Republican UKM ingin menyampaikan kepada semua mahasiswa betapa pentingnya ekosistem kolej bukan sahaja di UKM malah di universiti awam yang lain.
[PERANAN INSTITUSI KOLEJ KEDIAMAN DALAM KEMELUT KEBOLEHPASARAN MAHASISWA UKM]
1. “74.02 peratus graduan UKM (Ijazah Pertama) tahun 2018 memperolehi pendapatan bawah RM2500 sebulan – Bicara Naib Canselor 2019.”
Kita seringkali digembar-gemburkan dengan berita kehebatan penyelidikan dan kedudukan UKM dalam ranking universiti terbaik Malaysia mahupun dunia. Namun realiti pahit yang harus ditelan mengenai kadar pengangguran dan kebolehpasaran mahasiswa UKM jarang sekali didengari seolah-oleh disembunyikan daripada pengetahuan masyarakat universiti.
2. Statistik daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2018 menunjukkan terdapat 290,282 orang graduan warganegara Malaysia yang bersaing untuk mendapatkan pekerjaan pada tahun 2018. UKM mensasarkan sekurang-kurangnya 85 peratus graduannya mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat belajar, berbanding 83.3 peratus setakat ini. Walaupun statistik ini dilihat tinggi, hakikat sekiranya 4060 org mahasiswa tahun satu sesi ini masih mempunyai kadar kebolehpasaran yang sama iaitu sekitar 83% sahaja. Seramai 690 orang bakal graduan ini akan masih menganggur selepas 6 bulan mencari pekerjaaan. Pekerjaan graduan UKM juga malangnya tidak menepati tahap pendidikan mereka dan gaji yang ditawarkan jauh lebih rendah daripada kadar sepatutnya.
3. Kelemahan sebahagian mahasiswa UKM menonjolkan “wow-factor” mereka menyebabkan mereka tidak dikategorikan sebagai graduan berkualiti yang mempunyai keunikan. Konsep “Red Umbrella” yang diperkenalkan oleh mantan Naib-Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali merupakan konsep yang berasas bagi mengatasi pemasalahan yang membelenggu mahasiswa UKM ketika ini. Konsep “Red Umbrella” wujud bertujuan untuk memastikan setiap mahasiswa UKM dilengkapi dengan “wow-factor” agar dilihat mempunyai kualiti yang berbeza daripada graduan institusi pendidikan tinggi yang lain. Namun sayangnya, konsep “Red Umbrella” ini hanya gah pada nama tetapi gagal diimplementasi secara praktikal kerana hanya didengari pada acara-acara tertentu seperti Minggu Mesra Mahasiswa dan Majlis Konvokesyen semata-mata.
4. Kolej kediaman UKM yang dipandu oleh pakar-pakar daripada pelbagai fakulti (baca: pengetua) ini bertindak sebagai institusi penting dalam pembangunan sahsiah dan modal insan mahasiswa. Barisan kepengetuaan telah berjaya melahirkan ramai kepimpinan mahasiswa yang menjadikan “wow-factor” sebagai matlamat utama dalam mengasah kemampuan mahasiswa. Usaha ini turut disokong dengan sistem aktiviti kolej yang mapan. Platform yang pelbagai seperti kepimpinan, kebudayaan, kesukarelawanan dan sukan antara platform asas yang terdapat di setiap kolej kediaman. Sehingga kini begitu ramai alumni yang aktif diperingkat kolej kediaman telah berjaya dalam bidang masing-masing. Terbukti bahawa kolej kediaman tidak seharusnya dijadikan tempat “makan dan tidur” semata-mata.  Mahasiswa seharusnya merebut peluang menggunakan platform yang tersedia ini untuk mencari “wow-factor” mereka tersendiri.
Contohnya, graduan bidang kejuruteraan yang mempunyai bakat dan penglibatan meluas dalam bidang keusahawanan menjadikan elemen keusahawanan ini sebagai “wow-factor” graduan tersebut. “Wow-factor” seperti ini yang dikatakan kualiti graduan yang dicari-cari oleh majikan. Ianya juga boleh dijadikan kerjaya alternatif bagi graduan.
5. Ketiadaan kursus kepimpinan Majlis Eksekutif Pelajar, perlantikan baru pengetua Kolej Keris Mas yang tiada khabar berita, kontrak felo penghuni tidak dilanjutkan serta pembubaran jawatan timbalan pengetua kolej dilihat sebagai satu tindakan yang mundur dan tidak konstruktif. Tindakan ini seolah-olah mahu melemahkan dan mengecilkan potensi kolej kediaman sebagai sebuah institusi pembentukan modal insan UKM. UKM seharusnya sedar bahawa sumbangan institusi kolej kediaman sepanjang 50 tahun UKM ditubuhkan amatlah besar.
Kami Republican UKM amat berharap agar UKM tidak mengorbankan kebolehpasaran mahasiswa atas alasan mengkaji langkah-langkah baru untuk mengasah bakat pelajar dengan menidakkan potensi institusi kolej kediaman.
Varsiti Ini Republik Kita
#KamiRepublican
#RepublicMahasiswa
#VarsitiIniRepublikKita
#MasukUKM

Leave a Reply