Sinar Harian – REVOLUSI perindustrian bermula di Great Britain. Kebanyakan inovasi teknologi awal berasal dari British. Perkembangan perdagangan dan kebangkitan perniagaan merupakan penyebab utama berlakunya revolusi perindustrian.
Jadi, sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, kita mempunyai tanggungjawab yang cukup besar dalam mencorak dan menentukan acuan yang sesuai untuk rakyat Malaysia.
Namun begitu, persoalannya adakah Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) sesuai diguna pakai di Malaysia? Tidak dinafikan bahawa Industri 4.0 mempunyai pelbagai kebaikan. Sungguhpun begitu, banyak perkara perlu dinilai sebelum diaplikasikannya di negara kita.
Industri 4.0 lebih menekankan penggunaan data secara globalisasi yang mana wujudnya penggunaan telefon mudah alih bertaraf “super”, pembinaan robot-robot bijak, pemanduan kereta secara kendiri, teknologi neuro-teknologi otak dan pembaikian genetik.
Perkara ini memberi tekanan kepada graduan kerana ia sedikit sebanyak mengambil alih peranan manusia pada masa kini sehingga menguburkan peluang pekerjaan. Penglibatan manusia dalam perindustrian akan menjadi semakin mengecil atau juga berkemungkinan akan terus pupus dengan adanya penggunaan robot.
Justeru, adakah kita mahu melihat peningkatan pengangguran graduan terus menerus mengambil tempat sehingga tiada kesudahan?
Menurut statistik terbaharu yang dikeluarkan oleh Perangkaan Utama Tenaga Buruh Malaysia pada Januari 2016 menunjukkan kadar pengangguran tidak berubah sebanyak 3.4 peratus bagi Januari 2016 dan Disember 2015. Perbandingan dari tahun ke tahun menunjukkan kadar pengangguran semakin meningkat sebanyak 0.3 peratus.
Peningkatan seumpama ini adalah jumlah yang besar bagi sesebuah negara dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.
Pengarah Pusat Kerjaya Universiti Teknologi Malaysia (UTMCC), Prof Madya Dr Othman Ibrahim dalam satu kenyataan di laman web UTM Newshub berkata kewujudan IPT khasnya institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara secara amnya bagi menghasilkan modal insan yang berkualiti bagi mengisi kekosongan tenaga kerja pada masa hadapan.
Mahasiswa haruslah berubah mengikut arus perubahan terkini. Kita tidak mampu menyekat atau mengawal perkembangan teknologi yang wujud pada abad ini, tetapi kita mampu bersaing dan berusaha menyiapkan diri untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan. Mahasiswa perlu menilai dan menggali cari apakah kemahiran yang perlu ada sebagai persiapan dalam menghadapi revolusi yang semakin berkembang.
Antara langkah yang perlu ada untuk mendepani Industri 4.0 ini adalah mahasiswa perlu kritis dan inovatif dalam menghasilkan sesuatu. Ini kerana, sesuatu mesin tidak boleh berfikir seiring dengan pemikiran insan.
Bolehkah kita menginsankan sebuah mesin? Sudah semestinya tidak. Di sini menunjukkan betapa pentingnya peranan manusia untuk menyelesaikan sebarang masalah yang akan berlaku. Jika sebuah mesin bertindak dalam menyelesaikan masalah maka nilai kemanusiaan akan hilang.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak dalam majalah Sains.Com berkata soal-soal kemanusiaan seperti keprihatinan, keadilan, kesejagatan ditolak sebelah kerana ia tidak wujud dalam dunia kebendaan, sebuah dunia tanpa ‘roh’ atau ‘hati nurani’.
Selain itu, mahasiswa haruslah kreatif dan sentiasa berfikir di luar kotak. Mahasiswa perlu berani dalam mengemukakan cadangan serta mengambil risiko. Elemen ini penting untuk mendepani Revolusi Industri Keempat yang menekankan aspek pembuatan pintar.
Oleh itu, mahasiswa perlu mempelajari ilmu dengan lebih mendalam dan mempraktikkan hasil pembelajaran dengan sebaiknya. Mempelajari ilmu bukan semata-mata untuk mendapatkan sijil malah mahasiswa perlu meneroka ilmu dengan lebih mendalam dari segenap aspek.
Rebutlah peluang menimba ilmu pada usia muda dan manfaatkan peluang sepanjang tempoh bergelar mahasiswa agar kelak menjadi insan yang berguna.
* Penulis penuntut Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi dengan Kepujian Universiti Sains Islam Malaysia