk menyertai forum-forum teknologi, perkongsian, programmer meet-up event untuk meluaskan lagi jaringan kenalan anda dalam industri.  Misalnya, di peringkat negeri Pulau Pinang, pernah diadakan forum Bandar Pintar yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Penang Youth Development Council (PYDC). Di acara seperti inilah, kita dapat mengetahui perkembangan semasa dalam bidang ini. Dan kebanyakan perkongsian dari program seperti ini tidak dapat diakses melalui internet.

Poster Forum Bandar Pintar Pulau Pinang

 

Program Day of Code yang dianjurkan oleh Microsoft dengan kerjasama Women Who Code KL

 

Eratkan Pertalian Persaudaraan

Gambar: Suasana di dalam makmal semasa sesi pembelajaran di Pusat Pengajian Sains Komputer Universiti Sains Malaysia

                Akhir sekali, selamat berkenalan dengan senior dan juga pensyarah anda. Eratkan persaudaraan sesama rakan sebaya, senior, pensyarah dan staf-staf di fakulti anda. Hidup di kampus hanyalah sesingkat 3-4 tahun saja. Berkongsilah skill dan ilmu bersama rakan-rakan anda. Perkara yang tidak akan berkurang kalau anda berkongsi ialah ilmu. Manfaatkanlah masa anda dan ciptalah memori yang indah.

Selamat Maju Jaya!

Leave a Reply