Hari ini tuhan ingin memberi aku sedikit keseronokan dengan melemparkan kesakitan pada tubuh. Sudah lebih 2 bulan hidup aku di ibu kota ini mendatar, mungkin ini mesej daripada tuhan yang mengatakan – hidup kau membosankan!

Setelah selesai daripada urusan hospital yang sudah menjadi adat lama jika sakitmu sekadar selesema, batuk dan pening kepala, aku bergegas ke Jelajah Mahasiswa Mahasiswa – ceramah historikal Fahmi Reza berkenaan sejarah gerakan mahasiswa sebelum 1974. Aku masuk agak lewat, beliau sudah sampai ke peringkat UMSU 1968.

Walaupun aku bukanlah penganjur gerakan Mortar ini, tapi sahabat-sahabat yang ada pada gerakan itu pernah memanggil aku sekali untuk bertukar-tukar pandangan.

Sekali lagi, aku tidak akan pernah “membash” apa-apa aksi mahasiswa termasuk jelajah seperti ini. Bagi aku ia adalah sesuatu yang baik, paling kurang ada yang mengisi vacum aktivisme mahasiswa.

Ketika melakukan pertemuan dengan sahabat aktivis yang aku hormati, aku bertanya tentang apa yang mereka ingin capai daripada aksi-aksi ini. Mereka memberitahu ingin membina jaringan dan pada akhirnya nanti akan mewujudkan NGO daripada kalangan mantan aktivis mahasiswa. Aku akan sentuh objektif-objektif ini pada akhir penulisan aku.

Sejarah lagi?!

Berpelukan dengan sejarah adalah sesuatu yang tidak salah, bahkan aku selalu menggunakan ia sebagai motivasi untuk mengatakan mahasiswa boleh kembali berjenama dan bertenaga. Malangnya, bermain dengan sejarah ini sering membuatkan ramai aktivis siswa (termasuk aku sendiri) mahu jadi seperti mereka secara “copy and paste”.

Kita berhasrat mahu berdemo dengan jumlah yang ramai, mahu buat “road show” dan mahu “memancung” pentadiran universiti seperti yang pernah berlaku pada zaman pra-AUKU. Bagi aku adalah menjadi kesalahan jika kita mahu sekolompok mahasiswa berganjak dari fasa pasif (tak ambil peduli) terus menjadi mahasiswa lantang dan melawan.

Semua ini memerlukan masa dan kerja-kerja pada “peringkat bawah dan kecil” perlu diperkemaskan terlebih dahulu supaya ada basis untuk generasi yang seterusnya.

Aku tertarik dengan kritikan Yatiran berkenaan gerakan mahasiswa yang ada pada hari ini, dia kata (lebih kurang);

“Aku tengok masalah yang ada pada pembentangan kau (Fahmi Reza) adalah tak sebut soal propaganda dan bagaimana mereka bergerak dulu. Sekarang ni, korang suka buat benda yang terus besar, sepatutnya benda-benda besar tu yang terakhir. Sebelum tu kena susun dulu orang dan atur strategi.”

Rasa bernafsu itu bukanlah sesuatu yang salah, ia fitrah. Namun nafsu itu kenalah dilempiaskan pada cara dan tempat yang betul. Jika benar ingin melawan dan berhasrat untuk melakukan perubahan maka soal strategi dan propaganda tidak boleh dipandang enteng.

Kita boleh melakukan aksi yang provokatif, tapi sebelum melakukan aksi itu, banyak hal yang perlu disusun dan dipertimbangkan. Proses ini rumit, memerlukan kesabaran dan komitmen, atas sebab itulah ramai yang ingin terus “beraksi”. Kalau tidak kita hanya akan kelihatan seperti anak-anak yang tidak diberikan gula-gula oleh ayahnya, diketawakan dan ditekan.

Cabaran yang perlu dihadapi…

Pada ceramah kali ini, sering dibangkitkan soal “perpaduan dalam kalangan persatuan mahasiswa”. Fahmi berkata dulu mereka ada identiti yang bersifat agak “politikal”, selepas itu aku yakin ramai setuju jika aku katakan pasca AUKU dimotori oleh identiti Islam. Selepas berlakunya masalah orang-orang tua, maka persatuan Islam sudah seperti hilang arah dan stamina.

Student Unity dalam kalangan mahasiswa ini maha sukar. Pertama mengambil konteks kepelbagaian “pengaruh” yang boleh mencemarkan fikiran mereka. Banyak yang boleh mempengaruhi; ideologi perdana setempat, HEP, Universiti dan parti politik misalnya.

Masalah yang sering berlaku dalam “gabungan” adalah “pengharapan”. Apabila kita sudah mempunyai kata sepakat, maka komitmen daripada orang-orang yang telah sepakat itu akan ditagih. Malangnya, sering berlaku “orang-orang sepakat ini” tidak memberikan komitmen yang sewajarnya. Akhirnya kita kekecewaan berlaku, kalah sebelum menang. Sebab ini aku sering memberitahu kawan-kawan;

“Kita jangan harapkan orang lain, termasuk yang mengaku aktivis mahasiswa, kita buat sahaja apa yang kita rasa betul. Jika orang lain ingin “support”, alhamdulillah. Jika tidak ada yang mahu bantu, pedulikan. Aktivisme bukan perlumbaan atau pemburuan gelaran siapa paling unggul.”

Pada skala kampus. Jauh sangat tu. Pada skala “persatuan progresif” pun selalu ada isu cemburu-mencemburui, bertanding siapa yang paling progresif dan benci-membenci. Jadi aku fikir nak bina “unity” satu Malaysia tu – ibarat bermimpi di siang hari sahaja.

Aku pernah menganjurkan forum, aku jemput pelbagai persatuan melalui surat rasmi. Jumlahnya amat kurang (mungkin faktor tarikh dan panel). Jumlah hadirin pada malam ini pun ok. Jadi aku fikir isu-isu kebersamaan ini penting untuk diselidiki dengan lebih mendalam dengan memperbanyakan interaksi sesama aktivis mahasiswa. Aku fikir mungkin perlu diadakan perjumpaan bulanan dan perbincangan yang lebih terbuka.

Objektif mereka

Ketika dijemput untuk berbincang, seperti yang aku tulis pada awal-awal tdi, aku bertanya tentang objektif. Pada pandangan aku, program ini memiliki dua market – market aktivis dan market awam.

Aku mengatakan; objektif program ini nak capai market pertama (aktivis), Fahmi Reza tidak diperlukan. Aku percaya aktivis sudah ada asas-asas pengetahuan tentang sejarah mahasiswa. Kemudian yang perlu berjumpa dan banyak berbincang dengan aktivis mahasiswa ini, bukan Fahmi Reza, tapi aktivis semasa. Fahmi Reza ada perjuangan beliau yang tersendiri.

Aku juga berpandangan kalau target market program ini aktivis siswa, tak perlu pun nak provokatif sangat. Lagipun tujuan utamanya nak bina jaringan supaya akan memacu satu gabungan. Kalau nak “boom universiti” sepatutnya selepas perjumpaan (proses merancang), bukan ketika datang kali pertama tak tahu apa-apa terus nak menyerang. Isu itu mungkin akan hangat dalam seminggu dua minggu, kemudian hilang.

“Tapi aku berpandangan kalau nak capai kedua-dua market, maka Fahmi Reza diperlukan kerana populariti dan crowd beliau. Sebagai orang yang tidak terlibat secara langsung, soal bekerjayaan kita harus tanyakan penganjur. Sejauh mana mereka dapat menggunakan Fahmi Reza untuk merangsang kehadiran mahasiswa-mahasiswa pasif.”

Mereka perlu disokong…

Mahasiswa yang mempunyai kesedaran jumlahnya maha kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan jumlah mahasiswa. Kalau bukan kita yang mengaku “sedar” yang saling membantu sesama kita, siapa lagi yang boleh kita harapkan? Takkan nak harapkan parti politik.

Pada akhir sesi ceramah ini, aku setuju dengan objektif akhir Mortar untuk menubuhkan NGO dari kalangan bekas aktivis mahasiswa. Aku fikir ini boleh membantu dari segi penurunan ilmu, strategi kewangan dan alternatif (selain parti politik) untuk mahasiswa.

Aku harap gerakan ini terus berjuang dan konsisten dalam memperjuangkan objektif mereka.

 

 

 

 

 

 

By Editor

Leave a Reply