Ucapan selamat maju jaya ini khas aku nukilankan kepada semua komrad Suara Mahasiswa UMS khususnya kepada Presiden baharu, Timbalan Presiden baharu dan para Jurucakap. Tulisan ini adalah hasil nukilan ikhlas yang datang dari lubuk hatiku sendiri sebagai seorang yang bakal meninggalkan alam universiti dan akan bergelar mantan mahasiswa. Tulisan ini bertujuan untuk menunjukkan solidariti aku kepada komrad Suara Mahasiswa yang akan memulakan pesta demokrasi pada hari ini di kampus iaitu Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar atau lebih mesra dipanggil sebagai Pilihan Raya Kampus, dan tulisan ini juga menyelitkan beberapa nasihat untuk komrad-komrad sekalian.

Pada PRK kali ini aku ingin menyatakan bahawa aku bersolidariti penuh bersama para komrad Suara Mahasiswa UMS yang akan bertanding. Selamat dan maju jaya! Ucapan maaf aku dahulukan kerana tidak dapat bersama dalam pesta demokrasi kali ini. Yakin dan percayalah, demokrasi itu belum mati, jika sudah mati, kita sebagai mahasiswalah berfungsi untuk melawan dan menghidupkan kembali roh-roh demokrasi itu. Selamat berpesta teman-teman.

Selain itu, sebagai seorang sahabat yang sentiasa percaya dan mendokong pergerakan serta aksi yang dilakukan oleh para komrad Suara Mahasiswa UMS, di sini ada beberapa nasihat yang ingin disampaikan walaupun aku tahu aku tidak layak untuk memberikan nasihat kepada kalian. Pertama sekali, melalui kata-kata keramat “Dari Mahasiswa Kepada Mahasiswa, Dari Mahasiswa Untuk Rakyat Malaysia.” itu sendiri. Semoga kalian menjadikan kata-kata itu sesuatu yang sangat besar dalam aksi yang kalian lakukan. Kata-kata itu nampak sebagai remeh, tetapi jika diteladani, maksud daripada kata-kata itu sangatlah membumi dan besar.

Mahasiswa, siapa lagi yang ingin bersama mahasiswa jika bukan mahasiswa itu sendiri? Jadi, mahasiswa haruslah berjuang bersama-sama dalam menjaga hak dan tanggungjawab mahasiswa itu sendiri. Mahasiswa itu sendirilah yang akan menjadi tulang belakang, tangan dan kaki kepada mahasiswa yang lain jika terdapat mahasiswa dibutakan haknya atau sedang berdepan dengan masalah. Mahasiswa itu sendirilah yang seharusnya memperjuangkan kebajikan sesama mahasiswa kerana hanya mahasiswa sahaja yang kenal pahit manis ‘mahasiswa’. Oleh itu, sentiasalah hadir sebagai ‘mahasiswa kepada mahasiswa’.

Mahasiswa untuk masyarakat. Tidak ada pesanan yang panjang kepada kalian jika mengenai masyarakat. Hanya meminta untuk terus dan teruslah sebaris bersama masyarakat, membunyikan semboyan untuk masyarakat dan sentiasalah membumi kepada masyarakat walau apa pun alasannya. Tiada perjuangan yang manis semanis berjuang bersama-sama rakyat, bertangis tawa bersama rakyat dan berdingin panas bersama rakyat, percayalah. Mahasiswa, lahirlah diri kalian sebagai seorang ‘mahasiswa untuk rakyat’ negara ini, khususnya rakyat negeri ini.

Keduanya, nasihat aku, mahasiswa seperti kita, berprinsiplah bahawa jawatan bukan segalanya atau tolaklah dakyah yang  menyatakan bahawa hanya mempunyai jawatan sahaja barulah kalian mampu beraksi kerana itu dongengan semata. Cukuplah sekadar percaya untuk memegang jawatan yang dinobatkan bersama di dalam organisasi. Kalian juga haruslah mengambil serius jika berorganisasi. Jagalah hati sesama ahli organisasi. Berkeluargalah sesama sendiri dan elakan rasa tidak senang hati sesama ahli atas perkara remeh temeh. Sayangi komrad anda. Jika terdapat masalah-masalah yang jauh sekali menyimpang daripada masyarakat, tunduk minta maaf dan salahkanlah diri sendiri.

Seterusnya, kepada komrad Suara Mahasiswa UMS, teruskanlah menyuburkan budaya intelektual di dalam kampus. Jangan pernah penat untuk mewujudkan program-program intelektual. Sesungguhnya, itulah peranan mahasiswa, mengimarahkan lagi suasana berkasih sayang kepada ilmu. Mahasiswalah golongan yang seharusnya menyiram benih-benih cinta ilmu dan pendidikan di universiti supaya ianya mampu tumbuh menghijaukan diri mahasiswa itu sendiri serta masyarakat di luar sana.

Akhir sekali, aku ingin menyatakan sekali lagi, aku tidak layak untuk memberi nasihat kepada para komrad Suara Mahasiswa UMS tetapi dengan rendah hati, aku ingin berpesan kepada para komrad tercinta, jadilah mahasiswa sebenar-benarnya yang memegang definisi mahasiswa itu. Sentiasalah terus subur dan ke hadapan dalam langkah-langkah mendepani mahasiswa itu sendiri dan rakyat tanah ini. Berkeramatlah di alam universiti selama masih bergelar sebagai mahasiswa dan SELAMAT MAJU JAYA KOMRAD SEKALIAN.

By Editor

Leave a Reply